Kisah Kematian Amru bin al-As

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Amru bin al-As dikatakan pernah menyatakan: “Cukup pelik kepada orang yang didatangi oleh maut, sedangkan akalnya bersama dengan dirinya, bagaimana dia tidak dapat menyifatkannya.” Ketika beliau didatangi oleh kematian, anaknya Abdullah bin Amru menyatakan: Wahai bapa  bukankah bapa yang menyatakan: “Cukup pelik kepada orang yang didatangi oleh maut, sedangkan akalnya bersama dengan dirinya, bagaimana dia tidak dapat menyifatkannya” cubalah sifatkan kepada kami tentang kematian, sementara akal bapa masih berada dalam diri bapa. Jawab Amru; Wahai anakku, kematian itu lebih mulia daripada disifatkan dengan sifat-sifat tertentu, tetapi saya akan menceritakan kepada anda sedikit sahaja daripada-Nya. Saya mendapati seolah-olah pada tengkuk saya terdapat bukit Radwa dan saya dapati seolah-olah dalam perut saya ada duri daripada pokok Tamar yang dahsyat dan saya dapati seolah-olah nyawa saya keluar daripada lubang jarum.

STATUS

Sangat lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

  1. Pendahuluan

 

Antara kisah yang masyhur diperkatakan oleh para penceramah dan juga pengkuliah terutama sekali di negara-negara Islam di Timur Tengah, malah ditulis oleh kebanyakan penulis ialah kisah kematian Amru bin al-As r.a. Ia secara tidak langsung memburukkan keperibadian Amru bin al-As r.a.

 

  1. Jalan Kisah

 

Amru bin al-As dikatakan pernah menyatakan: “Cukup pelik kepada orang yang didatangi oleh maut, sedangkan akalnya bersama dengan dirinya, bagaimana dia tidak dapat menyifatkannya.” Ketika beliau didatangi oleh kematian, anaknya Abdullah bin Amru menyatakan: Wahai bapa  bukankah bapa yang menyatakan: “Cukup pelik kepada orang yang didatangi oleh maut, sedangkan akalnya bersama dengan dirinya, bagaimana dia tidak dapat menyifatkannya” cubalah sifatkan kepada kami tentang kematian, sementara akal bapa masih berada dalam diri bapa. Jawab Amru; Wahai anakku, kematian itu lebih mulia daripada disifatkan dengan sifat-sifat tertentu, tetapi saya akan menceritakan kepada anda sedikit sahaja daripada-Nya. Saya mendapati seolah-olah pada tengkuk saya terdapat bukit Radwa dan saya dapati seolah-olah dalam perut saya ada duri daripada pokok Tamar yang dahsyat dan saya dapati seolah-olah nyawa saya keluar daripada lubang jarum.

 

  1. Perbandingan dengan yang Terdapat dalam Hadis

 

Sebelum membuat apa-apa ulasan tentang kedudukan kisah di atas, elok kita lihat dahulu keterangan daripada hadis Nabi SAW. Hadis tersebut adalah hadis riwayat al-Baraa’. Nabi SAW bersabda:

 

إن العبد المؤمن إذا كان في انقطاع من الدنيا وإقبال من اﻵخرة نزل إليه ملائكة من السماء بيض الوجوه كأن وجوههم الشمس معهم  كفن من أكفان الجنة وحنوط من حنوط الجنة حتى يجلسوا منه مد البصر ثم يجيء ملك الموت عليه السلام حتى يجلس عند رأسه فيقول أيتها النفس الطيبة اخرجي إلى مغفرة من الله ورضوان قال فتخرخ تسيل كما تسيل القطرة من في السقاء فيأخذها فإذا أخذها لم يدعوها في يده طرفة عين حتى يأخذوها فيجعلوها في ذلك الكفن وفي ذلك الحنوط فذلك قوله تعالى.

 

Ertinya:

“Sesungguhnya seorang hamba yang beriman apabila berada pada saat akhir hendak berpisah dengan dunia dan menunggu untuk menuju ke akhirat, akan turunlah malaikat daripada langit, dalam keadaan muka yang putih bersih, seolah-olah bagaikan matahari. Bersama mereka kain kafan yang dibawa daripada syurga dan juga bau-bauan yang juga dibawa daripada syurga sehingga mereka duduk dekat dengan orang yang hampir mati itu saujana mata memandang. Setelah itu datang malaikat maut lalu duduk di sisi kepadanya seraya berkata: Wahai jiwa yang baik (dalam satu riwayat yang tenang) keluarlah menuju kepada keampunan dan keredaan daripada Allah. Kata perawi: Maka keluarlah rohnya mengalir bagaikan mengalirnya titisan air daripada mulut bekas simpanan air. Sebaik sahaja malaikat maut memegangnya, ia tidak dibiarkan begitu sahaja pada tangannya meskipun untuk kadar sekelip mata, melainkan para malaikat yang duduk tadi akan mengambil roh tersebut lalu meletakkan di dalam kain kafan dan bau-bauan daripada syurga tadi.”

