Hadith tentang ‘Auj bin Anuq

TEKS BAHASA ARAB

حديث عوج بن عنق الطويل، الذي ذكره كثير من المفسرين وغيرهم: أن طوله ثلاثة آلاف ذراع وثلاثمائة وثلاث وثلاثون، وأن نوحا لما خوفه الغرق، قال: احملني في قصعتك، وأن الطوفان لم يصل إلى كعبه، وأنه خاض البحر فوصل إلى حجزته، وإنه كان يأخذ الحوت من البحر فيشويه في عين الشمس، وإنه قلع صخرة عظيمة على قدر عسكر موسى وأراد أن يرصعهم بها فقورها الله في عنقه مثل الطوق.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Hadith tentang ‘Auj bin Anuq yang tinggi, yang sering diceritakan oleh ramai ulama tafsir dan lain-lain bahawa tingginya adalah 3333 hasta. Apabila Nabi Nuh menakutkannya dengan banjir, dia berkata: Bawalah aku serta dalam dulangmu (maksudnya bahteramu). Banjir tersebut hanya menyentuh mata kakinya sahaja. Dia pernah menyelam ke lautan namun paras air hanya mencapai pinggangnya. Dia menangkap ikan paus di laut lalu memanggangnya di matahari. Dia turut mencungkil batu untuk ditimpakan kepada pasukan Nabi Musa, lalu Allah menjadikan batu tersebut seperti belenggu di lehernya.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Muhammad bin Khalil Al-Qawuqji (m.1305H) رحمه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis palsu dan tiada asalnya beliau berjudul Al-Lu’lu’ al-Marsu’ Fi Ma La Asla Lah Au Biaslihi Maudu’, di halaman 124, hadis nombor 348. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

موضوع قبح الله واضعه. قال ابن قيم الجوزية: وليس العجب من جرأة مثل هذا الكذاب على الله، إنما العجب ممن يدخل هذا الحديث في كتب العلم من التفسير وغيره، ولا يبين أمره، وقد قامت الشواهد الصحيحة على بطلانه، فقد قال تعالى: {وجعلنا ذريته} – أي نوح – {هم الباقين} فأخبر أن كل ما بقي على وجه الأرض من ذرية نوح، فلو كان لعوج وجود لم يبق بعد نوح.
وأيضا فإن النبي صلى الله عليه وسلم قال: خلق الله آدم وطوله في السماء ستون ذراعا فلم يزل الخلق ينقص حتى الآن .
إلى أن قال: ولا ريب أن هذا وأمثاله من وضع الزنادقة أهل الكتاب الذين قصدوا السخرية والاستهزاء بالرسل وأتباعهم، والله تعالى أعلم.

Palsu. Semoga Allah memburukkan pemalsunya. Ibn al-Qayyim berkata: Tidak hairan keberanian si kaki dusta ini yang berdusta terhadap Allah. Lebih menghairankan ialah orang yang memasukkan kisah ini dalam kitab tafsir dan ilmu namun tidak menjelaskan statusnya padahal sangat jelas tanda-tanda kebatilan padanya. Allah berfirman: Kami menjadikan keturunannya, yakni Nuh, kalangan yang kekal. Justeru, semua orang yang kekal di muka bumi adalah keturunan Nuh. Sekiranya ‘Auj wujud, dia tidak akan kekal selepas Nuh. Lagi pula, Nabi bersabda bahawa tinggi Adam adalah 60 hasta lalu keturunannya semakin mengecil hingga hari ini.

Ibn al-Qayyim lalu berkata: Tidak diragukan bahawa hadith ini dan seumpamanya adalah rekaan kalangan zindiq ahli-ahli kitab yang hendak membuat olok-olok kepada para rasul dan pengikut mereka. Wallahu a’lam.

RUJUKAN

Muhammad bin Khalil Al-Qawuqji. (1415H). Al-Lu’lu’ al-Marsu’ Fi Ma La Asla Lah Au Biaslihi Maudu’ (Fawwaz Ahmad Zamrali, Ed.). Dar al-Basha’ir.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Badan Kebajikan Telekom Malaysia Berhad, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs