Kisah Nyanyian Anak-Anak Gadis Bani an-Najjar Ketika Menyambut Hijrah Rasulullah ke Madinah

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

… Kemudian Rasulullah SAW meninggalkan Quba’ lalu menuju ke tempat perhimpunan masyarakat Aws dan Khazraj. Mereka adalah orang-orang Ansar. Mereka melingkungi Nabi SAW di kanan dan kiri jalan, sambil memikul pedang di atas belakang. Jiwa-jiwa mereka penuh dengan kegembiraan dan kesukaan. Itulah merupakan saat yang terakam abadi dalam sejarah kota Madinah dan juga merupakan satu tarikh yang agung dalam sejarah Islam. Kaum perempuan dan kanak-kanak keluar dengan penuh kegembiraan, sambil mendendangkan alunan lagu:

 

طلع البدر علينا من ثنيات الوداع

وجب الشكر علينا ما دعا الله داع

أيها المبعوث فينا جئت بالأمر المطاع

 

Ertinya:

“Telah muncul bulan purnama kepada kami

Daripada celah-celah bukit Thaniyah al-Wada’

Wajib bersyukur ke atas kami

Atas seruan yang dilakukan oleh penyeru kerana Allah

Wahai orang yang diutuskan kepada kami

Anda telah membawa kepada kami perintah yang ditaati.”

 

STATUS

Tidak sahih

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

2. Takhrij Hadis

 Hadis di atas telah dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Ad-Dala’il (jil. 2, hlm. 506), katanya: Abu ‘Amrin al-Adib memberitahu kepada kami, katanya: Abu Bakar al-Ismaili memberitahu kepada kami, katanya: Saya mendengar Abu Khalifah berkata: Saya mendengar Ibn Aisyah berkata: Ketika mana Nabi SAW datang ke Madinah, kaum perempuan dan kanak-kanak menyebut beramai-ramai. Ibn Kathir mengemukakannya dalam Al-Bidayah Wa an-Nihayah (jil. 3, hlm. 238) daripada al-Baihaqi dengan sanaddi atas dan beliau mendiamkan diri tentangnya.

3. Penilaian

 Hadis yang memuatkan kisah di atas adalah sebuah hadis yang tidak sahih, kerana berlaku keguguran besar dalam isnadnya. Ibn Aisyah yang membicarakan tentang kemasukan Rasulullah SAW ke Madinah, bukan seorang sahabat sehingga melayakkannya meriwayatkan tentang peristiwa yang berlaku semasa Nabi SAW memasuki Madinah. Beliau juga bukan tabi’i dan tidak juga dari kalangan golongan Atba’Tabiin, sebaliknya beliau adalah perawi yang mengambil kisah di atas daripada pengikut tabii dan tidak bertemu sendiri dengan tabiin.

Ibn Aisyah telah dikemukakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam At-Taqrib (jil. 2, hlm. 515) dengan menegaskan nama sebenarnya ialah Ubaidillah bin Muhammad bin Hafs.

Berlaku salah tulis tentang nama Ibn Aisyah oleh Syeikh al-Albani rahimahullah dalam Ad-Daifah (jil. 2, hlm. 63) di mana beliau mengemukakan nama Abdullah bin Muhammad bin Aisyah, sedangkan yang betulnya ialah Ubaidilah bin Muhammad Ibn Aisyah.

Ibn bermakna sanad hadis di atas mengalami keguguran tiga lapisan utama iaitu lapisan sahabat, lapisan tabiin dan lapisan Atba’ Tabiin. Keguguran yang paling kurang dalam sanad di atas melibatkan tiga orang perawi secara terus menerus. Jenis ini dinamakan dalam ilmu Mustalah hadis sebagai Mu’dhal. Imam as-Sakhawi menyatakan dalam Fath al-Mughith (jil. 1, hlm. 185) hadis Mu’dhal ialah hadis yang gugur dalam isnadnya dua orang perawi atau lebih secara berturut-turut.

 

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!

Mohon maklumkan kepada admin@semakhadis.com sekiranya terdapat sebarang kesilapan.