 

Itulah yang terdapat dalam firman Allah SWT:

 

حتى إذا خاء أحدكم الموت توفته رسلنا وهم لايفرطون (61)

Ertinya:

 

“…. Sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pada (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).”

 

(Al-An’am 6: 61)

 

Kisah di atas adalah tertumpu pada roh orang yang beriman, sebaliknya bagi roh orang yang tidak beriman atau fasik, Nabi SAW bersabda:

 

وإن العبد الكافر إذا كان في انقطاع من الدنيا وإقبال من اﻵخرة نزل إليه من السماء ملائكة سود الوجوه معهم المسوح فيجلسون منه مد البصر ثم يجيء ملك الموت حتى يجلس عند رأسه فيقول أيتها النفس الخبيثة اخرجي إلى سخط من الله وغضب قال فتفرق في جسده فينتزعها كما ينتزع السفود من الصوف المبلول فيأخذها فإذا أخذها لم يدعوها في يده طرقة عين حتى يجعلوها في تلك المسوح

Ertinya:

“Bagi seseorang yang kafir (dalam satu riwayat: orang yang fasik), apabila dia berada di saat akhir hendak berpisah dengan dunia dan menunggu untuk menuju ke akhirat, para malaikat yang berwajah hitam turun daripada langit dengan membawa pakaian daripada neraka, lantas mereka duduk dekat dengannya saujana mata memandang. Setelah itu datang malaikat maut lalu duduk di sis kepalanya, sambil berkata: Wahai jiwa yang buruk, keluarlah menuju kepada kemurkaan dan kemarahan Allah SWT. Kata perawi: Roh itu bertebaran di dalam badan orang itu, lantas malaikat maut mencabutnya tidak ubah bagikan mencabut duri daripada kain bulu ang lembap sehingga menyebabkan terputus segala otot-otot dan juga sarafnya, lalu memegangnya dan sebaik sahaja memegangnya para malaikat yang sedia menunggu itu segera merampas daripada tangannya lalu diletakkan pada pakaian daripada neraka itu….”

 

Hadis al-Baraa’ di atas adalah sebuah hadis Marfuk dan dikeluarkan oleh Ahmad (4/287, 288, 295 dan 296) (hadis no: 18673), al-Ajuri dalam As-Syariah (jil. 2, hlm. 190) (hadis no: 919), Abu Daud (4753 dan 4754). Hadis ini disahihkan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah, al-Hakim mentashihkannya sebagaimana yang dinaqalkandalam Tahzib as-Sunan (7/140) dan dikeluarkan oleh al-Hakim (jil. 1, hlm. 37-40) dan beliau menyatakan:; Sahih berdasarkan kepada syarat as-Syeikhain.

 

Dengan merujuk kepada keterangan yang disampaikan oleh Amru bin al-As di atas, jelas keadaan yang disifatkan oleh beliau itu adalah keadaan nazak yang dialami oleh orang yang tidak beriman atau fasik, Persoalannya wajarkan keadaan tersebut disandarkan kepada Amru bin al-As?

 

  1. Kisah Melalui Jalan Ibn Sa’ad

 

Kisah di atas juga dikeluarkan oleh Ibn Sa’ad dalam At-Tabaqat al-Kubra (jil. 4, hlm. 448) menerusi Hisyam bin Muhammad bin as-Sa’ib al-Kalbi daripada Awanah bin al-Hakam.

 

  1. Penilaian

 

Kisah kedua di atas juga adalah sangat lemah, kerana ia melibatkan suatu kisah yang mawduk, malah sengaja direka cipta. Penyakit pertama berada pada Hisyam bin Muhammad bin as-Sa’ib al-Kalbi. Beliau dijelaskan oleh Ibn Hibban dalam Al-Majruhin (jil. 3, hlm. 91) sebagai perawi yang suka meriwayatkan cerita-cerita pelik dan ajaib yang tidak mempunyai asas sama sekali daripada penduduk Iraq. Beliau juga seorang Syiah yang melampau. Kisah –kisah yang diutarakan beliau lebih masyhur berbanding dengan menumpukan diri bagi menyelami kisah-kisah tersebut.

