Tidaklah seorang wanita yang mengalami haid kecuali haidnya itu

TEKS BAHASA ARAB

ما من امرأة تحيض إلا كان حيضها كفارة لما مضى من ذنوبها، وإن قالت عند حيضها الحمد الله على كل حال، وأستغفرك من كل ذنب، كتب لها براءة من النار، وأمان من العذاب.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Tidaklah seorang wanita yang mengalami haid kecuali haidnya itu merupakan kifarat kepada dosa-dosanya yang lain. Apabila dia membaca ketika di dalam haidnya ‘Segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan, dan aku memohon keampunanMu daripada segala dosa’, maka ditulis untuknya pembebasan daripada neraka dan terselamat daripada azab.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini telah disemak oleh Dr Rozaimi Ramle dan jawapannya telah dikongsikan dalam Facebook Page beliau. Berikut adalah komentar beliau:

As-Salamu ‘Alaykum ustaz! Betulkah fadhilat doa ini mengatakan jika dibaca oleh wanita haid, dia akan mendapat pahala beribadat atau berzikir sepanjang tempoh haid.

اللهم على كل حال، وأستغفرك من كل ذنب

Allahumma A’la kulli hallin wa astaghfiruka min kulli zanbin
Jawapan:
Wa’alaikum al-Salam WRT WBT.
Riwayat ini dinukilkan dalam Durratun Nasihin daripada ‘Aisyah RA:

ما من امرأة تحيض إلا كان حيضها كفارة لما مضى من ذنوبها، وإن قالت عند حيضها الحمد الله على كل حال، وأستغفرك من كل ذنب، كتب لها براءة من النار، وأمان من العذاب.

Tidaklah seorang wanita yang mengalami haid kecuali haidnya itu merupakan kaffarah kepada dosa-dosanya yang lain. Apabila dia membaca ketika di dalam haidnya ‘Segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan, dan aku memohon keampunan-Mu daripada segala dosa’, maka ditulis untuknya pembebasan daripada neraka dan terselamat daripada azab.
Dalam Durratun Nasihin, cetakan Darul Arqam, m/s 51, pentahqiq kitab ini menyatakan: Kami tidak menemui asal riwayat ini dalam kitab-kitab hadis, sebaliknya ia adalah kalam golongan qussas (penglipur lara).
Dalam Ensiklopedia Hadis di bawah seliaan Al-Shaikh ‘Alawi bin Abdul Qadir al-Saqqaf dinukilkan bahawa ia palsu [ Rujuk Koleksi Hadis-hadis Tersebar Yang Tidak Sahih al-Durar al-Saniyyah, no. 160].
Dr. Abdul Hayyi Yusof dari Universiti Khartoum berkata:

فهذا كلام سمج باطل مردود، لا يليق أن يُنسَب إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، وفيه من المجازفات شيء كثير، وأمارات الوضع عليه ظاهرة، ولا يجوز التحديث به ولا روايته إلا لبيان كذبه، والعلم عند الله تعالى

Ini merupakan kalam yang sangat hodoh, batil dan tertolak. Ia tidak boleh dinisbahkan kepada Rasulullah SAW. Padanya bahaya yang banyak. Petanda kepalsuannya sangat jelas. Tidak boleh menyampaikannya dan meriwayatkannya kecuali untuk menerangkan kepalsuannya. Ilmu itu di sisi Allah [Rujuk http://meshkat.net/old/node/17173].
Oleh kerana hadis ini wujud dalam kitab Durratun Nasihin, maka elok jika kita mengambil sedikit maklumat berkaitan kitab ini:
Al-Shaikh Ibn Baz berkata:

هذا الكتاب لا يعتمد عليه، وهو يشتمل على أحاديث موضوعة وأحاديث ضعيفة لا يعتمد عليها

Kitab ini tidak boleh berpegang kepadanya. Isi kandungannya merangkumi hadis-hadis palsu dan hadis-hadis daif yang tidak boleh dijadikan pegangan [Rujuk Fatwa Ibn Baz, no.1992].
Markaz Fatwa Islamweb.net menyebutkan:

فالذي ننصح به هو عدم قراءة هذا الكتاب إلا للبصير الذي يميز بين الصحيح والسقيم، وما يمكن أن يعمل به، وما لا يمكن أن يعمل به، وننصح أيضاً بعدم قراءته على الناس بحجة ما فيه من الترغيب والترهيب والوعظ وتزكية النفوس لأن في الكتاب والسنة الصحيحة ما يكفي في هذا الباب ولله الحمد.

Nasihat yang ingin kami sampaikan ialah menjauhi daripada membaca kitab ini kecuali kepada mereka yang berilmu yang dapat membezakan antara yang sahih dan cacat, dan dapat membezakan apa yang boleh diamalkan dan yang tidak boleh diamalkan. Kami jua menasihati agar tidak dibacakan kitab ini kepada manusia atas alasan ia mengandungi galakan berbuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran, nasihat, penyucian jiwa; ini kerana pada al-Quran dan hadis-hadis yang sahih sudah cukup menerangkan hal ini. [Rujuk Fatwa Islamweb, no. 23566] Wallahua’lam.
Pesanan: Kami bukan menghalang orang berzikir, tetapi kami mengingatkan bahawa menyatakan zikir ini untuk orang haid dan sebagainya adalah satu bentuk pensyariatan. Jika tidak nanti semua manusia akan mereka cipta zikir khas untuk orang haid, orang suci, orang bujang, orang dah kahwin, duda, janda dan sebagainya. Apa jadi kepada agama jika benda ini dibiarkan?
Ulama ijma’ bahawa wanita haid dibenarkan berzikir. Amalkanlah zikir-zikir ma’thur yang ada dalam sunnah, sebarkanlah hadis sahih, usah sebarkan amalan yang tak diketahui puncanya.

RUJUKAN

Dr. Ustaz Rozaimi Ramle. (t.t.). Home [Dr. Ustaz Rozaimi Ramle]. Facebook. Dicapai pada 30 Jun 2021, daripada https://ms-my.facebook.com/DrRozaimiRamle/

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari Sumbangan Dr Rozaimi Ramle yang dimasukkan oleh sukarelawan semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs