Munkar
minit bacaan
Teks Bahasa Arab
كُلوا، ولا تكسِروا عظمًا.
Teks Bahasa Melayu
Makanlah, tetapi jangan patahkan tulang-temulangnya.
Sahabat Perawi
- ‘Abd al-Rahman bin Ka‘b bin Malik RA
Ulama/Pengkaji Hadis
- Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H)
Status
Munkar
Komentar Ulama/Pengkaji Hadis
Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis daif dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 1063, hadis no. 5426. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:
(Munkar): Daripada ‘Abd al-Rahman bin Ka‘b bin Malik, beliau menceritakan: Jabir bin ‘Abdullah datang bertemu Rasulullah SAW, lalu memberi salam kepada Baginda. Baginda segera membalas salam tersebut. Ketika itu saya dapat lihat wajah Baginda SAW berubah, saya jangka wajah Baginda tidak akan berubah begitu melainkan kerana kelaparan. Saya segera pulang ke rumah, dan bertanya kepada isteri saya: Habislah, sebentar tadi saya bertemu Rasulullah SAW, saya pun beri salam kepadanya dan Baginda menjawab salam saya dalam keadaan wajah Baginda berubah. Saya tahu wajah Baginda tidaklah berubah sedemikian melainkan kerana lapar. Adakah kamu ada apa-apa makanan? Isteriku menjawab: Demi Allah. Kita hanya ada seekor kambing, beberapa sisa makanan yang kita berikan kepada anak-anak supaya mereka tidak menangis. Saya bertanya: Apakah pendapat kamu jika kita sembelih kambing tersebut, dan kita hidangkan kepada Rasulullah makanan-makanan yang kita ada? Dia menjawab, Jika kamu mahu, saya boleh lakukannya. Saya pun menyembelih kambing tersebut, sementara isteri saya menguli dan memasak roti sekadar apa yang ada. Kemudian kami siapkan tharid dalam sebuah pinggan besar, berlaukkan kambing yang disembelih. Saya pun bawa hidangan tersebut kepada Rasulullah SAW, dan saya letakkan di hadapan Baginda. Baginda bertanya: Apakah yang kamu bawa ini, wahai Jabir?. Saya menjawab: Wahai Rasulullah, saya datang bertemu kamu tadi, saya beri salam dan saya dapati wajah kamu berubah. Justeru saya menyangka wajahmu berubah kerana kelaparan. Maka saya pun sembelih seekor kambing milik kami, dan saya hidangkannya kepada kamu. Baginda berkata: Jabir, pergilah, dan himpunkan orang-orang kampung anda. Maka saya pun pergi ke kampung-kampung orang Arab untuk menghimpunkan mereka. Saya bawa mereka bertemu Rasulullah. Baginda bersabda: “Bawa mereka bertemu saya secara kelompok-kelompok. Maka mereka pun makan makanan tersebut beramai-ramai secara bergilir-gilir, sehingga kesemua mereka kekenyangan. Sedangkan makanan yang berbaki seperti tidak berluak sahaja. Baginda SAW berpesan ketika makan: Makanlah, tetapi jangan patahkan tulang-temulangnya. Tulang-temulang tersebut Baginda kumpulkan, dan letak di tengah pinggan besar tersebut. Kemudian Baginda meletakkan tangannya di atas pinggan, dan Baginda mengumat-kamitkan bibirnya membaca sesuatu yang saya tidak dapat dengar. Tiba-tiba bangkit seekor kambing, sempat menggerak-gerakkan telinganya. Baginda berkata: Ambillah kambingmu ini, wahai Jabir. Semoga Allah memberkati kambing ini untuk kamu. Saya pun mengambil kambing tersebut dan berjalan pulang ke rumah. Kambing tersebut asyik menggeselkan telinga kepada saya, sehinggalah saya sampai ke rumah. Isteri saya bertanya: Kambing siapakah ini, wahai Jabir?. Saya memberi tahu: Demi Allah, ini kambing kita yang kita sembelih tadi untuk Rasullah SAW. Baginda telah berdoa kepada Allah, maka Dia menghidupkannya. Isteri saya berkata: Sesungguhnya saya bersaksi bahawa Baginda sememangnya utusan Allah, sesungguhnya saya bersaksi bahawa Baginda sememangnya utusan Allah, sesungguhnya saya bersaksi bahawa Baginda sememangnya utusan Allah. [Riwayat Abu Nu‘aim dalam Dala’il al-Nubuwwah. Lihat Silsilah al-Dha'ifah (5291)]
Rujukan
Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.
Makluman