Daif
minit bacaan
Teks Bahasa Arab
يا عِكراشُ! كل من حيثُ شئتَ فإنَّهُ من غيرِ لونٍ واحدٍ.
Teks Bahasa Melayu
Wahai ‘Ikrasy, makanlah kamu dengan cara yang kamu mahu, ini kerana ia bukan makanan yang satu warna.
Sahabat Perawi
- Ikrasy
Ulama/Pengkaji Hadis
- Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H)
Status
Daif
Komentar Ulama/Pengkaji Hadis
Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 222, hadis no. 1177. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:
(Daif) Daripada ‘Ikrasy beliau berkata: Aku telah diutuskan oleh Bani Murrah bin ‘Ubaid untuk membawa sedekah (zakat) harta mereka kepada Rasulullah SAW. Sebaik sahaja sampai di Madinah, aku mendapati Baginda sedang duduk bersama-sama dengan golongan Muhajirin dan Ansar. Kemudian aku mendatangi Baginda dengan menunggang seekor unta yang seakan-akan ia merupakan unta merah (iaitu unta yang terbaik). Lalu Baginda bertanya: 'Siapakah lelaki ini?.' Aku menjawab:‘Ikrasy bin Dzu’aib. Baginda bersabda: 'Panjangkan lagi sebutan nama keturunanmu. Kemudian aku berkata: Ibn Hurqus bin Ja’dah bin ‘Amru bin al-Nazzal bin Murrah bin ‘Ubaid. Dan ini adalah zakat daripada Bani Murrah bin ‘Ubaid. Kemudian Rasulullah SAW tersenyum, aku menyambung lagi: Ini adalah unta kaumku, dan ini adalah zakat kaumku. Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan supaya unta itu diikat dengan talinya serta menetap di situ. Lalu Baginda memegang tanganku, dan Baginda membawaku menuju ke rumah Ummu Salamah isteri Nabi SAW. Lalu Baginda bertanya: 'Adakah di rumah ini mempunyai makanan (untuk dimakan)?'. Kemudian kami pun dihidangkan sebuah mangkuk makanan yang berisi dengan al-tsarid dan juga daging yang banyak. Kemudian kami pun menghadap ke arah hidangan tersebut untuk kami mulakan santapan. Lalu Rasulullah SAW pun memakan apa yang terdapat di hadapan Baginda. Manakala aku pula mengambil daripada keseluruhan kawasan hidangan tersebut. Lalu Rasulullah SAW menggenggam tangan kananku dengan menggunakan tangan kiri Baginda. Kemudian Baginda bersabda: 'Wahai ‘Ikrasy, makanlah dari tempat yang sama, kerana ia merupakan (daripada jenis) makanan yang satu (sama).' Kemudian kami dihidangkan bekas makanan yang terdapat di dalamnya rutab atau tamar pebagai warna - ‘Ubaidullah bin ‘Ikrasy syak samada rutab atau tamar - Lalu aku pun memakan apa yang terdapat di hadapanku, dan tangan Rasulullah SAW menjalar pada bekas makanan tersebut. Kemudian Baginda bersabda: 'Wahai ‘Ikrasy, makanlah kamu dengan cara yang kamu mahu, ini kerana ia bukan makanan yang satu warna.' Kemudian kami diberikan air, lalu Rasulullah SAW membasuh kedua tangan Baginda. Kemudian Baginda menyapu dengan saki baki air di kedua tapak tangan Baginda ke arah muka dan dua lengan Baginda. Lalu Baginda bersabda: 'Wahai ‘Ikrasy, beginilah wuduk disebabkan (memakan) sesuatu yang berubah kerana api.'" [Riwayat al-Tirmiẓī dalam Sunan beliau, Ibn Mājah dalam Sunan beliau (Ringkasan), dan Abu Bakar al-Syafi’e dalam al-Fawa’id. Lihat Silsilah al-Da'ifah, no. 5098]
Rujukan
Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.
Makluman