Palsu
minit bacaan
Teks Bahasa Arab
عَن أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قال: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يقُول: مَن زَارَ قَبْرَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدِهِمَا يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَقَرَأَ يس غُفِرَ لَهُ.
Teks Bahasa Melayu
Daripada Abū Bakr al-Ṣiddīq r.a, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka pada hari Jumaat dan dibacakan Surah Yasin maka akan diampunkan dosanya.
Sahabat Perawi
- Abu Bakr al-Siddiq RA
Ulama/Pengkaji Hadis
- Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai (Penyelia Dr. Faisal Ahmad Shah)
Status
Palsu
Komentar Ulama/Pengkaji Hadis
Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 73, hadis no. 10. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:
Diriwayatkan Ibn ‘Adī dalam al-Kāmil melalui jalan Ibn al-Jawzī dalam al-Mawḍū‘āt, Abū al-Shaikh dalam Thawāb al-A‘māl. Abū Nu‘aim dalam Tārikh al-Aṣbahān, al-Dailāmī dalam Musnad al-Firdaus, al-Rāfi‘ī dalam al-Tadwīn fī Akhbār Qazwīn melalui ‘Amr bin Ziyād daripada Yaḥyā bin Salīm al-Ṭā’ifī daripada Hishām bin ‘Urwah daripada bapanya daripada ‘Āishah daripada Abū Bakr al-Siddiq. Pada sanad ini terdapat Amr bin Ziyād bin’Abd al-Raḥman bin Thawbān al-Thawbānī al-Bāhilī. Abū Zur‘ah, Abū Ḥātim, Ibn ‘Adī dan al-Dāruquṭnī mendustakannya. Menurut Ibn ‘Adī, hadith ini berserta dengan sanadnya adalah bāṭil dan tiada asal. Al-Albānī pula menghukumkannya palsu. Hadith ini palsu kerana terdapat ‘Amr bin Ziyād yang didustakan.
Rujukan
Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.
Makluman