Sesungguhnya sembelihan yang terbaik adalah yang paling mahal dan yang paling gemuk

TEKS BAHASA ARAB

إن أفضل الضحايا أغلاها وأسمنها.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Sesungguhnya sembelihan yang terbaik adalah yang paling mahal dan yang paling gemuk.

STATUS

Lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 393, hadis nombor 2096. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:

(ضعيف) عن أبي الأشد (وقال الأصم: أبو الأسد) السلمي عن أبيه عن جده – رضي الله عنه – قال: كنت سابع سبعة مع رسول الله ﷺ، قال: فأمرنا أن نجمع لكل رجل منا درهما، فاشترينا أضحية بسبعة دراهم، فقلنا: يا رسول الله! لقد أغلينا بها، فقال رسول الله ﷺ: «إن أفضل الضحايا أغلاها وأسمنها». وأمر رسول الله ﷺ فأخذ رجل برجل، ورجل برجل، ورجل بيد، ورجل بيد، ورجل بقرن، ورجل بقرن، وذبحها السابع، وكبرنا عليها جميعا. [حم، أبو العباس الأصم في «حديثه»، هق، ك، ابن عساكر، «الضعيفة» (1678)].

(Lemah) Daripada Abu al-Ashadd (al-Asamm pula mengatakan: Abu al-Asad) al-Sulami, daripada bapanya, daripada datuknya RA, beliau berkata: Aku adalah orang yang ketujuh daripada tujuh orang (berkongsi binatang korban) bersama Rasulullah ﷺ. Beliau berkata lagi: Rasulullah ﷺ memerintahkan kami untuk mengumpulkan daripada setiap seorang kami satu dirham, lalu kami membeli seekor binatang korban dengan harga tujuh dirham. Kami lalu berkata: "Wahai Rasulullah, kita telah (membeli) ia dengan harga yang mahal". Rasulullah ﷺ pun menjawab: "Sesungguhnya sembelihan yang terbaik adalah yang paling mahal dan yang paling gemuk". Rasulullah ﷺ kemudiannya memberi arahan lalu satu orang memegang sebelah kaki (binatang korban), satu orang memegang sebelah lagi kaki, satu orang lagi memegang sebelah tangan, satu orang lagi memegang sebelah lagi tangan, satu orang memegang sebelah tanduk, satu orang lagi memegang sebelah lagi tanduk. Manakala yang ketujuh pula menyembelihnya. Lalu kami bertakbir buatnya bersama-sama. [Riwayat Ahmad dalam al-Musnad, Abu al-‘Abbas al-Asamm dalam Hadithih, al-Bayhaqi dalam Sunannya, al-Hakim dalam al-Mustadrak dan Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimashq. Lihat Silsilah al-Da’ifah, no. 1678].

RUJUKAN

Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia Berhad, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs