Lemah
minit bacaan
Teks Bahasa Arab
إن أفضل الضحايا أغلاها وأسمنها.
Teks Bahasa Melayu
Sesungguhnya sembelihan yang terbaik adalah yang paling mahal dan yang paling gemuk.
Sahabat Perawi
- Datuk Abu al-Ashadd (atau Abu al-Asad) al-Sulami RA
Ulama/Pengkaji Hadis
- Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H)
Status
Lemah
Komentar Ulama/Pengkaji Hadis
Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis daif dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 393, hadis no. 2096. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:
(Lemah) Daripada Abu al-Ashadd (al-Asamm pula mengatakan: Abu al-Asad) al-Sulami, daripada bapanya, daripada datuknya RA, beliau berkata: Aku adalah orang yang ketujuh daripada tujuh orang (berkongsi binatang korban) bersama Rasulullah ﷺ. Beliau berkata lagi: Rasulullah ﷺ memerintahkan kami untuk mengumpulkan daripada setiap seorang kami satu dirham, lalu kami membeli seekor binatang korban dengan harga tujuh dirham. Kami lalu berkata: "Wahai Rasulullah, kita telah (membeli) ia dengan harga yang mahal". Rasulullah ﷺ pun menjawab: "Sesungguhnya sembelihan yang terbaik adalah yang paling mahal dan yang paling gemuk". Rasulullah ﷺ kemudiannya memberi arahan lalu satu orang memegang sebelah kaki (binatang korban), satu orang memegang sebelah lagi kaki, satu orang lagi memegang sebelah tangan, satu orang lagi memegang sebelah lagi tangan, satu orang memegang sebelah tanduk, satu orang lagi memegang sebelah lagi tanduk. Manakala yang ketujuh pula menyembelihnya. Lalu kami bertakbir buatnya bersama-sama. [Riwayat Ahmad dalam al-Musnad, Abu al-‘Abbas al-Asamm dalam Hadithih, al-Bayhaqi dalam Sunannya, al-Hakim dalam al-Mustadrak dan Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimashq. Lihat Silsilah al-Da’ifah, no. 1678].
Rujukan
Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.
Makluman