Kisah Dialog di Antara Dua Orang Khalifah di Sisi Hajar al-Aswad

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a, katanya: Kami pernah menunaikan fardu haji bersama dengan Umar bin al-Khattab r.a. Ketika melakukan Tawaf, Umar mengadap Hajar al-Aswad, lalu berkata: Sesungguhnya saya tahu bahawasanya anda tidak dapat memudarat mahupun memanfaatkan. Kalau tidaklah kerana saya melihat Rasulullah SAW mengucup anda, sudah tentu saya sama sekali tidak akan mengucup anda. Setelah itu beliau mengucup Hajar al-Aswad. Ali k.r.w, telah berkata kepada beliau: Ya wahai Amir al-Mukminin, batu itu boleh mendatangkan kemudaratan dan juga kemanfaatan. Kata Umar; Apa buktinya? Jawab Ali: Berdasarkan kepada kitab Allah. Kata Umar: Di mana dalam kitab Allah yang membuktikan demikian? Kata Ali: Firman Allah SWT:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ (172)

Ertinya:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, sambil ia bertanya dengan firman-Nya): Bukanlah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Betul (Engkaulah Tuhan Kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak, ‘Sesungguhnya kami adalah lalai( tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid ini).

Allah menciptakan Adam dan menyapu pada bahagian belakangnya. Allah meminta zuriat keturunannya membuat perakuan yang Dia adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah, manakala mereka semua adalah hamba Allah. Allah telah mengambil perjanjian daripada mereka dan menulisnya pada sebongkah batu. Batu tersebut mempunyai dua mata dan lidah. Allah berkata kepada-Nya: Bukalah mulut anda. Kata perawi: Lalu batu itu membuka mulutnya lalu menelan perakuan yang ditulis itu. Batu itu berkata: Saya naik saksi untuk orang yang menepati perakuannnya yang dia akan mendapat balasan yang baik daripada Tuhan pada hari kiamat, Kata Ali: Sesungguhnya saya naik saksi yang saya mendengar sendiri Rasulullah bersabda: Hajar al-Aswad akan dibawa pada hari kiamat kelak dan ia mempunyai lidah yang lancar sambil memperakusaksi untuk orang yang melambai-lambainya sambil mengisyaratkan tauhid. Kerana itu wahai Amir al- Mukminin, Hajar al-Aswad boleh mengundang kemudaratan dan juga kemanfaatan. Seterusnya Umar berkata; Saya berlindung dengan Allah daripada hidup dalam satu kelompok masyarakat yang tidak terdapat dalam kalangan mereka Abu al-Hasan (Ali r.a.)

 

STATUS

Sangat lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

2. Takhrij Kisah

Kisah di atas dikeluarkan oleh al-Hakim dalam Al-Mustadrak (jil. 1, hlm. 457 dan 458) dalam kitab Al-Manasik, katanya: Abu Muhammad Abdillah bin Muhammad bin Musa al-Adl memberitahu kami daripada kitab asalnya, katanya: Muhammad bin Soleh al-Kailani memberitahu kepada kami, katanya, Muhammad bin Yahya bin Abu Said al-Adani memberitahu kepada kami, katanya: Abd al-Aziz bin Abd as-Samad al-Ammi memberitahu kepada kami daripada Abu Harun al-Abdi daripada Abu Said al-Khudri r.a. Ia juga disebutkan oleh al-Baihaqi dalam al-Syu’ab (3/451/4040) daripada syeikh beliau al-Hakim.

  1. Penilaian

Hadis di atas adalah sangat lemah dan penyakitnya terdapat pada perawi yang bernama Abu Harun al-Abdi. Abu Harun al-Abdi ialah Ammarah bin Juwain Abu Harun al-Abdi. Imam az-Zahabi menjelaskan dalam Al-Mizan (3/173/6018), Abu Harun al-Abdi adalah seorang yang lemah. Dalam At-Talkhis beliau menyatakan Abu Harun di atas sebagai perawi yang gugur. Seterusnya az-Zahabi menyatakan: Beliau dinilai sebagai dusta oleh Hammad bin Zaid. Syubah pula menyatakan:

Seandainya saya dibawa ke hadapan khalayak ramai lalu kepala saya dipancung adalah lebih saya sukai dari saya meriwayatkan hadis daripada Harun al-Abdi.

Kata Imam Ahmad: Tidak ada apa-apa yang boleh diambil kira daripada hadis riwayat beliau. Kata al-Juzjani: Abu Harun seorang pendusta dan penipu.

Imam an-Nasa’I pula menyebut dalam Ad-Du’afak Wa al-Matrukin (biodata 476): Ammarah bin Juwain Abu Harun al-Abdi, adalah seorang yang ditinggalkan hadisnya dan berasal daripada Basrah. Sikap Imam an-Nasa’I tentang kedudukan hadis yang ditinggalkan riwayatnya telah pun disebutkan sebelum ini.

Ibn Hibban pula menjelaskan dalam Al-Majruhin (jil. 2, hlm. 177), Ammarah bin Juwain Abu Harun al-Abdi meriwayatkan hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a. Beliau seorang Syiah Rafidah dan meriwayatkan daripada Abu Said, hadis yang bukan hadis Abu Said. Hadis riwayatnya pula tidak halal dicatat kecuali sekadar untuk menunjukkan rasa taajub dan pelik sahaja. Dalam as-Syu’ab oleh al-Baihaqi, nama Abu Harun al-Abdi telah tersalah tulis iaitu ditulis dengan nama Abu Harun al-Abri.

 

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!

Mohon maklumkan kepada admin@semakhadis.com sekiranya terdapat sebarang kesilapan.