Sekiranya jenazah adalah wanita maka berdirilah di antara dua bahunya

TEKS BAHASA ARAB

إبْرَاهِيمَ النَّخَعِيّ يَقُولُ، كَانَ ابْنُ مَسْعُودٍ يَقُولُ إذَا أَتَى بِالْجِنَازَةِ اسْتَقْبَلَ النَّاسَ فَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ إنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَقُولُ: «كُلُّ مِائَةٍ أُمَّةٌ وَلَنْ تَجْتَمِعَ مِائَةٌ لِمَيِّتٍ فَيَجْتَهِدُونَ لَهُ بِالدُّعَاءِ إلَّا وَهَبَ اللَّهُ ذُنُوبَهُ لَهُمْ وَإِنَّكُمْ جِئْتُمْ شُفَعَاءَ لِأَخِيكُمْ فَاجْتَهِدُوا لَهُ بِالدُّعَاءِ، ثُمَّ اسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ فَإِنْ كَانَ رَجُلًا قَامَ عِنْدَ وَسَطِهِ، وَإِنْ كَانَتْ امْرَأَةً قَامَ عِنْدَ مَنْكِبَيْهَا.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Ibrāhīm al-Nakha‘ī berkata, Ibn Mas‘ūd apabila didatangkan jenazah maka dia akan menghadap manusia lantas berkata: Wahai manusia, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap seratus umat yang tidak sesekali berkumpul seratus orang bagi satu jenazah kemudiannya bersungguh-sungguh berdoa kepadanya melainkan Allah ampunkan dosa mereka dan sesungguhnya kedatangan kamu adalah syafaat kepada saudara kamu. Oleh itu bersungguh-sungguhlah berdoa kepadanya. Kemudian hadaplah ke arah kiblat, sekiranya jenazah tersebut adalah lelaki berdirilah pada tengahnya dan sekiranya jenazah adalah wanita maka berdirilah di antara dua bahunya.

STATUS

Lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 55, hadis nombor 1. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

Saḥnūn meriwayatkannya di dalam al-Mudawwanah dan Abū Dhar al-Harawiy daripada jalan Anas bin ‘Iyyāḍ daripada Ismā‘īl bin Rāfi‘ al-Madanī daripada seorang lelaki katanya: Aku mendengar Ibrāhīm al-Nakha‘ī dengan hadith ini.
Menurut Ibrāhīm, Ibn Mas‘ūd mengajarkan amalan ini kepada orang ramai pada majlis pengebumian dan di majlis-majlis lain.
Pada sanad ini terdapat:
1. Ismā‘īl bin Rāfi‘ al-Madanī al-Qāṣiy adalah seorang perawi yang tinggal di Baṣrah: Menurut Ibn Ma‘īn dan al-Nasāī, Laisa bi shai’. Imām Aḥmad dan Abū Ḥātim berpandangan munkar al-ḥadīth. Al-Dhahabī berkata ḍa‘īf wāhin, dan menurut Ibn Ḥajar ḍā‘īf al-ḥifẓ.
2. Lelaki yang dinyatakan dalam sumber hadith ini adalah mubham.
3. Terputusnya sanad antara Ibrāhīm al-Nakha‘ī dan Ibn Mas‘ūd r.a: Abū Ḥātim berkata, Ibrāhīm al-Nakha‘ī tidak mempunyai perkaitan dengan sahabat Nabi s.a.w melainkan dengan ‘Āishah tetapi beliau tidak meriwayat apapun daripadanya kerana ketika menemuinya beliau masih kecil dan keanak-anakan. Lantaran itulah tidak diambil riwayat daripada Ibrāhīm al-Nakha‘ī.
Terdapat hadith seumpama ini yang diriwayatkan secara mawqūf daripada Ibn Mas‘ūd r.a. tetapi juga tidak sahih. Hadith tersebut diriwayatkan Ibn Abū Shaibah dalam al-Muṣannaf daripada Ḥafṣ daripada Abū al-‘Amīs daripada Abū al-Ḥuṣayn.
Hadith ini daif kerana pada sanadnya terdapat Ismā‘īl bin Rāfi‘ al-Madanī al-Qāṣiy seorang perawi lemah yang meriwayatkan daripada seorang lelaki yang samar identitinya.

RUJUKAN

Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.

MAKLUMAN

Maklumat ini adalah hasil sumbangan penulis iaitu Saudari Nur Farha dan para dermawan seperti Saudara Mohd Najib dan lain-lain, melalui Tabung Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin! 

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

beacon

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs