Orang yang membawa (makanan atau keperluan untuk dijual) ke pasar kami adalah seperti orang yang berjihad

TEKS BAHASA ARAB

أبشر فإن الجالب إلى سوقنا كالمجاهد في سبيل الله، والمحتكر في سوقنا كالملحد في كتاب الله.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Bergembiralah, kerana sesungguhnya orang yang membawa (makanan atau keperluan untuk dijual) ke pasar kami adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah. Manakala orang yang menyembunyikan (barangan keperluan) di pasar kami adalah seperti orang yang tidak percaya dengan kitab Allah.

STATUS

Munkar

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 594, hadis nombor 3062. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:

(منكر) عن اليسع بن المغيرة –رضي الله عنه– قال: مر رسول الله صلى الله عليه وسلم ‌برجل ‌بالسوق يبيع طعاما بسعر هو أرخص من سعر السوق، فقال: تبيع في سوقنا بسعر هو أرخص من سعرنا؟ قال: نعم. قال: صبرا واحتسابا؟ قال: نعم. قال: ((أبشر فإن الجالب إلى سوقنا كالمجاهد في سبيل الله، والمحتكر في سوقنا كالملحد في كتاب الله)). [ك، ((الضعيفة)) (1298)].

(Munkar) Daripada Ilyasa’ bin al-Mughirah RA berkata: “Rasulullah SAW melintasi seorang lelaki di sebuah pasar yang menjual makanan dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran, lalu baginda bertanya: ((Kamu menjual di pasar kami dengan harga yang lebih murah daripada harga kami?)) Dia menjawab: “Ya.” Baginda bertanya lagi: ((Dengan sabar dan mengharapkan (pahala)?)) Dia menjawab: “Ya.” Baginda pun bersabda: ((Bergembiralah, kerana sesungguhnya orang yang membawa (makanan atau keperluan untuk dijual) ke pasar kami adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah. Manakala orang yang menyembunyikan (barangan keperluan) di pasar kami adalah seperti orang yang tidak percaya dengan kitab Allah)). [Diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak. Lihat Silsilah al-Ḍa‘īfah, no. 1298].

RUJUKAN

Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Telekom Malaysia, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs