Sesiapa yang melihat jenazah dan dia berkata

TEKS BAHASA ARAB

من رأى جنازة فقال: الله أكبر الله أكبر صدق الله ورسوله هذا ما وعد الله ورسوله، اللهم زده إيمانا وتسليما، كتب الله له عشرين حسنة في كل يوم يقولها إلى يوم القيامة.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Sesiapa yang melihat jenazah dan dia berkata: Allah Maha Besar, benarlah Allah dan RasulNya. Inilah apa yang dijanjikan Allah dan RasūlNya. Ya Allah, tambahkanlah kepada kami keimanan dan kesejahteraan. Maka akan dicatat kepadanya dua puluh kebaikan setiap hari sehingga hari kiamat.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 61, hadis nombor 4. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يَحْيَى الْحُلْوَانِيُّ، ثنا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ الْمَقَابِرِيُّ، ثنا سُلَيْمَانُ بْنُ عَمْرٍو النَّخَعِيُّ، عَنِ الْمُخْتَارِ بْنِ فُلْفُلٍ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ رَأَى جَنَازَةً فَقَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ صَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ، هَذَا مَا وَعَدَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ، اللَّهُمَّ زِدْنَا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا، كُتِبَ لَهُ عِشْرُونَ حَسَنَةً في كل يوم إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.

Aḥmad bin Yaḥyā al-Ḥilwānī telah menceritakan kepada kami, Yaḥyā bin Ayyūb al-Maqābirī telah menceritakan kepada kami, Sulaymān bin ‘Amr al-Nakha‘ī telah menceritakan kepada kami, daripada al-Mukhtār bin Fulful, daripada Anas bin Mālik r.a daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang melihat jenazah dan dia berkata: Allah Maha Besar, benarlah Allah dan RasulNya. Inilah apa yang dijanjikan Allah dan RasūlNya. Ya Allah, tambahkanlah kepada kami keimanan dan kesejahteraan. Maka akan dicatat kepadanya dua puluh kebaikan setiap hari sehingga hari kiamat.


Hadith ini riwayat al-Ṭabrānī dalam al-Du‘ā’ dan al-Dailamī dalam Musnad al-Firdaus melalui jalan Sulaymān bin ‘Amr al-Nakha‘ī daripada al-Mukhtār bin Fulful daripada Anas bin Mālik. Dalam al-Firdaus, hadith ini diriwayatkan daripada Anas.


Dalam sanad hadith ini terdapat Sulaymān bin ‘Amr Abū Dāwūd al-Nakha‘ī yang merupakan pendusta yang terkenal. Menurut Ibn Ḥajar, kata-kata padanya tiada batasan. Beliau dinilai sebagai pendusta dan dinisbahkan kepada pemalsuan dalam kalangan ulama terdahulu dan juga ulama kontemporari.


Hadith ini palsu disebabkan Sulaymān bin ‘Amr al-Nakha‘ī yang terkenal berdusta.

RUJUKAN

Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.

MAKLUMAN

Maklumat ini adalah hasil sumbangan penulis iaitu Saudari Nur Farha dan para dermawan seperti Saudara Ardi dan lain-lain, melalui Tabung Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.