 

Al-Daraqutni pula menjelaskan dalam Ad-Dua’afak Wa al-Matrukin (563) Imam-Imam al-Barqani, Ibn Hamkan dan beliau sendiri (ad-Dar al-Qutni) meninggalkan hadis yang diriwayatkan oleh beliau. Az-Zahabi (4/304/9237) pula menukilkan kata-kata Imam Ahmad, yang Hisyam bin Muhammad as-Sa’ib al-Kalbi adalah seorang yang ditinggalkan hadisnya, manakala Ibn Asakir menyatakan: Beliau seorang Syiah Rafidah dan tidak boleh dipercayai.

 

Menurut Ibn Taimiyah (jil. 6, hlm. 289) golongan Rafidah banyak melakukan pendustaan terhadap hadis dengan tujuan memburukkan Ahli Sunah Wal Jamaah dan hadis-hadis tersebut pula telah diriwayatkan oleh ramai orang sehingga sukar membezakan di antara yang benar dengan yang palsu kepada kebanyakan orang kecuali kepada pakar-pakar hadis yang benar-benar arif tentang penyakit-penyakit hadis baik dari segi teks mahupun sanad.

 

Ibn Taimiyah juga menjelaskan (jil. 4, hlm. 471): Dengan contoh ini dan yang seumpama dengannya jelas golongan Rafidah adalah satu golongan yang tidak mempunyai akal yang matang, nukilkan yang benar, penghayatan ajaran agama yang boleh diterima dan dunia yang mencapai kemenangan, bahkan golongan yang paling banyak berdusta dan cukup jahil.

 

Agama yang menjadi pegangan mereka dimasuki oleh setiap orang yang Zindiq dan juga murtad seperti golongan an-Nusairiyah, al-Ismailiyah dan juga lain-lain. Mereka memusuhi tokoh-tokoh umat Islam yang terbaik, sebaliknya mendokong musuh-musuh Allah daripada kalangan Yahudi, Kristian dan juga Musyrikin. Mereka menolak hadis-hadis yang benar lagi mutawatir, sebaliknya menggunapakai hadis-hadis rekaan. Menurut Imam as-Syaʼbi andaikata mereka termasuk ke dalam kumpulan binatang, sudah tentu mereka adalah daripada jenis keldai dan jika dalam kumpulan burung pula, sudah tentu mereka daripada jenis burung gagak yang memakan najis.

 

Penyakit kedua: Selain daripada penyakit yang terdapat pada Hisyam, ia juga terdapat pada Awanah bin al-Hakam bin Awanah bin Iyad al-Ikhbari al-Kufi yang dinaqalkan kisah di atas daripada beliau. Ibn Iraq (no: 370) meletakkan beliau sebagai perawi yang mereka berbagai-bagai kisah dan cerita untuk bani Umayyah.

 

Penyakit ketiga yang terdapat dalam kisah kedua di atas ialah sanad hadis yang gugur. Awanah sendiri tidak menyatakan: Saya mendengar Amru bin al-As menyatakan. Beliau juga tidak menyatakan: Amru bin al-As telah memberitahu saya. Ini membuktikan beliau sendiri tidak hadis di sisi Amru bin al-As di saat beliau hamper meninggal dunia.

 

Selain daripada itu dalam Al-Hidayah Wa al-Bidayah (jil. 8, hlm. 432) menjelaskan Amru bin al-As meninggal dunia pada tahun 43 H, manakala Awanah bin al-hakam meninggal dunia pada tahun 158 H, di mana jarak masa antara beliau dengan Amru bin al-As adalah selama 115 tahun. Dengan itu tidak mungkin Awanah boleh meriwayatkan kisah di atas daripada Amru, kecuali jika Amru itu sendiri mempunyai umur yang panjang melebihi daripada umur beliau. Tetapi itu adalah sesuatu yang tidak logik.

 

  1. Kisah Sebenar Amru bin al-As r.a.

 

Terdapat dalam sahih Muslim (hadis no: 192), Kitab Al-Imam, Bab al-Islam Yahdimu Ma Qablahu Wa Kaza al-Hajju Wa al-Hijratu daripada hadis Ibn Syamasah al-Mahri, katanya: Kami melawat Amru bin al-As di saat beliau hampir mati. Beliau menangis lama sekali dan memalingkan mukanya kea rah dinding. Anaknya menyatakan: Wahai bapaku bukanlah perbuatan seumpama ini bererti mensyirikkan Rasulullah, tidakkah perbuatan seumpama ini mensyirikkan Rasulullah? Katanya anaknya seterusnya: Lalu Amru mengadap ke hadapan semula dan berkata: Perkara yang paling afdal yang kita sediakan ialah persaksian bahawasanya tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Saya telah gidup dalam tiga lapisan masyarakat; Pada zaman Jahiliah tidak ada orang yang saya paling benci selain daropada Rasulullah dan sekiranya saya mempunyai ruang untuk membunuhnya, pasti saya akan membunuhnya. Tetapi kalau saya meninggal di atas landasan Jahiliah itu, sudah pasti saya termasuk ke dalam golongan ahli neraka.

