Palsu
minit bacaan
Teks Bahasa Arab
أَن جِبْرِيل أَتَانِي لَيْلَة النّصْف من شعْبَان قَالَ قُم فصل إِلَى أَن قَالَ تفتح فِيهَا أَبْوَاب السَّمَاء وأبواب الرَّحْمَة ثَلَاثمِائَة بَاب إِلَى الصُّبْح فَيغْفر لجَمِيع من لَا يُشْرك بِاللَّه غير مُشَاحِن أَو عَاشر أَو مدمن خمر أَو مصر على زنا إِلَى أَن قَالَ فَخرج صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى البقيع وَسجد وتعوذ.
Teks Bahasa Melayu
Sesungguhnya Jibril datang kepadaku pada malam pertengahan bulan Sya’ban. Kemudian ia berkata: Bangunlah dan tunaikan solat sehingga ia berkata: Akan dibuka pada malam tersebut pintu-pintu langit dan pintu rahmat yang jumlahnya sebanyak tiga ratus pintu. Allah akan ampunkan sesiapa yang tidak menyekutukan Allah kecuali orang yang saling membenci, orang yang ketagihan arak atau orang yang sentiasa melakukan zina sehingga Ubai berkata: Maka Rasulullah SAW keluar menuju ke al-Baqi’ kemudian bersujud dan meminta perlindungan.
Sahabat Perawi
- Ubai Bin Ka’ab
Ulama/Pengkaji Hadis
- al-Fattanī (m. 986H)
Status
Palsu
Komentar Ulama/Pengkaji Hadis
Hadis ini disebut oleh al-Fattanī (m.986 H) رحمه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Taẓkirah Al-Mawḍū’āt, di halaman 45. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:
Di dalam kitab al-Zayl (kitab koleksi hadis palsu oleh al-Suyuti): Hadith yang diriwayatkan daripada Ubai Bin Ka’ab: “Sesungguhnya Jibril datang kepadaku pada malam pertengahan bulan Sya’ban. Kemudian ia berkata: Bangunlah dan tunaikan solat sehingga ia berkata: Akan dibuka pada malam tersebut pintu-pintu langit dan pintu rahmat yang jumlahnya sebanyak tiga ratus pintu. Allah akan ampunkan sesiapa yang tidak menyekutukan Allah kecuali orang yang saling membenci, orang yang ketagihan arak atau orang yang sentiasa melakukan zina sehingga Ubai berkata: Maka Rasulullah SAW keluar menuju ke al-Baqi’ kemudian bersujud dan meminta perlindungan.” Ia merupakan hadith yang panjang. Asal bagi hadith ini tidak panjang yang mana ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Dalam sebahagian risalah, Ali Bin Ibrahim berkata: Dan di antara perkara yang sengaja diada-adakan pada malam pertengahan bulan Sya’ban adalah solat ratusan ribu rakaat yang dibaca di dalamnya Surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali bagi setiap rakaat yang mana ia dilakukan secara berjemaah. Mereka sangat mementingkannya melebihi solat Jumaat dan Solat Sunat Hari Raya. Tiada satu pun hadith mahupun athar melainkan Ia adalah daif atau palsu. Pengarang kitab al-Qut, pengarang al-Ihya’, Tafsir al-Tha’alabi dan lain-lain tidak lupa untuk menyebutkan bahawa ia seperti malam al-Qadr (Lailatul Qadr). Bagi orang awam, jenis solat banyak mendatangkan musibah yang besar sehingga ada yang menyalakan api dengan sebab datangnya malam tersebut. Kesan daripada itu banyaknya terjadi perkara kefasikan, pelakuan perkara yang haram yang tidak boleh digambarkan sehingga para awliya’ takut datangnya bala dan menyebabkan mereka lari daripada musibah tersebut menuju ke kawasan yang lain. Peristiwa pertama terjadinya solat ini adalah di Baitul Maqdis pada tahun 448 H. Zaid Bin Aslam berkata: Kami tidak mengetahui guru-guru kami dan para fuqaha mengambil berat tentang malam al-Bara’ah (malam pertengahan bulan