Orang Mukmin tidak akan dipersalahkan tentang apa yang mereka nikmati di dunia

Please complete the required fields.




TEKS BAHASA ARAB

المؤمن لا يثرب على شيء أصابه في الدنيا، إنما يثرب على الكافر.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Orang Mukmin tidak akan dipersalahkan tentang apa yang mereka nikmati di dunia, tetapi orang kafir akan dipersalahkan.

STATUS

Sangat lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 488, hadis nombor 2625. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:

(ضعيف جدا) عن عبد الله بن مسعود –رضي الله عنه- أن أبا بكر خرج لم يخرجه إلا الجوع، وأن عمر خرج لم يخرجه إلا الجوع، وأن النبي ﷺ خرج عليهما، وأنهما أخبراه أنه لم يخرجهما إلا الجوع. فقال: ((انطلقوا بنا إلى منزل رجل من الأنصار))، يقال له: أبو الهيثم بن التيهان؛ فإذا هو ليس في المنزل؛ ذهب يستسقي. قال: فرحبت المرأة برسول الله ﷺ وبصاحبيه، وبسطت لهم شيئا، فجلسوا عليه. فسألها النبي ﷺ: ((أين انطلق أبو الهيثم؟)). قالت: ذهب يستعذب لنا. فلم يلبثوا أن جاء بقربة فيها ماء، فعلقها، وأراد أن يذبح لهم شاة، فكأن النبي ﷺ كره ذلك لهم، قال: فذبح لهم عناقا، ثم انطلق فجاء بكبائس من النخل، فأكلوا من ذلك اللحم والبسر والرطب، وشربوا من الماء. فقال أحدهما – إما أبو بكر وإما عمر -: هذا من النعيم الذي يسأل عنه؟! فقال النبي ﷺ: ((المؤمن لا يثرب على شيء أصابه في الدنيا، إنما يثرب على الكافر)). [طب، ((الضعيفة)) (4672)]

(Sangat Lemah)
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, beliau menceritakan bahawa suatu ketika Abu Bakar keluar dan tidaklah beliau keluar ketika itu melainkan kerana kelaparan, dan Umar juga keluar, dan tidaklah beliau juga keluar ketika itu melainkan kerana kelaparan. Kemudian Nabi SAW keluar bertemu keduanya dan mereka menceritakan kepada baginda bahawa tidaklah mereka keduanya itu keluar melainkan kerana kelaparan. Baginda SAW seraya berkata: Marilah kita pergi ke rumah seorang lelaki Ansar. Lelaki itu dipanggil sebagai Abu al-Haitham ibn al-Tayyihan. Apabila mereka tiba disana, beliau tiada di rumahnya kerana keluar mencari minum. Perawi berkata: Lalu seorang wanita menyambut baginda SAW dan kedua sahabatnya. Dia membentangkan suatu alas dan mereka duduk di atasnya. Nabi SAW bertanya kepadanya: Kemanakah perginya Abu al-Haitham? Dia menjawab: Beliau keluar mencari sesuatu untuk menyegarkan tekak kami. Mereka tidak duduk lama sehingga kemudiannya Abu al-Haitham pun pulang membawakan sekantung air lalu beliau menggantungnya. Dan beliau ingin menyembelih buat mereka seekor kambing, namun Rasulullah SAW seakan tidak berapa selesa akan hal itu. Perawi berkata: Beliau pun menyembelih anak kambing betina, kemudiannya beliau pergi dan kembali dengan setandan kurma, lalu mereka kemudiannya memakan dari tandan itu isinya, dan al-Busr (kurma yang belum menjadi rutab), serta rutab, dan meminum air. Lalu berkatalah salah seorang daripada mereka, sama ada Abu Bakar atau Umar: Adakah ini daripada nikmat yang akan ditanyakan tentangnya? Lalu baginda SAW bersabda: Orang Mukmin tidak akan dipersalahkan tentang apa yang mereka nikmati di dunia, tetapi orang kafir akan dipersalahkan.
[Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir. Lihat Silsilah al-Da'ifah no. 4672]

RUJUKAN

Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia Berhad, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.