Kisah Dua Orang Perempuan yang Berpuasa tetapi Mengumpat

 

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah SAW di sini ada dua orang perempuan yang berpuasa dan kedua-duanya hampir mati kerana terlalu dahaga. Rasulullah SAW berpaling daripadanya atau mendiamkan diri. Setelah itu lelaki itu mengulangi semula kata-katanya.  Kata perawi apabila tiba di al-Hijirah, lelaki itu berkata lagi: Wahai Nabi Allah sesungguh mereka berdua telah mati atau hampir mati? Sabda Rasulullah: Panggil mereka berdua. Kata perawi: Lalu dua orang perempuan itu mengadap Rasulullah. Kata perawi: Lalu baginda meminta dibawakan satu bekas. Baginda bersabda kepada salah seorang daripadanya: Muntahlah, lalu perempuan itu muntah yang bercampur darah,nanah dan dan juga daging busuk dan lain-lain, sehingga muntahnya memenuhi bekas daripada mengambil sesuatu yang dihalalkan oleh Allah tetapi berbuka dengan sesuatu yang diharamkan oleh Allah Azza Wajalla. Salah seorang daripadanya bertemu dengan yang seorang lagi lalu mereka berdua mula memakan daging orang ramai.

STATUS

Sanadnya lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Takhrij Kisah

Kisah di atas dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad (jil. 5, hlm. 431) hadis no: 23653), Ibn Abi ad-Dunya dalam Dhamm al-Ghibah (hadis no: 26) dan dalam As-Samt (171), al-Baihaqi dalam ad-Dalal’il (jil. 6, hlm. 186) menerusi jalan Yazid bin Harun daripada Sulaiman at-Taymi daripada seorang lelaki daripada Ubaid hamba Rasulullah SAW.

Abu Ya’la mengeluarkan dalam Musnad (jil. 2, hlm. 232 hadis 1573), katanya: Abd al-A’la Ibn Hammad telah memberitahu kepada kami, katanya Hammad bin Salamah memberitahu kepada kami, daripada Sulaiman at-Taymi daripada Ubaid hamba Rasulullah SAW. Ia juga dikeluarkan menerusi jalan Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah (jil. 3, hlm. 533) (biodata 3495).

Sanad ini muncul di sisi Ahmad menerusi Yazid bin Harun. Juga tabi’ Yazid dalam riwayatnya daripada Sulaiman di sisi Ahmad dalam Al-Musnad. Ibn Abi Adi, namanya yang sebenar ialah Muhammad bin Ibrahim dan Sulaiman ini nama sebenar beliau ialah Ibn Tarkhan at-Taymi.

Al-Hafiz Ibn Kathir mengemukakan kisah di atas dalam tafsirnya (jil. 4, hlm. 216) terhadap ayat 12 daripada surah al-Hujurat. Beliau menyatakan: Begitulah riwayat Imam Ahmad daripada Yazid bin Harun dan Ibn Abi Adi. Keduanya daripada Sulaiman bin Su’an at-Taymi.

Apa yang berlaku di atas sebenarnya satu bentuk salah baca. Sesetengah orang beranggapan ia adalah sesuatu yang kecil, namun bagi mereka yang pakar dalam bidang hadis, terutama dalam lapangan Al-Jarh Wa at-Ta’dil, ia merupakan sesuatu yang besar. Tidakkah anda melihat Sulaiman bin Tarkhan at-Taymi telah disalah baca kepada Sulaiman bin Su’an at-Taymi. Kesalahan ini berlaku sewaktu proses penyalinan daripada manuskrip asal.

Ulama-ulama yang pakar dalam lapangan hadis telah menjadikan salah baca di atas sebagai saah satu jenis istilah penting dalam ilmu hadis. Imam an-Nawawi menyebut dalam At-Taqrib, dalam jenis yang ke 35. Imam an-Nawawi menyatakan mengenal salah baca nama perawi, merupakan salah satu seni yang halus dan hanya dikesani oleh para hafiz yang bijak pandai. Ad-Daraqutni merupakan salah seorang daripada-Nya. Imam as-Suyuti menyebutnya dalam At-Tadrib (jil. 2, hlm. 173). Menurut beliau Tarkhan telah disalah baca kepada Su’an iaitu Sulaiman bin Tarkhan kepada Sulaiman bin Su’an.

Kisah di atas dikemukakan oleh as-Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni dalam Mukhtasar Ibn Kathir. Merupakan antara kisah yang didiamkan oleh Ibn Kathir seperti juga kisah Tha’labah. Muhammad bin Ali as-Sabuni mengemukakannya dalam keadaan meragui kesahihannya.

Dalam pada itu dalam sanad yang dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Abi ad-Dunya dan al-Baihaqi terdapat seorang lelaki yang tidak disebut nama. Dengan itu hadis yang memuatkan kisah di atas termasuk ke dalam kategori hadis yang samar-samar.

Berdasarkan kepada istilah usul hadis, hukum riwayat hadis yang diriwayatkan secara samar-samar, adalah tidak boleh diterima dan punca penolakkannya adalah kerana kejahilan tentang kedudukan perawinya. Ada yang mengatakan hukuman riwayat hadis yang diriwayatkan oleh perawi samar-samar, ditolak dan tidak boleh diterima, sehingga dijelaskan nama perawi yang samar-samar itu atau dikenali namanya menerusi jalan lain.

