Sesungguhnya terdapat lelaki yang termasuk dalam kalangan ahli solat dan jihad

TEKS BAHASA ARAB

إن الرجل ليكون من أهل الصلاة والجهاد وما يجزى إلا على قدر عقله.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Sesungguhnya terdapat lelaki yang termasuk dalam kalangan ahli solat dan jihad, namun dia tidak mendapat balasan pahala kecuali bersesuaian dengan kadar akalnya.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Ibn Qayyim al-Jawziyah (m. 751H) رحمه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis palsu beliau berjudul Al-Manār Al-Munīf Fī Al-Ṣaḥīḥ Wal-Ḍa‘īf, di halaman 66, hadis nombor 122. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

ومنها: 10 أحاديث العقل كلها كذب…وحديث "إن الرجل ليكون من أهل الصلاة والجهاد وما يجزى إلا على قدر عقله" قال الخطيب: حدثنا الصوري قال سمعت الحافظ عبد الغني بن سعيد يقول: قال الدارقطني: "إن كتاب (العقل) وضعه أربعة: أولهم ميسرة بن عبد ربه ثم سرقه منه داود بن المحبر فركبه بأسانيد غير أسانيد ميسرة وسرقه عبد العزيز بن أبي رجاء فركبه بأسانيد أخر ثم سرقه سليمان بن عيسى السجزي فأتى بأسانيد أخر".

Antara ciri lain (hadis palsu) ialah setiap hadis yang menyebutkan (kelebihan) akal semuanya palsu…dan hadis lain:
أِنَّ الرَّجُلَ لَيَكُونُ مِنْ أَهْلِ الصَّلاةِ وَالْجِهَادِ وَمَا يُجْزَى عَلَى قَدْرِ عَقْلِهِ
“Sesungguhnya terdapat lelaki yang termasuk dalam kalangan ahli solat dan jihad, namun dia tidak mendapat balasan pahala kecuali bersesuaian dengan kadar akalnya.”
Al-Khatib berkata: “Al-Suri telah menceritakan kepada kami bahawa dia mendengar Abu al-Hafiz Abdul Ghani berkata: ‘al-Daraqutni berkata:
Sesungguhnya kitab al-‘Aql dipalsukan oleh empat orang. Pertama ialah Maisarah bin ‘Abdi Rabbih. Kemudian, kitab ini dicuri oleh Daud bin al-Muhabbar lalu disusunnya dengan sanad-sanad yang berbeza.
Kemudian, kitab ini dicuri lagi oleh ‘Abdul ‘Aziz bin Abi Raja’ juga disusunnya dengan sanad yang lain. Akhir sekali, kitab ini dicuri oleh Sulaiman bin ‘Isa al-Sajzi dengan sanad yang lain juga.’
Aku berkata: “Kitab al-‘Aql karangan Daud penuh dengan pembohongan dan dia ialah seorang pengembara.”
Abu Fatah al-Azdi berkata: “Tidak sahih pada (kelebihan) akal walau satu hadis pun sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Ja’far al-‘Uqaili dan Abu Hatim Ibnu Hibban. Allah lebih mengetahui.”

RUJUKAN

Ibn Qayyim Al-Jawziyyah. (1970). Al-Manār Al-Munīf Fī Al-Ṣaḥīḥ Wal-Ḍa‘īf (‘Abd Al-Fattāḥ Abu Ghuddah, Ed.). Ḥalab: Maktabah Al-Maṭbū‘ah Al-Islāmiyyah.

Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Kenali Hadis Sahih Dhoif Palsu. Edited by Solehah Abu Bakar. Selangor: Kemilau Publika, 2015.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan seorang hamba Allah dan kemudian ditambahbaik melalui tajaan Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia Sdn Bhd, Coastline Marine Sdn Bhd, Hasnuri Sdn Bhd, Padi Pictures Sdn Bhd dan sumbangan orang ramai melalui Tabung Infaq, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs