Sesiapa dalam kalangan hamba Allah yang datang peringatan kepadanya

TEKS BAHASA ARAB

أيما عبد جاءته موعظة من الله في دينه؛ فإنما هي نعمة من الله سيقت إليه، فإن قبلها بشكر، وإلا؛ كانت حجة من الله [ عليه ]؛ ليزداد بها إثما، ويزداد الله عليه بها سخطا.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Sesiapa dalam kalangan hamba Allah yang datang peringatan kepadanya berkaitan agamanya, maka sesungguhnya ia merupakan nikmat daripada Allah yang dibawa kepadanya jika dia menerimanya dengan rasa syukur. Jika tidak, ia akan menjadi hujah Allah ke atasnya, lalu Allah menambah dosa dan kemurkaan-Nya kerananya.

STATUS

Lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 2046, hadis nombor 10297. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:

(ضعيف)
عن الأوزاعي، قال: بعث إليّ أمير المؤمنين وأنا بالساحل، فلما وصلت إليه سلمت عليه بالخلافة، فرد عليّ وأجلسني، ثم قال: ما الذي بطأ بك عنا يا أوزاعي؟ قلت: وما الذي تريد يا أمير المؤمنين؟ قال: أريد الأخذ عنكم، والاقتباس من علمكم، قلت: فانظر يا أمير المؤمنين لا تجهل شيئًا مما أقول لك، قال: وكيف أجهل وأنا أسألك عنه، وفيه وجّهت إليك، وأقدمتك له؟ قلت: أن تسمعه ولا تعمل به يا أمير المؤمنين! من كره الحق: فقد كره الله، إن الله هو الحق المبين، قال: فصاح بي الربيع وأهوى بيده إلى السيف، فانتهره المنصور وقال: هذا مجلس مثوبة لا مجلس عقوبة، فطابت نفسي وانبسطت في الكلام، وقلت: يا أمير المؤمنين! حدثني مكحول عن عطية بن بُسْر قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أيما عبدٍ جاءتْهُ موعظةٌ من اللهِ في دِينِه؛ فإنما هيَ نعمةٌ من اللهِ سِيقتْ إليهِ، فإن قَبِلَها بشكرٍ، وإلا؛ كانت حُجَّةٌ من اللهِ [ عليه ]؛ ليزداد بها إثمًا، ويزداد اللهُ عليه بها سخطًا.
[هب، ((الضعيفة)) (5642)]

(Lemah)
Daripada al-Auza’i, beliau berkata: Amir al-Mukminin telah menghantar utusan kepadaku untuk menghadapnya ketika aku berada di pesisiran pantai. Apabila aku telah sampai, aku memberi salam hormat kepadanya, lalu beliau menjawab salam dan menyuruh aku duduk. Kemudian beliau berkata: Apa yang menyebabkan kamu lewat, wahai Auza’i? Aku menjawab: Apa yang kamu inginkan, wahai Amir al-Mukminin? Beliau berkata: Aku mahu mengambil sesuatu daripadamu, dan memetik ilmumu. Aku berkata: Maka perhatikanlah, wahai Amir al-Mukminin, dan janganlah kamu tidak mengambil endah akan sesuatu pun daripada apa yang aku akan katakan kepadamu. Beliau berkata: Takkanlah aku tidak mengambil endah, sedangkan aku yang memintanya daripadamu, dan aku menghadapkan diriku kepadamu untuknya, dan aku menyuruh kamu datang kerananya? Aku menjawab: Aku maksudkan yang kamu mendengarnya tetapi tidak beramal dengannya, wahai Amir al-Mukminin! Sesiapa yang membenci kebenaran, maka dia telah membenci Allah, kerana Allah itulah yang Maha Benar lagi Nyata. Beliau berkata: Kemudian al-Rabi’ berteriak kepadaku dan tangannya mencapai pedang. al-Mansur terus mengherdik al-Rabi dan berkata: Ini majlis pahala, bukan majlis hukuman. Lalu aku berasa senang dan meneruskan bicara. Aku berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Makhul telah menyampaikan kepadaku daripada ‘Atiyyah bin Busr, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa dalam kalangan hamba Allah yang datang peringatan kepadanya berkaitan agamanya, maka sesungguhnya ia merupakan nikmat daripada Allah yang dibawa kepadanya jika dia menerimanya dengan rasa syukur. Jika tidak, ia akan menjadi hujah Allah ke atasnya, lalu Allah menambah dosa dan kemurkaan-Nya kerananya.
[Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman. Lihat Silsilah al-Da’ifah, no. 5642]

RUJUKAN

Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Badan Kebajikan Telekom Malaysia Berhad, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.