Surah al-Mulk ialah penyelamat daripada azab kubur

TEKS BAHASA ARAB

 تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ هِيَ الْمُنَجِّيَةُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

TEKS BAHASA MALAYSIA

Tabaarak Allazi Biyadihi Al-Mulk (Surah al-Mulk) ialah penyelamat daripada azab kubur

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Seperti yang dinukilkan dalam terjemahan Kitab Al-Manar Al-Munif, kata Ibn Qayyim Al-Jawziyyah رحمه الله:

Hadis berkenaan menyebut kelebihan-kelebihan surah-surah dan sesiapa yang membaca surah ini akan mendapat ganjaran begini, merangkumi surah pertama al-Quran hingga ke akhirnya. Sepertimana yang disebut oleh as-Sa’labi pada setiap awal surah, dan az-Zamakhsyari pada akhir surah.

Berkata Abdullah bin al-Mubarak: Aku menyangka bahawa az-Zanadiqah (ahli bidaah) yang memalsukan hadis ini. Tamat.

Adapun hadis yang sahih tentang kelebihan surah adalah:
Hadis tentang al-Fatihah, bahawa tiada yang sepertinya diturunkan di dalam Taurat, Injil dan juga Zabur.
Hadis berkenaan surah al-Baqarah dan Ali ‘Imran digelar zahrawatun.
Hadis berkenaan ayat kursi, ia adalah ketua ayat-ayat al-Quran.
Hadis sesiapa yang membaca dua ayat terakhir daripada sural al-Baqarah pada malam hari nescaya cukuplah baginya.
Hadis rumah yang tidak dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya akan didatangi syaitan.
Hadis sesiapa yang membaca 10 ayat terawal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal.
Hadis (قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ (۱))menyamai sepertiga al-Quran.

Tidak ada hadis sahih tentang kelebihan-kelebihan ayat-ayat al-Quran melainkan yang telah disebutkan sahaja.

Hadis al-Mu’awwizatain tiada surah yang dapat memberi perlindungan sepertinya.
Sabda Rasulullah SAW:
أُنْزِلُ عَلَيَّ آيَاتٌ لَمْ يُرَ مِثْلَهُنَّ ثُمَّ قَرَأَهُمَا
“Telah diturunkan kepadaku ayat-ayat yang tidak sepertinya. Kemudian baginda membacanya (al-Mu’awwizatain)”

Hadis berikutnya pula adalah hadis yang tidak sahih:
Hadis (إِذَا زُلْزِلَتِ) menyamai separuh al-Quran.
Hadis (قُلْ يَأَيُّهَا الْكَافِرُونَ (۱))menyamai seperempat al-Quran.
Hadis: Surah al-Mulk ialah penyelamat daripada azab kubur.
Kemudian hadis-hadis berikutnya. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW.
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ كَذَا أُعْطِيَ ثَوَابَ كَذَا
“Sesiapa membaca surah ini akan diberikan ganjaran ini.”
Hadis ini adalah hadis palsu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW, pereka hadis ini telah mengakuinya dan beliau berkata: ‘Aku bermaksud untuk menyibukkan manusia dengan al-Quran, bukan selain daripadanya.’

Berkata para jahil yang terlibat dalam memalsukan hadis seperti ini. Kami berdusta untuk Rasulullah SAW, tetapi tidak berdusta ke atasnya.
Si jahil ini tidak tahu, sesiapa yang mendakwa sesuatu kenyataan kepada Rasulullah SAW, sedangkan baginda tidak berkata seperti itu, maka dia telah melakukan pendustaan ke atas baginda Nabi, serta dia berhak mendapat ancaman yang sangat berat.
—————————————————————————
Kata Pentakhrij Buku Kenali Hadis Sahih Dhoif Palsu, Cetakan Kemilau Publika:
Riwayat at-Tarmizi di dalam sunannya (2890), katanya: hadis hasan ghorib.

RUJUKAN

  1. Ibn Qayyim Al-Jawziyyah. Al-Manār Al-Munīf Fī Al-Ṣaḥīḥ Wal-Ḍa‘Īf. Ditahqiq oleh ‘Abd Al-Fattāḥ Abu Ghuddah. Ḥalab: Maktabah Al-Maṭbū‘ah Al-Islāmiyyah, 1970.
  2. Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Kenali Hadis Sahih Dhoif Palsu. Disunting oleh Solehah Abu Bakar. Selangor: Kemilau Publika, 2015.
 MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan seorang penaja yang menaja Projek Al-Manar Al-Munif yang dijalankan oleh Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja tersebut dan warga tim semakhadis.com. Aamiin! Mohon maklumkan kepada admin@semakhadis.com sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

beacon