Sesungguhnya syurga telah dipamerkan kepadaku dan aku tidak pernah melihat sesuatu pun seperti apa yang ada di dalamnya

Please complete the required fields.




TEKS BAHASA ARAB

إن الجنة عرضت علي، فلم أر مثل ما فيها، وإنها مرت بي خصلة من عنب، فأعجبتني، فأهويت إليها لآخذها، فسبقتني، ولو أخذتها لغرستها بين ظهرانيكم حتى تأكلوا من فاكهة الجنة، واعلموا أن الكمأة دواء العين، وأن العجوة من فاكهة الجنة، وأن هذه الحبة السوداء التي تكون في الملح؛ اعلموا أنها دواء من كل داء إلا الموت.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Sesungguhnya syurga telah dipamerkan kepadaku dan aku tidak pernah melihat sesuatu pun seperti apa yang ada di dalamnya. Sesungguhnya juga telah lalu di hadapanku segugus anggur lantas aku teruja dengannya lalu aku membongkokkan badanku ke arahnya untuk mengambilnya namun ia terlepas daripadaku. Jikalau aku mendapatkannya nescaya aku akan menanamnya di sekitar kalian agar kalian dapat makan buah-buahan syurga. Ketahuilah bahawa cendawan (truffle) adalah penawar kepada penyakit ‘ain dan kurma ‘ajwah adalah antara buah-buahan syurga. Sesungguhnya juga jintan hitam (habatussauda) ini yang ada di dalam garam, ketahuilah bahawa ia adalah penawar bagi segala penyakit kecuali mati.

STATUS

Lemah sanadnya

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 401, hadis nombor 2145. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:

(ضعيف الإسناد) عن ابن بريدة، عن أبيه – رضي الله عنه – أنه كان مع رسول الله ﷺ في اثنين وأربعين من أصحابه، والنبي ﷺ يصلي في المقام وهم خلفه جلوس ينتظرونه، فلما صلى أهوى فيما بينه وبين الكعبة كأنه يريد أن يأخذ شيئاً، ثم انصرف إلى أصحابه، فثاروا، وأشار إليهم أن اجلسوا، فجلسوا، فقال: «رأيتموني حين فرغت من صلاتي أهويت فيما بيني وبين الكعبة كأني أريد أن آخذ شيئاً؟»، قالوا: نعم يا رسول الله، قال: «إن الجنة عرضت علي، فلم أر مثل ما فيها، وإنها مرت بي خصلة من عنب، فأعجبتني، فأهويت إليها لآخذها، فسبقتني، ولو أخذتها لغرستها بين ظهرانيكم حتى تأكلوا من فاكهة الجنة، واعلموا أن الكمأة دواء العين، وأن العجوة من فاكهة الجنة، وأن هذه الحبة السوداء التي تكون في الملح؛ اعلموا أنها دواء من كل داء إلا الموت». [حم، «الضعيفة» (3899)].

(Lemah Sanadnya) Daripada Ibn Buraydah, daripada bapanya RA, bahawa beliau dan empat puluh dua orang sahabat lain pernah bersama Rasulullah ﷺ dan ketika itu Nabi ﷺ solat di Maqam Ibrahim sedangkan para sahabat lain duduk menunggu baginda di belakangnya. Tatkala baginda solat, baginda membongkokkan badan ke arah Kaabah seakan-akan ingin mengambil sesuatu. Kemudian baginda bergerak menuju kepada para sahabat baginda dan para sahabat lantas bergegas (ke arah baginda) lalu baginda mengisyaratkan kepada mereka untuk duduk, maka mereka pun duduk. Baginda berkata: “Kalian melihatku selepas aku selesai daripada solatku, aku membongkokkan badanku ke arah Kaabah seakan-akan aku ingin mengambil sesuatu?”. Mereka berkata: “Benar wahai Rasulullah”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya syurga telah dipamerkan kepadaku dan aku tidak pernah melihat sesuatu pun seperti apa yang ada di dalamnya. Sesungguhnya juga telah lalu di hadapanku segugus anggur lantas aku teruja dengannya lalu aku membongkokkan badanku ke arahnya untuk mengambilnya namun ia terlepas daripadaku. Jikalau aku mendapatkannya nescaya aku akan menanamnya di sekitar kalian agar kalian dapat makan buah-buahan syurga. Ketahuilah bahawa cendawan (truffle) adalah penawar kepada penyakit ‘ain dan kurma ‘ajwah adalah antara buah-buahan syurga. Sesungguhnya juga jintan hitam (habatussauda) ini yang ada di dalam garam, ketahuilah bahawa ia adalah penawar bagi segala penyakit kecuali mati”. [Riwayat Ahmad dalam al-Musnad. Lihat Silsilah al-Da’ifah, no. 3899].

RUJUKAN

Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia Berhad, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.