Wahai anakku, apabila aku meninggal maka kebumikanlah aku

TEKS BAHASA ARAB

يا بني إذا أنا مت فألحدني، فإذا وضعتني في لحدي فقل: بسم الله وعلى ملة رسول الله، ثم سن علي الثرى سنا، ثم اقرأ عند رأسي بفاتحة البقرة وخاتمتها، فإني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول ذلك.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Wahai anakku, apabila aku meninggal maka kebumikanlah aku. Semasa meletakkan aku ke dalam lahadku, katakanlah: Dengan nama Allah dan atas pegangan agama Rasulullah s.a.w, kemudian taburkanlah tanah ke atasku. Kemudian bacakanlah pada kepalaku dengan pembukaan al-Baqarah dan penutupnya. Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda sedemikian.

STATUS

Lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 84, hadis nombor 16. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

Al-Ṭabrānī meriwayatkan dalam al-Mu‘jam al-Kabīr daripada jalan Mubashshir bin Ismā‘īl daripada ‘Abd al-Raḥman bin al-‘Alā’ bin al-Lujlāj daripada bapanya daripada datuknya.
Yaḥyā bin Ma‘īn pula meriwayatkannya daripada jalan al-Baihaqī dalam al-Sunan al-Kubrā dan Ibn ‘Asākir dalam Tārikh Dimashq.
Abū Bakr al-Khalīl turut meriwayatkan hadith ini dalam al-Amr bi al-Ma‘rūf wa al-Nahy ‘an al-Munkar melalui jalan Ibn al-Najjār dalam Dhail Tārikh Baghdād daripada jalan Muḥammad bin Qudāmah al-Jauharī.
Pada sanad ini terdapat ‘Abd al-Raḥman bin al-‘Alā’ bin al-Lujlāj yang disebut al-Bukhārī, Ibn Abū Ḥātim, dan juga Ibn Ḥibbān. Mereka berkata, beliau meriwayatkan daripada bapanya kemudiannya diriwayatkan daripadanya Mubashshir bin Ismā‘īl al-Ḥalabī. Al-Tirmīdhī meriwayatkan dalam kitab Jāmi‘nya satu hadith daripada jalan Mubashshir bin Ismā‘īl al-Ḥalabī daripadanya, daripada bapanya. Beliau berkata, aku bertanya kepada Abū Zur‘ah berkenaan hadith ini dengan berkata: Siapakah ‘Abd al-Raḥman bin al-‘Alā’? Jawabnya: Beliau adalah al-‘Alā’ bin al-Lujlāj.
Al-Dhahabī menyebut dalam Mīzān al-I‘tidāl apa yang diriwayatkannya sama dengan Mubashshir bin Ismā‘īl al-Ḥalabī. Ibn Ḥajar berpandangan maqbūl namun al-Albānī menyatakannya majhūl.
Hadith ini daif kerana riwayat ‘Abd al-Raḥman bin al-‘Alā’ dianggap lemah.

RUJUKAN

Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.

MAKLUMAN

Maklumat ini adalah hasil sumbangan penulis iaitu Saudari Nur Farha dan para dermawan seperti Saudara Haikal Mobaraya dan lain-lain, melalui Tabung Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs