Sesiapa yang memberikan keluasan ke atas keluarganya

TEKS BAHASA ARAB

 مَنْ وَسَّعَ عَلَى عِيَالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللهُ عَلَيْهِ سَائِرَ سَنَتِهِ

TEKS BAHASA MALAYSIA

Sesiapa yang memberikan keluasan ke atas keluarganya pada hari ‘Asyura maka Allah akan memberikan keluasan padanya sepanjang tahun.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Seperti yang dinukilkan dalam terjemahan Kitab Al-Manar Al-Munif, kata Ibn Qayyim Al-Jawziyyah رحمه الله:

Antara ciri hadis palsu ialah hadis yang menggalakkan memakai celak, berhias, berlapang dada, solat pada hari ‘Asyura serta kelebihan-kelebihan lain pada hari berkenaan.
Tidak ada hadis sahih yang berkaitan dengan perkara di atas. Tidak ada satu hadis sahih pun yang menyebutkannya dan tidak ada yang sabit daripada Nabi padanya melainkan hadis-hadis puasa pada hari tersebut. Selain daripada itu, semuanya palsu.
Contoh hadis palsu tersebut:
مَنْ وَسَّعَ عَلَى عِيَالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللهُ عَلَيْهِ سَائِرَ سَنَتِهِ
“Sesiapa yang memberikan keluasan ke atas keluarganya pada hari ‘Asyura maka Allah akan memberikan keluasan padanya sepanjang tahun.”
Imam Ahmad berkata: Hadis ini tidak sahih.
Hadis yang menganjurkan memakai celak, minyak wangian adalah hadis yang dipalsukan oleh golongan pendusta. Lalu orang lain menerimanya dan menjadikan hari ‘Asyura sebagai hari menderita dan bersedih. Dua kelompok ini sudah jelas terkeluar daripada landasan as-Sunnah.
Ahli Sunnah hanya akan mengerjakan apa yang diarahkan oleh Nabi iaitu berpuasa di hari ‘Asyura. Ahli Sunnah meninggalkan perbuatan yang diperintahkan oleh syaitan kerana ia terkandung dalam perkara bidaah.
—————————————————–
Kata Pentakhrij Buku Kenali Hadis Sahih Dhoif Palsu, Cetakan Kemilau Publika:
Direkodkan olehad-Daruqtunidi dalam al-Afrad seperti di dalam al-Lali’ Masnu’ah (2/111), at-Tabrani di dalam al-Kabir ( jilid 10, no. 10 007), al-‘Uqaili di dalam adh-Dhu’afa (3/252), Ibnu ‘Adi di dalam al-Kamil (5/1854), al-Baihaqi di dalam Syu’bul Iman (2791-3792), di dalam Fadhail al-Auqat, Abu Syeikh seperti di dalam al-Maqasid al-Hasanah (ms 746) dan Ibnu Jauzi di dalam al-Maudhu’at (2/572), Syeikhul Islam berkata di dalam Majmuk Fatawa (25/313): (Berkata Harbul Kirmani berkenaan masalah ini ketika Imam Ahmad bertanya tentang hadis ini: Aku tidak melihat sesiapa pun meriwayatkannya. Rujuk: al-Fawaid al-Majmu’ah (ms 98) dan Tanzih asy-Syari’ah (2/158) padanya terdapat ulasan terhadap kata-kata Imam Ahmad yang disebutkan oleh penulis.

RUJUKAN

  1. Ibn Qayyim Al-Jawziyyah. Al-Manār Al-Munīf Fī Al-Ṣaḥīḥ Wal-Ḍa‘Īf. Ditahqiq oleh ‘Abd Al-Fattāḥ Abu Ghuddah. Ḥalab: Maktabah Al-Maṭbū‘ah Al-Islāmiyyah, 1970.
  2. Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Kenali Hadis Sahih Dhoif Palsu. Disunting oleh Solehah Abu Bakar. Selangor: Kemilau Publika, 2015.
 MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan seorang penaja yang menaja Projek Al-Manar Al-Munif yang dijalankan oleh Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja tersebut dan warga tim semakhadis.com. Aamiin! Mohon maklumkan kepada admin@semakhadis.com sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

beacon