Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan dengan riyak

TEKS BAHASA ARAB

من عمل عملا رياء؛ لم يكتب لا له ولا عليه.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan dengan riyak, tidak ditulis ganjaran untuknya (pahala) dan ke atasnya (dosa).

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 2042, hadis nombor 10278. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:

(موضوع)
عن أبي صالح قال: كان عبد الرحمن بن غنم في مسجد دمشق في نفر من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم فيهم معاذ بن جبل، فقال عبد الرحمن بن غنم: يا أيها الناس! إن أخوف ما أخاف عليكم الشرك الخفي، فقال معاذ: اللهم غفراً! فقال: يا معاذ! أما سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: من صام رياءً؛ فقد أشرك، ومن تصدق رياءً؛ فقد أشرك، ومن صلى رياءً؛ فقد أشرك؟! قال: بلى، ولكن رسول الله صلى الله عليه وسلم تلا هذه الآية: (فمن كان يرجو لقاء ربه …) الآية، فشق ذلك على القوم واشتد عليهم، فقال: ألا أفرجها عنكم؟!، قالوا: بلى؛ فرج الله عنك الهم والأذى! فقال: هي مثل الآية التي في (الروم): (وما آتيتم من ربا ليربوا في أموال الناس فلا يربوا عند الله …) الآية. من عمل عملًا رياءً؛ لم يُكتب لا له ولا عليهِ.
[البزار، هب، ((الضعيفة)) (5249)]

(Palsu)
Daripada Abu Salih, beliau berkata: Suatu ketika, ‘Abdurrahman bin Ghanm berada di dalam masjid di Damsyik bersama-sama beberapa sahabat Nabi SAW, dalam kalangan mereka ialah Mu’az bin Jabal. ‘Abdurrahman bin Ghanm berkata: Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya perkara yang paling aku takutkan tentang kamu ialah syirik yang tersembunyi. Lalu Mu’az berkata: Wahai Allah, aku memohon keampunan-Mu! ‘Abdurrahman berkata: Wahai Mu’az! Tidakkah kamu pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berpuasa dalam keadaan riyak, maka dia telah melakukan syirik. Sesiapa yang bersedekah dalam keadaan riyak, maka dia telah melakukan syirik. Sesiapa yang melakukan solat dalam keadaan riyak, maka dia telah melakukan syirik. Mu’az menjawab: Ya, tetapi Rasulullah SAW pernah membaca ayat ini: ﴾فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ…﴿ Lalu manusia merasa berat dan ayat itu membelenggu mereka. Maka Baginda bersabda: Tidakkah kamu mahu aku menenangkan kamu? Mereka menjawab: Ya, semoga Allah menenangkan kamu daripada kesedihan dan mudarat! Lalu Baginda bersabda: Ayat ini seperti ayat dalam Surah al-Rum: ﴾وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ رِبًا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُو عِنْدَ اللَّهِ…﴿ Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan dengan riyak, tidak ditulis ganjaran untuknya (pahala) dan ke atasnya (dosa).
[Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman. Lihat Silsilah al-Da’ifah, no. 5249]

RUJUKAN

Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Badan Kebajikan Telekom Malaysia Berhad, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.