Kisah Nabi Adam AS Menunaikan Fardu Haji

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Daripada Ibn Abbas r.a, daripada Rasulullah SAW;  Baitullah (sebelum turun Nabi Adam a.s) pada asalnya diperbuat daripada salah satu batu permata yang terdapat dalam syurga, manakala Baitu Ma’mur yang berada di langit pula dimasuki oleh 70,000 malaikat setiap hari dan kemudian tidak lagi kembalinya sehingga ke hari kiamat. Ia berada bersetentang dengan Kaabah di bumi. Allah SWT menurunkan  Adam a.s., ke bumi ke tempat di mana Kaabah berada. Ia tidak ubah bagaikan kapal dari segi goyangannya, lalu Allah menurunkan batu Hajar al-Aswad dan batu itu bersinar tidak ubah bagaikan batu permata putih. Nabi Adam mengambilnya lalu nendakap sebagai menunjukkan rasa jinak dengannya. Kemudian Allah SWT mengambil perjanjian daripada anak cucu Nabi Adam a.s., dan kemudian meletakkannya pada Hajar al-Aswad. Setelah itu Allah SWT menurunkan kepada  Nabi Adam a.s. tongkat. Kemudian Allah SWT menyatakan: Melangkahlah wahai Adam, lalu baginda melangkah. Tiba-tiba baginda mendapati diri baginda sedang berada di semua benua India. Baginda menetap di India mengikut yang dikehendaki Allah. Setelah itu Adam merindui Baitullah. Lalu dikatakan kepada baginda a.s.; Tunaikanlah fardu haji wahai Adam, lantas Nabi Adam a.s., mula melangkah dan setiap langkah yang dibuat oleh baginda melibatkan sebuah kampung, manakala di antaranya adalah padang pasir, sehingga baginda sampai di Mekah. Nabi Adam menyatakan: Wahai tuan rumah ini, jadikanlah para pengimarah rumah ini daripada kalangan zuriat keturunanku. Allah SWT mewahyukan kepada Adam a.s.: Sesungguhnya Aku akan jadikan pengimarahnya seorang nabi yang bernama Ibrahim.

Aku jadikannya sebagai kekasih. Aku akan laksanakan pengimarahan rumah Allah melalui tangannya. Aku akan uruskan urusan memberi minum para jemaah untuknya. Aku juga akan wariskan kepadanya tanah halal dan tanah haram, tempat-tempat yang menjadi syiar ibadah dan tempat-tempat untuk melakukan ibadah di tanah haram itu. Setelah selesai membina Kaabah Nabi Ibrahim menyeru manusia: Wahai sekalian manusia sesungguhnya Allah telah membina sebuah rumah, kerana itu tunaikanlah haji kepadanya. Aku memperdengarkan orang yang berada di antara langit dan bumi. Manusia yang melakukan ibadah haji ke Baitullah mengucapkan: Labbaikka Labbaikka. Nabi SAW bersabda: Adam telah membuat permohonan dan permintaan kepada Tuhannnya: Katanya; Wahai Tuhanku saya pohon agar sesiapa sahaja yang meninggal di rumah ini  dari kalangan zuriat keturunanku, yang tidak mensyirikkan Engkau dengan sesuatu, akan bersama denganku dalam syurga. Firman Allah SWT: Wahai Adam, sesiapa sahaja yang meninggal di tanah haram dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, Aku akan bangkitkannya dalam keaadan aman pada hari kiamat.

 

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

  1. Takhrij Hadis

Kisah di atas dikeluarkan oleh at-Tha’labi dalam Qasas al-Anbiya’ (hlm. 95), dan Ibn Jawzi dalam Al-Ilal al-Mutanahiyah Fi al-Ahadith al-Wahiyah (jil. 2, hlm. 570, hadis no: 937) menerusi jalan al-Mufaddal bin Muhamad al-Jundi. As-Suyuti menjelaskan dalam Ad-Dur al-Manthur (jil. 1, hlm. 133), ia dikeluarkan oleh al-Jundi daripada Ibn Abbas secara marfuk.

  1. Penilaian

Kisah yang terdapat dalam hadis di atas adalah kisah yang mawduk, sebagaimana yang terdapat dalam Tadrib ar-Rawi.

