Keluar ke pusara pada dua hari raya adalah daripada sunnah

Please complete the required fields.




TEKS BAHASA ARAB

عن علي قال: الخروج إلى الجبان في العيدين من السنة.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Daripada ‘Alī katanya: Keluar ke pusara pada dua hari raya adalah daripada sunnah.

STATUS

Sangat lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 76, hadis nombor 12. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

Riwayat Abū Ja‘far Ibn al-Bakhtarī al-Razzāz dalam juz keempat hadithnya dan daripada jalan al-Baihaqī dalam al-Sunan al-Kubrā, al-Ṭabrānī dalam al-Mu‘jam al-Ausaṭ daripada jalan ‘Amr bin Abū Qais daripada Muṭarrif daripada Abū Isḥāq daripada al-Ḥārith daripada ‘Alī.
Pada sanad ini terdapat Al-Ḥārith bin ‘Abd Allah al-A‘war al-Hamadānī al-Kūfī. Al-Sha‘bī, Abū Isḥaq al-Sabī‘ī, Abū Khaithamah Zuhair bin Ḥarb dan selainnya mendustakannya. Ibn Sa‘d dan Ibn Ma‘īn mendaifkannya dalam riwayat Ibn Abū Khaithamah daripadanya. Abū Zur‘ah, Abū Ḥātim, al-Nasāie, al-Dāruquṭnī, Ibn Ḥibbān, Ibn ‘Adī dan selainnya turut mendaifkannya. Menurut al-Nawāwī, al-Ḥārith adalah pendusta. Ibn Ḥajar berkata daif dan bersama dengan kedaifannya dalam riwayat tersebut, beliau merupakan syiah yang melampau.
Walaupun sanad hadith ini lemah namun maksud sebaliknya adalah sahih iaitu keluar ke tempat solat pada dua hari raya merupakan sunnah. Ditegaskan maksud hadith ini dengan riwayat al-Ṭabrānī dalam al-Ausaṭ daripada ‘Alī r.a katanya sebahagian daripada sunnah adalah solat di al-Jabbān.
Al-Jabbān adalah merujuk kepada tempat solat dan juga perkuburan. Menurut Ibn al-Athīr, al-Jabbān dan al-Jabbānah bermaksud padang pasir. Kedua perkataan tersebut dinamakan perkuburan kerana di padang pasir sesuatu itu dinamakan mengikut tempatnya. Oleh itu, al-Jabbān dan al-Kubūr di sini membawa maksud yang berbeza.
Hadith ini tersangat daif kerana terdapat Al-Ḥārith al-A‘war yang dikatakan sebagai pendusta dan syiah yang melampau.

RUJUKAN

Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.

MAKLUMAN

Maklumat ini adalah hasil sumbangan penulis iaitu Saudari Nur Farha dan para dermawan seperti Saudara Mohd Amirul Asraf dan lain-lain, melalui Tabung Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.