Seorang mukmin itu tidak dicela atas sesuatu yang menimpanya

TEKS BAHASA ARAB

المؤمن لا يثرب على شيء أصابه في الدنيا، إنما يثرب على الكافر.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Seorang mukmin itu tidak dicela atas sesuatu yang menimpanya di dunia. Sesungguhnya yang dicela itu adalah ke atas orang kafir.

STATUS

Sangat lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 86, hadis nombor 426. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:

(ضعيف جدا)
عن عبد الله بن مسعود – رضي الله عنه – أن أبا بكر خرج لم يخرجه إلا الجوع، وأن عمر خرج لم يخرجه إلا الجوع، وأن النبي – صلى الله عليه وسلم – خرج عليهما، وأنهما أخبراه أنه لم يخرجهما إلا الجوع. فقال: انطلقوا بنا إلى منزل رجل من الأنصار، يقال له: أبو الهيثم بن التيهان؛ فإذا هو ليس في المنزل؛ ذهب يستسقي. قال: فرحبت المرأة برسول الله – صلى الله عليه وسلم – وبصاحبيه، وبسطت لهم شيئاً، فجلسوا عليه. فسألها النبي – صلى الله عليه وسلم -: أين انطلق أبو الهيثم؟ قالت: ذهب يستعذب لنا. فلم يلبثوا أن جاء بقربة فيها ماء، فعلقها، وأراد أن يذبح لهم شاة، فكأن النبي – صلى الله عليه وسلم – كره ذاك لهم، قال: فذبح لهم عناقاً، ثم انطلق فجاء بكبائس من النخل، فأكلوا من ذلك اللحم والبر والرطب، وشربوا من الماء. فقال أحدهما – إما أبو بكر وإما عمر -: هذا من النعيم الذي يسأل عنه؟! فقال النبي – صلى الله عليه وسلم: المؤمن لا يثرب على شيء أصابه في الدنيا، إنما يثرب على الكافر.
[طب، ((الضعيفة)) (4672)]

(Sangat Lemah)
Daripada ‘Abdullah ibn Mas‘ūd RA: “Sesungguhnya Abū Bakr RA keluar yang tiada menyebabkan beliau keluar melainkan rasa lapar. Dan ‘Umar RA keluar yang tiada menyebabkan beliau keluar melainkan rasa lapar. Dan Nabi SAW keluar ke arah kedua-duanya. Mereka berdua memberitahu kepada Baginda SAW bahawa tidaklah mereka keluar melainkan kelaparan. Lalu Baginda SAW telah bersabda: “Marilah pergi bersama kami menuju ke rumah seorang lelaki daripada kalangan Ansar.” Yang dikenali sebagai Abū al-Haitham ibn al-Tayyihān. Namun dia tidak ada di rumah, kerana telah pergi mencari air. Beliau (‘Abdullah ibn Mas‘ūd RA) telah berkata: “Kemudian ada seorang perempuan yang mengalu-alukan Rasulullah SAW dan dua sahabat Baginda SAW. Dia membentangkan kepada mereka sesuatu, lalu mereka pun duduk di atasnya. Maka Nabi SAW bertanya kepadanya: “Ke manakah Abū al-Haitham pergi?” Perempuan itu telah menjawab: “Beliau keluar untuk mencari air untuk kami.” Tidak lama mereka duduk, dia datang membawa sebekas air lalu menggantungnya dan dia hendak menyembelih kambing untuk mereka. Kemudian Nabi SAW seakan tidak suka mereka melakukannya. Beliau (‘Abdullah ibn Mas‘ūd RA) telah berkata: “Maka dia pun menyembelih anak kambing untuk mereka. Kemudian dia beredar dan datang membawa setangkai buah kurma. Mereka pun makan daging, gandum, buah kurma dan mereka juga minum air. Lalu salah seorang mereka telah berkata – sama ada Abū Bakr atau ‘Umar -: “Adakah ini merupakan sebahagian daripada nikmat yang akan ditanyakan?” Maka Nabi SAW telah bersabda: “Seorang mukmin itu tidak dicela atas sesuatu yang menimpanya di dunia. Sesungguhnya yang dicela itu adalah ke atas orang kafir.”
[Diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dalam al-Mu‘jam al-Kabīr. Lihat Silsilah al-Ḍa‘īfah, no. 4672]

RUJUKAN

Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Badan Kebajikan Telekom Malaysia Berhad, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs