Kisah Dialog Yang Belaku Di Antara Uthman Dengan Ibn Mas’ud

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Diriwayatkan daripada Fatimah, Uthman bin Affan pernah melawat Ibn Mas’ud ketika Ibn Mas’ud jatuh sakit. Uthman berkata: Apakah yang tuan ingin adukan? Jawab Ibn Mas’ud: Dosa-dosa saya. Kata Uthman: Sukakah kalau kami panggilkan pakar perubatan untuk anda? Jawab Ibn Mas’ud: Pakar perubatan menambahkan lagi sakit saya. Kata Uthman: Sukakah kalau saya arahkan agar diberikan kepada anda pemberian? Jawab Ibn Mas’ud: Tuan telah menghalangnya daripada saya sebelum daripada hari ini. Saya tidak ada apa-apa keperluan terhadapnya. Kata Uthman: Biarkanlah ia untuk ahli keluarga anda? Jawab Ibn Mas’ud: Saya telah ajarkan mereka dengan sesuatu. Apabila mereka membacanya, mereka tidak akan jatuh fakir dan miskin. Saya mendengar Rasulullah menyatakan: Sesiapa yang membaca al-Waqiah setaip malam, tidak akan jatuh fakir.

 

STATUS

Tidak sahih

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

3. Takhrij Kisah

Kisah di atas dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam As-Syu’ab (2/491/24970), katanya: Abu al-Husain bin al-Fadl al-Qattan memberitahu kepada kami, katanya, Abdullah bin Jaafar memberitahu kepada kami, katanya al-Hajjaj memberitahu kepada kami, katanya, as-Sari bin Yahya as-Syaibani Abu al-Haitham memberitahu kepada kami daripada Syuja’ daripada Abu Fatimah, bahawa Uthman bin Affan melawat Ibn Mas’ud pada masa sakitnya.

Hadis di atas juga dikeluarkan oleh Ibn Jawzi dalam Al-Ilal al-Mutanahiyah Fi al-Ahadith al-Wahiyah (1/112/151) menerusi jalan Abdullah bin Wahab, katanya: as-Sari bin Yahya memberitahu kepada saya, Syuja’ memberitahu kepada beliau daripada Abu Zabiyyah daripada Ibn Mas’ud, katanya: Saya mendengar Rasulullah bersabda: Sesiapa yang membaca al-Waqiah pada setaip malam, tidak akan ditimpa kepapaan. Kata Ahmad bin Hanbal: Hadis ini adalah sebuah hadis mungkar. Syuja’ dan as-Sari tidak saya kenali.

Selain daripada itu hadis di atas dikeluarkan oleh al-Harith bin Abu Usamah dalam Musnadnya (jil. 2, hlm. 729 hadis no: 721), Ibn as-Sunni dalam Amal Al-Yawm Wa Al-Laylah (hadis no: 680) menerusi jalan Muhammad bin Munib al-Adani, Ibn ‘Amrin dan Ibn Abd al-Barr menerusi jalan Amru bin ar-Rabi’ bin Tariq daripada as-Sari daipada Abu Syujja’ (Al-Lisan, jil. 7, hlm. 62), at-Tha’labi menerusi jalan Abu al-‘Ataridi dan Ibn Mardawaih menerusi jalan Hajjaj bin Nasir. (Al-Lisan, jil. 7, hlm. 63)

 

4. Penilaian

Kisah di atas sebenarnya suatu kisah yang tidak sahih. Wujud kekacauan dalam isnadnya dan telah dijelaskan oleh Ibn Hajar dalam Al-Lisan (jil. 7, hlm. 63). Beliau telah mengumpulkan kesemua jalan riwayat berkaitan dengan kisah di atas dan kemudian menegaskan: Ada tiga perkara besar yang terdapat di dalamnya iaitu:

  1. Adakah Syeikh as-Sari itu Syuja’ atau Abu Fatimah? Berdasarkan pendapat yang kuat syeikh beliau ialah Abu syuja’
  2. Adakah syeikhnya Abu Zabiyyah atau Abu Fatimah? Berdasarkan kepada pendapat yang kuat syeikhnya ialah Abu Zabiyyah.
  3. Adakah syeikhnya Abu Tayyibah atau Abu Zabiyyah? Ad-Daraqutni memilih yang pertama.

Syeikh Nasir Ad-Din Al-Albani menjelaskan dalam Ad-Daifah (1/304/289), menurut Az-Zaila’i hadis di atas cacat daripada beberapa aspek:

Terputus sanad sebagaimana yang dijelaskan oleh ad-Daraqutni dan lain-lain tokoh ulama hadis.

  1. Kemungkaran teksnya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ahmad.
  2. Kelemahan perawi-perawinya sebagaimana yang dinyatakan oleh Ahmad.
  3. Kekacauan dan kelemahannya telah disepakati oleh Ahmad, Abu Hatimdan anaknya, ad-Daraqutni, al-Baihaqi dan lain-alain. Imam az-Zahabi menyebut dalam Al-Mizan (4/542/10333) biodata Abu Tayyibah, katanya: Abu Tayyibah daripada Ibn Mas’ud dan lain-lain dan daripada beliau diriwayatkan pula oleh Abu-Syujja’ Said: Beliau seorang yang tidak dikenali identitinya.

 

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!

Mohon maklumkan kepada admin@semakhadis.com sekiranya terdapat sebarang kesilapan.