Lemah
minit bacaan
Teks Bahasa Arab
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ: لَمَّا وُضِعَتْ أُمُّ كُلْثُومٍ ابْنَةُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْقَبْرِ. قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:{مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ، وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى}.
Teks Bahasa Melayu
Daripada Abū Umāmah telah berkata: Apabila diletakkan Ummu Kulthūm puteri Rasulullah ﷺ ke dalam kubur, Baginda ﷺ membaca: “Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi”.
Sahabat Perawi
- Abu Umamah RA
Ulama/Pengkaji Hadis
- Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai (Penyelia Dr. Faisal Ahmad Shah)
Status
Lemah
Komentar Ulama/Pengkaji Hadis
Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 65, hadis no. 6. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:
Hadith ini diriwayatkan Imām Aḥmad dalam musnadnya, al-Ḥākim dalam Mustadrak, dan al-Baihaqī dalam al-Sunan al-Kubrā melalui jalan Yaḥyā bin Ayyūb daripada ‘Ubayd Allah bin Zahr daripada ‘Alī bin Yazīd daripada al-Qāsim daripada Abū Umāmah. Pada sanad ini terdapat: 1. ‘Ubayd Allah bin Zahr: Ibn Ma‘īn berkata setiap hadithnya adalah daif termasuk hadith daripada ‘Alī bin Yazīd dan lain-lain. Menurut Ibn Ḥibbān, hadithnya terlalu munkar dan banyak meriwayatkan yang palsu daripada yang thābit. Menurut al-Dāruquṭnī, nuskhah ‘Ubayd Allah bin Zahr daripada ‘Alī bin Yazīd adalah palsu. Ibn Ḥajar berkata, ṣadūq yakhṭī’. 2. ‘Alī bin Yazīd al-Alhānī: Ibn Ma‘īn menyatakan ‘Alī bin Yazīd daripada al-Qāsim daripada Abū Umāmah kesemuanya lemah. Menurut al-Bukhārī, ‘Alī bin Yazīd dhāhib al-ḥadīth dan Ya‘qub bin Shaibah pula menyatakan wāhīn al-ḥadīth, kathīr al-munkarāt. Abū Ḥātim menyebut hadith Alī bin Yazīd daripada al-Qāsim daripada Abū Umāmah laisat bi al-qawiyyah adalah lemah serta matrūk al-ḥadīth menurut al-Nasāie. 3. Al-Qāsim bin ‘Abd al-Raḥman al-Dimasḥqī: Abū Bakr al-Athram mendengar Abū ‘Abd Allah disebutkan kepadanya hadith daripada al-Qāsim al-Shāmī daripada Abū Umāmah dan riwayat ini hanya dilihat daripada al-Qāsim. Abū ‘Abd Allah berkata apabila berbicara Bishr bin Numair daripada al-Qāsim, menurut Shu‘bah, ikutilah sebagaimana yang dilakukannya. Ibn Ḥajar menyatakan ṣadūq banyak meriwayatkan riwayat gharīb. Menurut al-Baihaqī sanad ini daif. Al-Nawāwī menyatakan Imam Aḥmad meriwayatkan daripada riwayat ‘Ubayd Allah bin Zahr daripada ‘Alī bin Yazīd daripada al-Qāsim dan ketiga-tiga mereka adalah daif. Akan tetapi diambil mudah dengan hadith-hadith faḍā’il walaupun sanadnya daif digunakan untuk targhīb dan tarhīb, ini adalah antara hadithnya. Dinukilkan dalam Mustadrak, ini adalah sejenis khabar wāhin kerana ‘Alī bin Yazīd adalah matrūk. Menurut Ibn Ḥajar pula terlalu daif. Hadith ini tersangat daif berikutan keberadaan ‘Alī bin Yazīd dan perawi-perawi lain yang dikenalpasti sebagai lemah.
Rujukan
Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.
Makluman