Aku pergi bersama Rasulullah SAW sehingga kami sampai ke Ka'bah. Rasulullah SAW pun memanjat kedua bahuku

TEKS BAHASA ARAB

انطلقت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم حتى أتينا الكعبة فصعد رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم على منكبي فنهض به علي فلما رأى رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم ضعفي، قال لي: اجلس. فجلست. فنزل النبي صلى الله عليه وآله وسلم، وجلس لي، وقال لي: اصعد على منكبي. فصعدت على منكبيه. فنهض بي. فقال علي رضي الله عنه : إنه يخيل إلي أني لو شئت، لنلت أفق السماء. فصعدت على الكعبة وعليها تمثال من صفر، أو نحاس. فجعلت أعالجه لأزيله. يمينا وشمالا، وقداما، ومن بين يديه، ومن خلفه حتى استمكنت منه. فقال نبي الله صلى الله عليه وآله وسلم: اقذفه. فقذفت به، فكسرته كما يكسر القوارير ثم نزلت، فانطلقت أنا ورسول الله صلى الله عليه وآله وسلم نستبق حتى توارينا بالبيوت خشية أن يلقانا أحد.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Aku pergi bersama Rasulullah SAW hinggalah kami sampai ke Ka’bah. Rasulullah SAW pun memanjat kedua bahuku, lalu Ali mengangkat Baginda. Apabila Rasulullah SAW melihat aku lemah. Baginda bersabda kepadaku: Duduklah. Aku pun duduk. Nabi SAW pun turun dan duduk untukku kemudian Baginda bersabda kepadaku: Naiklah atas kedua bahuku. Lalu aku pun naik ke atas kedua bahu Baginda. Lantas Baginda mengangkatku. Ali berkata: Baginda memberi bayangan kepadaku, jika aku mahu, pasti aku dapat mencapai ufuk langit. Lalu aku menaiki Ka’bah, ketika itu di atasnya terdapat patung-patung kuning atau tembaga. Aku pun cuba untuk menjatuhkannya dari arah kanan, kiri, hadapan dan belakang hinggalah aku merobohkannya. Lalu Nabi SAW bersabda: Lemparkanlah ia. Aku pun lemparkan berhala itu dan aku memecahkannya seperti pecahnya botol-botol kaca. Kemudian aku pun turun. Lalu aku bersama Rasulullah SAW pergi dengan tergesa-gesa sehingga kami menghilang di celah-celah rumah kerana bimbang bertemu dengan sesiapa.

STATUS

Munkar

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Abu Ishaq Al-Huwaini حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis palsu dan lemah beliau berjudul Al-Nafilah Fi al-Ahadith al-Dha’ifah Wa al-Batilah, di halaman 155-157, hadis nombor 152. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

منكر.
أخرجه النسائي في الخصائص (119) وأحمد (1/ 84/ 644) وابن جرير في تهذيب الآثار (ص 237- مسند علي) من طريق أسباط بن محمد ثنا نعيم بن حكيم المدائني قال: حدثنا أبو مريم قال: قال علي بن أبي طالب فذكره.وقد رواه عن نعيم بن حكيم جماعة منهم:
1-شبابة بن سوار عن نعيم. أخرجه الحاكم (2/ 366- 367) وقال: صحيح الإسناد فتبعه الذهبي: قلت: إسناده نظيف، ومتنه منكر وهو متعقب في بعض قوله كما يأتي إن شاء الله.
2- عبد الله بن داود، عن نعيم. أخرجه عبد الله بن أحمد في زوائد المسند (1/ 151) وابن جرير في التهذيب (ص 236- مسند علي) والحاكم (3/ 5) والخطيب في التاريخ (13/ 302) وفي الموضح (2/ 432) .
3- عبيد الله بن موسى، عن نعيم. أخرجه ابن جرير (237) وأبو يعلى (251- 1) والبزار (ج 3/ رقم 2401) .
قلت: وهذا سند ضعيف، والمتن غريب جداً. فأما نعيم بن حكيم، فهو وإن كان صدوقاً لكن ضعفه ابن معين في رواية، وقال النسائي: ليس بالقوي.وقال الأزدي: أحاديثه مناكير. ولم يتابعه أحد فيما أعلم. فيتوقف فيما يتفرد به.
وأما أبو مريم: فهو الثقفي المدائني مجهولاً كما قال الدارقطني ووافقه الحافظ في التقريب. ولم يوثقه النسائي، وإنما وثق أبا مريم الحنفي وهذا غير الثقفي ولم يفرق بينهما الذهبي فقال: ثقة. ولعله لذلك أيضاً قال الهيثمي (6/ 23): رجال الجميع ثقات. والصواب التفريق بينهما. قال شيخ الإسلام ابن تيميه في منهاج السنة (3/ 7) : وهذا الحديث إن صح فليس فيه شيء من خصائص الأئمة ولا خصائص علي. فإن النبي صلى الله عليه وسلم كان يصلي وهو حامل أمامة بنت أبي العاص على منكبه وإذا قام حملها وإذا سجد وضعها. وكان إذا سجد جاء الحسن فارتحله ويقول: إن ابني ارتجلني وكان يقبل زبيبة الحسن. فإذا كان يحمل الطفل والطفلة لم يكن حمله لعلي ما يوجب أن يكون ذلك من خصائصه وإنما حمله لعجز علي عن حمله. فهذا يدخل في مناقب رسول الله صلى الله عليه وسلم. وفضيلة من يحمل النبي صلى الله عليه وسلم أعظم من فضيلة من يحمله النبي صلى الله عليه وسلم كما حمله يوم أحد من الصحابة مثل طلحة بن عبيد فإن هذا نفع النبي صلى الله عليه وسلم. وذاك نفعه النبي صلى الله عليه وسلم. ومعلوم أن نفعه بالنفس والمال أعظم من انتفاع الإنسان بنفس النبي صلى الله عليه وسلم وماله.