Al-Kattani tidak melakukan jenayah ke atas at-Tha’labi dalam Ar-Risalah al-Mustatrifah, (hlm. 59), apabila beliau mengulas tentang al-Wahidi; Beliau dan gurunya tidak mempunyai bekalan yang banyak tentang ilmu hadis, bahkan dalam tafsir keduanya lebih-lebih lagi tafsir at-Tha’labi terdapat hadis-hadis mawsuk dan kisah-kisah yang batil.

Hadis mawduk sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini adalah merupakan hadis yang lemah yang paling buruk dan paling jelek dan haram meriwayatkannya, jika diketahui oleh seseorang tentang kedudukannya, dalam apa-apa lapangan sekalipun termasuk hukum-hakam, kisah, galakan dan lain-lain. Jika hendak diriwayatkan juga, wajib menjelaskan statusnya yang mawduk, bagi mengelakkan yang terlibat terjebak ke dalam erti kata melakukan pendustaan terhadap Rasulullah SAW.

Hadis di atas tidak diriwayatkan daripada Nabi SAW melainkan menerusi jalan Ibn Abbas sahaja dan bagi ulama hadis, hadis sebegini dikekenali dengan nama Al-Fard al-Mutlaq. Maksud al-Fard al-Mutlak menurut Imam as-Sakhawi dalam Fath al-Mughith (jil. 4, hlm. 4) ialah hadis yang tidak diketahui melainkan menerusi jalan sahabat yang berkenaan sahaja, meskipun jalan riwayatnya berbagai-bagai. Ia diriwayatkan secara bersendirian oleh Muhammad bin Ziyad dan perawi inilah yang merupakan punca penyakit yang terdapat dalam hadis di atas.

Penyakit yang terdapat dalam hadis di atas terletak pada perawi yang bernama Muhammad bin Ziyad. Nama beliau dan nama bapa beliau turut dikongsi oleh sebilangan besar perawi melebihi daripada 10 orang. Antara jalan melakukan perbezaan dari segi nama perawi ialah membezakan dengan syeikh perawi, jika tidak turut dikongsi oleh seorang pun daripada kalangan perawi lain dari segi nama.

Syeikh kepada Muhammad bin Ziyad ialah Maimun bin Mahran. Dengan mengenali syeikhnya dapat dibezakan Muhammad bin Ziyad perawi kisah di atas dengan perawi lain yang juga mempunyai persamaan dengan beliau dari segi nama dan nama bapanya. Al-Zahabi menyebut dalam Al-Mizan (3/552/7547): Ibn Ziyad al-Yaskuri al-Maimuni at-Tahhan, meriwayatkan daripada Maimun bin Mahran dan lain-lain. Muhammad bin Ziyad berada pada martabat yang kedua belas dari segi pendustaan (al-Kazzab) dan mereka cipta hadis.

Ibrahim bin al-Junaid melaporkan daripada Ibn Ma’in: Muhammad bin Ziyad tidak ada apa-apa yang boleh diambil kira bahkan seorang yang sangat dusta, sebagaimana yang dinyatakan dalam At-Tahzib (jil. 9, hlm. 151). Amru bin Ali pula menyatakan: Beliau seorang yang ditinggalkan hadisnya, sangat dusta dan meriwayatkan hadis mungkar. Kata al-Juzjani: Beliau seorang yang sangat dusta dan kata Abu Zu’rah pula: Beliau adalah seorang pendusta.

Imam al-Bukhari menyebut dalam Ad-Du’afak Wa al-Matrukin (hadis no: 317) Muhammad bin Ziyad meriwayatkan daripada Maimun bin Mahran dan beliau seorang yang ditinggalkan hadisnya. Kenyataan yang sama juga dikeluarkan oleh an-Nasa’I dalam Ad-Du’afak Wa al-Matrukin (547). Menurut al-Hafiz az-Zahabi dalam Syarah an-Nukbah (hlm. 69): Mazhab an-Nasa’i ialah sesuatu hadis yang diriwayatkan oleh seseorang perawi tidak ditinggalkan melainkan kesemua ahli hadis bersepakat untuk meninggalkannya.

 

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!

Mohon maklumkan kepada admin@semakhadis.com sekiranya terdapat sebarang kesilapan.