Namun apabila dirujuk kepada jalan-jalan hadis, tidak ditemui satu jalan riwayat yang menegaskan nama perawi terlibat. Kerana itu al-Hafiz al-Iraqi menyebut dalam Al-Mughni (jil. 3, hlm. 139): Beliau seorang yang tidak diketahui kedudukannya yang sebenar.

Dalam sanad yang dikeluarkan oleh Abu Ya’la dan menerusi jalan Ibn Al-Athir, perawi yang samar-samar tersebut juga digugurkan. Sanad tersebut adalah sebagaimana berikut: Daripada Sulaiman bin Ubaid hamba Rasulullah SAW. Sanad di sini jelas terputus. Kerana itu Ibn al-Athir menyatakan dalam Usdu al-Ghabah (jil. 3, hlm. 533): Dikatakan Sulaiman tidak pernah mendengar daripada Ubaid dan di antaranya ada seorang perawi lain yang tidak diketahui.

Sokongan yang Sangat Lemah terhadap Kisah

Kisah yang hampir sama terdapat dalam hadis Anas. Ia dikeluarkan oleh Ibn Abi Dunya dalam Zim al-Ghibah dan al-Samt (hlm. 169) dan keluarkan oleh Abu Daud al-Tayalisi (jil. 1, hlm. 188) menerusi jalan ar-Rabi’ Ibn Subaih daripada Yazid ar-Raqasyi, daripada Anas bin Malik, katanya: Nabi memerintahkan orang ramai supaya berpuasa satu hari. Baginda Bersabda: Jangan ada dalam kalangan anda yang berbuka melainkan setelah saya mengizinkannya terlebih dahulu. Orang ramai berpuasa sehingga ke petang. Seorang lelaki telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata; Wahai Rasulullah, ada dua orang gadis dari kalangan keluarga tuan, yang masih berpuasa. Keduanya malu untuk bertemu dengan tuan, izinkanlah keduanya berbuka puasa, Rasulullah berpaling daripadanya, kemudian lelaki itu mengulangi semula kata-katanya, tetapi Rasulullah SAW berpaling daripadanya, kemudian lelaki itu mengulangi semula kata-katanya, tetapi Rasulullah SAW tetap berpaling daripadanya. Kemudian lelaki itu mengulangi semula keizinannya, tetapi Rasulullah berpaling daripadanya, malah Rasulullah SAW bersabda kepada lelaki itu: Keduanya tidak berpuasa. Bagaimana mungkin orang yang sepanjang hari memakan daging manusia dikatakan sebagai orang yang berpuasa? Pergilah kepada dua orang gadis yang sedang berpuasa itu dan suruhlah masing-masing muntah. Lelaki itu pulang menemui dua orang gadis tersebut dan memberitahu kepada keduanya tentang pesanan Rasulullah SAW. Setelah mendengar pesanan Rasulullah SAW keduanya lalu muntah. Setiap orang muntah yang mengandungi satu ketul daging yang bercampur dengan darah. Lelaki itu kembali menemui Rasulullah SAW dan memberitahu kepada baginda, apa yang berlaku. Sabda baginda: Demi diri Muhammad yang berada dalam genggaman-Nya, seandai kedua ketul daging itu masih berada dalam perutnya, sudah tentu masing-masing akan disentuh oleh api neraka. Lafaz hadis di atas adalah lafaz Ibn Abi ad-Dunya.

Penilaian

Perawi  yang bernama Yazid ar-Raqasyi ialah Yazid bin Aban dari kalangan penduduk Basrah. Gelarannya ialah Abu Umar. Ibn Hibban menjelaskan dalam Al-Majruhin ( jil. 3, hlm. 98): Beliau meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik dan dalam masa yang sama beliau adalah orang yang mengabaikan lapangan hadis hafalannya sebaliknya menumpukan diri kepada ibadah. Beliau memutar belit ucapan al-Hasan dengan menjadikannya sebagai ucapan yang diucapkan oleh Anas daripada Nabi SAW dalam keadaan beliau tidak menyedarinya. Apabila beliau terlalu banyak meriwayatkan hadis yang bukan hadis Anas dan lain-lainnya dari kalangan perawi yang dipercayai, batal kebolehan berhujah dengannya. Tidak halal meriwayatkannya melainkan dalam bentuk yang taajub sahaja. Beliau adalah tukang cerita yang selalu menyampaikan cerita di Basrah dan menyebabkan orang ramai menangis apabila mendengar kisah yang diutarakan oleh beliau.

An-Nasa’i menyebut dalam Ad-Du’afak Wa al-Matrukin (hlm. 110) nombor (642): Yazid bin ar-Raqasyi, adalah seorang yang ditinggalkan hadisnya. Seterusnya an-Nasa’I menyatakan: Seseorang perawi hadis di sisi saya tidak akan ditinggalkan melainkan setelah semua ulama hadis sepakat meninggalkannya. Dalam Al-Mizan (jil. 4, hlm. 418), Ahmad menyatakan; Yazid adalah seorang yang meriwayatkan hadis mungkar.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!