Sya’ban) dan tidak kami ketahui tentang kelebihannya berbanding hari-hari yang lain. Ibn Dihyah berkata: Hadith-hadith berkenaan solat al-Bara’ah adalah palsu dan Ia terputus sanad. Sesiapa yang beramal dengan satu hadith yang telah jelas kepalsuannya maka sebenarnya dia telah berkhidmat untuk syaitan. Ali Bin Ibrahim berkata: Kami melihat ramai yang melakukan solat ini pada malam yang pendek sehingga mereka terlepas solat subuh dan mereka bangun dalam keadaan yang sangat malas. Beliau berkata lagi: Para imam masjid yang jahil menjadikan solat al-Bara’ah, solat al-Raghaib dan lain-lain sebagai satu peluang untuk mengumpulkan orang awam sambal meminta menjadi pemimpin dan ketua. Para penglipur lara pula memenuhkan majlis mereka dengan bercerita berkenaan perkara sedemikian. Kesemua itu sangat jauh dari kebenaran. Kemudiannya, Allah membangkitkan para imam untuk membidas amalan solat ini dan hilanglah amalan ini. Amalan tersebut hilang selama-lamanya di negeri Mesir dan Syam pada permulaan tahun 800 H. Ibn al-‘Arabi telah menilai hadith Aisyah tentang solat pada malam pertengahan bulan Sya’ban sebagai hadith yang daif secara mutlak. Begitu juga dengan pembebasan hamba daripada neraka yang sama jumlahnya dengan syair yang didendangkan oleh Bani al-Kalb. Hamba yang hina ini berkata: Hadith ‘Aisyah di mana beliau keluar menuju ke al-Baqi’ kemudian turunnya Allah pada malam pertengahan bulan Sya’ban ke langit dunia lantas Dia mengampunkan dosa lebih banyak daripada syair yang didendangkan oleh Bani al-Kalb adalah hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Beliau berkata: Di dalam bab yang sama ada hadith daripada Abu Bakar al-Siddiq. Aku (al-Tirmizi) mendengar Muhammad (Imam al-Bukhari) menilai hadith ‘Aisyah sebagai hadith daif. al-Tirmizi berkata lagi: Di dalam sanad tersebut terdapat dua tempat di mana berlakunya pemutusan sanad. Aku katakan: Harus beramal dengan hadith daif. Boleh jadi mereka menolaknya kerana mereka membandingkannya dengan hadith munkar. ‘Ali berkata: Kawasan pertama yang menyalakan api pada malam al-Bara’ah adalah di Mekah. Mereka itu sebenarnya dahulu adalah penyembah api. Apabila mereka memeluk islam, mereka menjadikannya sebagai perkara biasa di dalam agama dan niat mereka adalah untuk menyembah api. Tidak ada di dalam syariat keharusan menyalakan api yang melebihi hajat pada satu tempat. Perbuatan menyalakan api yang dilakukan oleh jemaah haji di bukit Arafah dan kawasan Tanah Haram adalah termasuk di dalam jenis ini. Ali berkata lagi: al-Turtusyi membidas perbuatan berkumpul pada malam terakhir solat Tarawih dan juga perbuatan meninggikan mimbar-mimbar. Beliau menjelaskan bahawa ia adalah bid’ah yang dibenci dan lebih teruk lagi apa yang berlaku hari ini di mana bercampurnya lelaki dan wanita di dalam majlis penglipur lara. Mereka saling rapat antara satu sama lain sehingga diceritakan ada lelaki yang memeluk wanita dari belakang dan melakukan perkara yang tidak elok kepada wanita tersebut. Para wanita dan yang lain pula ada yang melakukan perkara kefasikan, mencuri, mengotorkan tempat ibadah dan menghina rumah Allah. Kesemuanya adalah bid’ah yang sesat.
Rujukan
Muḥammad Ṭāhir bin ‘Alī al-Fattanī. (1343). Taẓkirah al-Mawḍū’āt. Idārah al-Ṭibā‘ah al-Munīrah.
Makluman