Kisah Tukang Sikat Anak Perempuan Firaun

Please complete the required fields.




 

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Daripada Ibn Abbas r.a., katanya: Rasulullah SAW bersabda: Pada malam saya diisrakkan ke langit, saya telah mencium satu bauan harum, lalau saya berkata kepada Jibril: Bauan harum apakah ini? Jawab Jibril: Ini adalah bauan harum daripada tukang sikat anak perempuan Firaun dan anak-anaknya. Saya berkata; Apa yang berlaku kepada beliau? Jawab Jibril; Pada satu hari ketika dia sedang menyikat rambut anak perempuan Firaun, Dengan nama Allah. Kata anak perempuan Firaun, sikat tersebut telah jatuh daripada tangannya, lantas beliau mengucapkan kalimah: Dengan nama Allah. Kata anak perempuan Firaun: Bapa sayakah yang anda maksudkan? Jawab tukang sikat itu; Tidak, tetapi Tuhanku dan Tuhan Bapa anda ialah Allah. Kata tukang sikat itu lagi: Beritahulah kepada-Nya tentang hal tersebut? Jawab anak perempuan Firaun: Ya.

Setelah anak perempuan Firaun itu memberitahu Firaun apa yang berlaku, Firaun telah memanggil perempuan yang menjadi tukang sikat itu lalu berkata; Wahai si fulanah, adakah benar anda mempunyai Tuhan selain daripada saya? Jawab perempuan itu: Ya, Tuhan saya dan juga Tuhan tuanku ialah Allah. Firaun memerintahkan dibuat satu bekas berbentuk anak lembu daripada menggelegak. Kemudian memanaskan air yang berada di dalamnya sehingga menggelegak. Kemudian perempuan itu diarahkan supaya terjun ke dalam bekas itu bersama dengan anak-anaknya. Perempuan itu berkata kepada Firaun: Saya mempunyai satu hajat yang ingin saya utarakan kepada tuanku. Jawab Firaun; Apakah hajat itu? Saya ingin agar tuanku menghimpunkan tulang-temulang saya dan tulang-temulang anak-anak saya dalam satu kain dan kebumikanlah kami. Jawab Firaun: Itu adalah hak yang perlu kami lakukan untuk anda. Setelah itu anak-anaknya telah di perintahkan supaya dicampak satu persatu ke dalam bekas tersebut di hadapan mata beliau sehingga berakhir dengan anaknya yang masih bayi dan sedang menyusu.

Pada ketika itu perempuan tersebut mula teragak-agak kerana mengenangkan anaknya itu. Tiba-tiba anaknya itu bersuara: Wahai ibu terjunlah, kerana sesungguhnya azab dunia lebih ringan berbanding dengan azab di akhirat, lantas ibunya terjun ke dalam bekas tersebut. Katanya; Kata Ibn Abbas: Empat kanak-kanak yang bercakap pada masa kecil iaitu Isa bin Maryam, anak dalam kes Juraij, saksi Yusuf dan anak lelaki perempuan yang menjadi tukang sikat Firaun.

 

STATUS

Sangat lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Antara kisah yang masyhur diperkatakan oleh para penceramah ialah kisah Rasulullah SAW mencium bauan ketika melintasi satu kubur, yang dikatakan kubur itu kepunyaan perempuan yang menjadi tukang sikat anak perempuan Firaun. Kisah tersebut kebiasaannya disampaikan ketika menceritakan tentang peristiwa Israk Mikraj bersempena dengan sambutan Israk Mikraj itu sendiri.

Penilaian

Kisah di atas adalah kisah yang sangat lemah. Penyakitnya terdapat pada Ata’ bin as-Sa’ib. Beliau telah melakukan percampuran sanad (ikhtilat kerana nyanyuk akibat umur yang sudah tua) dan kisah ini tidak ririwayatkan daripada beliau selain daripada (Hammad bin Salamah sahaja, sebagaimana yang dapat dilihat pada zahir kisah dan sebagaimana yang dipastikan oleh Imam al-Bazzar.

Dalam menilai kedudukan hadis yang mana sanadnya berlaku ikhtilat, Ibn Hajar menyebut dalam Syarh an-Nukhbah (hlm. 139) apa saja hadis yang diriwayatkan oleh perawi berkenaan pada tempoh sebelum ikhtilat dan dapat membezakan sanad, hadis tersebut boleh diterima, manakala yang tidak dapat dibezakan sanad, hendaklah ditawakkuf terlebih dahulu. Begitu juga dengan kedudukan sanad yang samar-samar dan tidak jelas. Ia dapat dikenali melalui parawi-perawi yang menerima hadis daripada perawi terlibat.Hammad bin Salamah adalah antara perawi yang menerima hadis daripada ‘Ata’bin as-Sa’ib, sebagaimana yang terdapat dalam Al-Tahzib (jil. 7, hlm. 183). Kata Abu Talib daripada Ahmad: Sesiapa yang mendengar hadis daripada beliau pada masa yang lalu, pendengarannya itu adalah sahih sebaliknya sesiapa yang mendengar hadis daripada beliau kemudian (selepas ikhtilat), hadis itu tidak apa-apa yang boleh diambil kira. Perawi yang mendengar hadis terlibat daripada Ata’ sebelum ikhtilat ialah Sufyan dan Syubah manakala yang mendengar daripada beliau setelah ikhtilat ialah Jarir, Khalid dan Ali bin Asim, sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Tahzib (jil. 7, hlm. 184).

Menurut Ibn Ma’in, sebagaimana yang dilaporkan oleh Ibn Abi Hatim dalam Al-Jarh Wa at-Ta’dil (6/334/1848) Ata’ bin as-Sa’ib mengalami Ikhtilat. Sesiapa mendengar daripada beliau pada masa lalu adalah sahih dan sesiapa yang mendengar hadis daripada beliau kemudian, seperti Jarir dan para sahabatnya, adalah bukan hadis Ata’ yang sahih. Abu Awanah mendengar hadis daripada Ata’ pada masa beliau sihat dan juga mengalami ikhtilat sekali gus, kerana itu hadis beliau tidak boleh dijadikan hujah.

Menurut Ibn Abi Hatim lagi, beliau mendengar bapanya memberitahu, pada akhir hayat Ata’, beliau mengalami perubahan hafalan dan dalam hadis beliau banyak berlaku ikhtilat. Perawi yang meriwayatkan daripada beliau pada masa lalu ialah Sufyan dan juga Syubah dan pada masa kemudian ialah perawi-perawi daripada Basrah yang banyak melibatkan periwayatan-periwayatan hadis yang berlaku ikhtilat, kerana Ata’ menetap dalam kalangan mereka pada masa akhir hayatnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut dalam Al-Tahzib (jil. 7, hlm. 185) antara lain: Kita dapat mengambil manfaat daripada kisah di atas ialah riwayat Wahib, Hammad dan Abu Awanah adalah termasuk ke dalam riwayat yang berlaku ikhtilat. Bagi seseorang orang yang tidak memahami sistem ilmu usul hadis, isu di atas tidak besar mana dan tidak ada masalah, malah ringan dan kecil sahaja, padahal ia jelas merupakan isu yang besar bagi mereka yang pakar dalam lapangan Al-Jarh Wa al-Ta’dil dan mereka yang belajar dalam bidang tersebut.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!