 

Setelah Allah SWT meletakkan Islam dalam hati saya, saya telah menemui nabi dan berkata kepada baginda: Hulurkan tangan kanan tuan supaya saya boleh berbalah kepada tuan. Lalu Baginda menghulurkan tangannya. Kata Amru; Saya telah menggenggam erat dua tangan saya. Nabi SAW bersabda: Apahal anda ini wahai Amru? Kata Amru: Saya ingin meletakkan syarat: Sabda Nabi SAW: Meletakkan syarat apa? Syarat supaya segala dosa saya diampunkan Allah. Sabda Nabi SAW; Tidakkah anda tahu Islam menghapuskan segala kesalahan yang sebelumnya dan hijrah juga menghapuskan segala kesalahan yang sebelumnya, malah haji juga menghapuskan segala kesalahan yang sebelumnya. Kata Amru: Semenjak hari itu tidak ada seorang yang paling saya kasihi dan tidak ada seorang yang paling mulia pada pandangan saya selain daripada Rasulullah. Saya sendiri tidak berani merenung lama kepada muka baginda kerana memuliakannya.

 

Kalau saya diminta untuk untuk menceritakan tentang sifat baginda, nescaya saya tidak mampu berbuat demikian, kerana saya sendiri tidak mampu memandang baginda dengan sepenuh mata saya. Sekiranya saya mati dalam keadaan tersebut, saya mengharapkan agar saya termasuk ke dalam ahli syurga. Amru juga menyatakan: Sekiranya saya meninggal dunia, jangan diikuti kematian saya dengan tangisan mahupun api. Apabila anda mengebumikan saya, curahlah tanah dengan lembut. Kemudian berdirilah di sisi kubur saya sekadar masa yang cukup untuk menyembelih binatang korban dan mengagihkan dagingnya, agar saya dapat berjinak-jinak dengan anda sekalian sambil menunggu ruang untuk saya jawab soalan daripada utusan Tuhan saya.

 

Kisah di atas merupakan kisah sebenar saat akhir kematian Amru bin al-As dan jika dibandingkan dengan kisah yang pertama dan kedua adalah terlalu jauh.

 

  1. Kesimpulan

 

Setelah melihat kisah pertama dan kedua bekaitan dengan saat akhir kehidupan Amru bin al-As dan juga mengikut kisah yang ketiga yang sabit dalam sahih Muslim, jelas kisah yang pertama dan kedua langsung tidak boleh dijadikan hujah apa lagi untuk dijadikan sebagai bahan ceramah dan kuliah di masjid-masjid dan juga surau-surau, kerana merupakan kisah yang sangat lemah. Sebaliknya kisah yang sewajarnya diketengahkan ialah kisah yang ketiga yang terdapat dalam sahih Muslim dan dalam kisah yang ketiga ia langsung tidak mengandungi tentang pernyataan rasa sakit ketika hendak mati yang dialami oleh Amru bin al-As, sebaliknya rasa sakit sebegitu rupa hanya akan dirasai oleh orang kafir, fasik dan zalim sahaja dan bukan orang-orang yang beriman. Yang jelas Amru bin al-As telah diperakui oleh Nabi SAW sebagai antara sahabat baginda SAW yang memiliki imam yang nabtap dan kukuh.

 

Kisah pertama dan kedua di atas lebih berbentuk rekaan golongan Syiah Rafidah bagi memburukkan keperibadian beliau, kerana golongan Syiah cukup membenci Amru bin al-As yang dikatakan mereka sebagai telah menipu Abu Musa al-Asyʼari dalam majlis perdamaian yang dibuat di antara Muawiyah dengan Khalifah Ali, sedangkan kisah penipuan itu sendiri juga adalah hasil rekaan golongan Syiah Rafidah bagi memburukkan rekod beliau dalam berkhidmat kepada Islam dan umatnya.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!

Mohon maklumkan kepada admin@semakhadis.com sekiranya terdapat sebarang kesilapan.