Lemah
minit bacaan
Teks Bahasa Arab
عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: لَمَّا قُبِضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَتِ التَّعْزِيَةُ جَاءَ آتٍ يَسْمَعُونَ حِسَّهُ وَلَا يَرَوْنَ شَخْصَهُ. فَقَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الْبَيْتِ وَرَحْمَةُ اللَّهِ إِنَّ فِي اللَّهِ عَزَاءً مِنْ كُلِّ مُصِيبَةٍ، وَخَلَفًا مِنْ كُلِّ هَالِكٍ وَدَرَكًا مِنْ كُلِّ مَا فَاتَ، فَبِاللَّهِ فَثِقُوا وَإِيَّاهُ فَارْجُوا. فَإِنَّ الْمَحْرُومَ مَنْ حُرِمَ الثَّوَابَ وَالْمُصَابَ مَنْ حُرِمَ الثَّوَابَ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ. فَقَالَ: هَلْ تَدْرُونَ مَنْ هَذَا؟ هَذَا الْخَضِرُ صَلَوَاتُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَعَلَى جَمِيعِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْأَوْلِيَاءِ.
Teks Bahasa Melayu
‘Alī bin Abū Ṭālib r.a berkata: Ketika wafatnya Rasulullah s.a.w, telah sampai kepada mereka ucapan takziah yang mereka hanya mendengarnya perlahan tanpa melihat kepada penyampainya. Beliau berkata: Salam sejahtera dan rahmat Allah ke atas ahli bait. Sesungguhnya kepada Allahlah kesabaran bagi setiap musibah, gantian bagi setiap yang musnah dan pencapaian daripada setiap yang luput. Maka bertaqwalah kepada Allah dan kepada-Nyalah kamu berharap. Sesungguhnya antara halangannya adalah terhalang mendapat pahala. Dan orang yang ditimpakan ke atasnya musibah adalah sesiapa yang terhalang mendapat pahala, dan salam sejahtera ke atas kamu. Kemudian dia berkata: Adakah kamu tahu siapakah ini? Inilah al-Khaḍir selawat Allah ke atasnya dan ke atas para Nabi dan wali-wali.
Sahabat Perawi
- Ali bin Abu Talib RA
Ulama/Pengkaji Hadis
- Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai (Penyelia Dr. Faisal Ahmad Shah)
Status
Lemah
Komentar Ulama/Pengkaji Hadis
Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 71, hadis no. 9. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:
Ibn Abū ‘Umar meriwayatkan dalam musnadnya, Ibn ‘Adī dalam al-Kāmil, al-Sahmī dalam Tārikh Jurjān dan Abū Nu‘aim dalam Dalā’il al-Nubuwwah melalui jalan Muḥammad bin Ja‘far bin Muḥammad bin ‘Alī bin al-Ḥusayn daripada bapanya, daripada datuknya daripada ‘Alī. Sanad ini terputus antara Muḥammad bin ‘Alī dan datuk bapanya, ‘Alī r.a. Padanya juga terdapat Muḥammad bin Ja‘far bin Muḥammad bin ‘Alī bin al-Ḥusayn al-Hāshimī. Diriwayatkan al-Khaṭīb dengan sanadnya dalam tarjamah Muḥammad bin Ja‘far ini, sesungguhnya beliau ketika keluar bertemu al-Ma’mūn di Mekah kemudian dikatakan kepadanya: Kamu telah menyampaikan kepada manusia riwayat-riwayat yang merosakkan agama mereka. Bangunlah engkau kemudian dustakanlah dirimu. Maka dia memanjat mimbar dan kemudiannya mengucapkan kesyukuran kepada Allah serta puji-pujian ke atas junjungaNnya kemudian berkata: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah meriwayatkan kepada kamu hadith-hadith yang telah aku dustakan. Maka, sekalian manusia yang mendengarnya terus mengoyak buku-buku dan riwayat yang diterima mereka. Sementara itu, Ibn al-Qayyim berpandangan semua hadith mengenai al-Khaḍir dan kehidupannya adalah dusta. Ibn Kathīr pula menyatakan hadith tersebut masyhur dalam bab takziah tetapi sanadnya daif. Hadith ini daif kerana rantaian sanad Muḥammad bin ‘Alī tidak bersambung.
Rujukan
Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.
Makluman