Munkar. Hadith tersebut telah diriwayatkan oleh al-Nasa’ei dalam al-Khasais (119), Ahmad (1/84/644) dan Ibn Jarir dalam Tahzib al-Athar (hlmn 237 – Musnad ‘Ali) melalui sanad Asbat bin Muhammad, katanya Nu’aim bin Hakim al-Mada’ini telah menceritakan kepada kami, katanya Abu Maryam telah menceritakan kepada kami, katanya ‘Ali bin Abi Talib berkata, lalu beliau pun menyebutkan hadith tersebut.
Hadith tersebut telah diriwayatkan daripada Nu’aim bin Hakim oleh sekumpulan perawi, antaranya:
1- Shababah bin Sawwar daripada Nu’aim. Ianya telah diriwayatkan oleh al-Hakim (2/366-367), al-Hakim berkata: "Sahih sanadnya". Al-Zahabi pula memberikan komentar terhadap al-Hakim: "Saya berkata: Sanadnya bersih, namun matannya munkar".
Al-Zahabi juga dikritik pada sebahagian kata-kata beliau sebagaimana yang akan disebutkan, insya Allah.
2- Abd Allah bin Daud daripada Nu’aim. Ianya telah diriwayatkan oleh Abd Allah bin Ahmad dalam Zawaid al-Musnad (1/151), Ibn Jarir dalam al-Tahzib (hlmn 236 – Musnad ‘Ali), al-Hakim (3/5), al-Khatib dalam al-Tarikh (13/302), dan dalam al-Mudhih (2/432).
3- ‘Ubaidullah bin Musa daripada Nu’aim. Ianya telah diriwayatkan oleh Ibn Jarir (237), Abu Ya’la (251- 1), dan al-Bazzar (juz 3/ hadith : 2401).
Saya berkata: Sanad ini dha’if, manakala matannya pula sangat gharib. Nu’aim bin Hakim, sekalipun beliau seorang perawi Saduq (benar) namun beliau telah dinilai dha’if oleh Ibn Ma’in dalam satu riwayat. Al-Nasa’ei pula berkata: "Beliau seorang yang tidak kuat". Al-Azdi berkata: "Hadith-hadith beliau munkar". Tidak ada sesiapa pun yang menyokong riwayat beliau sejauh pengetahuan saya. Oleh itu, penelitian terhenti terhadap riwayat tersebut yang beliau riwayatkan secara berseorangan.
Manakala, Abu Maryam, beliau adalah al-Thaqafi al-Mada’ini, seorang yang majhul (tidak dikenali) sebagaimana yang disebutkan oleh al-Daraqutni dan dipersetujui oleh al-Hafiz dalam al-Taqrib. Al-Nasa’ei tidak menilai beliau sebagai thiqah, al-Nasa’ei hanya menilai thiqah perawi bernama Abu Maryam al-Hanafi, bukan al-Thaqafi. Al-Zahabi tidak membezakan antara mereka berdua, lalu kata a;-Zahabi: "Thiqah". Berkemungkinan sebab itulah juga al-Haythami (6/23) berkata: "Para perawi kesemuanya thiqah". Sebetulnya, ada perbezaan antara mereka berdua.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata dalam Minhaj al-Sunnah (3/7): "Hadith ini sekiranya sahih tidak ada suatu pun berkenaan keistimewaan para Imam dan juga keistimewaan ‘Ali. Ini kerana, Nabi SAW beberapa kali solat sambil Baginda SAW memikul Umamah binti Abi al-‘As atas bahu Baginda SAW. Apabila berdiri, maka Baginda SAW memikul Umamah dan apabila sujud Baginda SAW meletakkannya. Pernah juga apabila Baginda SAW sujud, al-Hasan pun datang lalu menunggangi Baginda SAW, Baginda SAW bersabda: "Sesungguhnya cucuku menunggangiku". Juga Baginda SAW selalu mencium kepala al-Hasan. Oleh itu, apabila Baginda SAW biasa memikul kanak-kanak lelaki dan juga kanak-kanak perempuan, maka memikul ‘Ali bukanlah menjadikannya sebagai salah satu keistimewaan beliau. Baginda SAW memikul ‘Ali adalah kerana ‘Ali tidak mampu memikul Baginda SAW. Ini sebenarnya termasuk dalam Manaqib Rasulullah SAW dan kelebihan orang yang dapat memikul Nabi SAW lebih besar berbanding orang yang dipikul oleh Nabi SAW. Sebagaimana para peperangan Uhud salah seorang sahabat memikul Baginda SAW, seperti Talhah bin ‘Ubaid, kerana ini dapat memberikan manfaat kepada Nabi SAW, sedangkan satu lagi pula dia mengambil manfaat daripada Nabi SAW. Sudah maklum bahawa nyawa dan harta yang dapat memberikan manfaat kepada Baginda SAW adalah lebih besar berbanding seseorang mengambil manfaat daripada diri dan harta Nabi SAW".

RUJUKAN

Abu Ishaq Al-Huwaini. (1988). Al-Nafilah Fi al-Ahadith al-Dha’ifah Wa al-Batilah. Dar al-Sahabah Li al-Turath.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Telekom Malaysia, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon LAPOR kepada pentadbir sekiranya terdapat sebarang kesilapan.