Cukai jizyah telah diangkat

TEKS BAHASA ARAB

 وَضَعُ الْجِزْيَةِ عن أَهْلِ خَيْبَرَ

TEKS BAHASA MALAYSIA

Cukai jizyah telah diangkat (dibatalkan) daripada penduduk Khaibar.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Seperti yang dinukilkan dalam terjemahan Kitab Al-Manar Al-Munif, kata Ibn Qayyim Al-Jawziyyah رحمه الله:

Antara ciri-ciri lain hadis palsu ialah ia boleh dikenali dengan tanda-tanda yang membuktikan kebatilannya. Seperti hadis:
وَضَعُ الْجِزْيَةِ عن أَهْلِ خَيْبَرَ
“Cukai jizyah telah diangkat (dibatalkan) daripada penduduk Khaibar.”

Hadis ini adalah dusta daripada beberapa aspek, antaranya ialah:
1- Sa’ad bin Mu’az dikatakan menjadi saksi perjanjian ini tetapi Sa’ad telah meninggal dunia sebelum Perang Khandak.

2- Di dalam hadis ini ada menyebutkan: “Kandungan perjanjian ini telah ditulis oleh Mu’awiyah bin Abi Sufyan.” Namun, Mu’awiyah memeluk Islam ketika Pembukaan Kota Mekah dan beliau termasuk golongan yang dibebaskan.

3- Dalil penetapan jizyah belum diturunkan lagi ketika itu. Malah, orang Arab dan para sahabat tidak mengetahui tentangnya. Dalil jizyah turun selepas tahun Perang Tabuk. Nabi hanya menetapkan jizyah itu ke atas orang-orang Nasrani Najran dan Yahudi di Yaman malah penduduk Yahudi di Madinah tidak dikenakan jizyah kerana mereka masih berdamai dengan Nabi ketika itu.
Kemudian, sebahagian daripada mereka dibunuh dan sebahagian lagi diusir ke Khaibar dan Syam. Penduduk Khaibar telah mengajak baginda berdamai sebelum turun kewajipan jizyah. Setelah turunnya dalil penetapan jizyah, maka pelaksanaan jizyah adalah seperti sebelumnya. Jizyah dikenakan ke atas mereka yang tidak membuat perjanjian damai dengan baginda. Justeru itu, terdapat keraguan apabila disandarkan jizyah itu kepada penduduk Khaibar.

4- Antara kandungan hadis tersebut ada disebut: (Baginda mewajibkan ke atas mereka (penduduk Khaibar) melakukan kerja berat dan paksaan). Sedangkan tidak wujud sama sekali arahan melakukan kerja-kerja berat, paksaan dan bayaran yang dikenakan (kepada pedagang luar) pada waktu itu.

5- Menurut hadis palsu ini, baginda tidak menjadikan jizyah ini sebagai perjanjian yang wajib untuk penduduk Khaibar sedangkan Nabi bersabda,

نُقِرُّكُمْ مَا شِئْناَ
“Kami tetapkan bagi kalian sesuai dengan apa yang kami inginkan.”

Oleh yang demikian, bagaimana baginda membatalkan jizyah sedangkan jizyah adalah perjanjian yang wajib dipatuhi oleh setiap kafir Zimmi. Tambahan pula tiada janji keamanan secara wajib dan selama-lamanya buat penduduk Khaibar.

6- Sesungguhnya penyebar yang menyampaikan kenyataan ini menyandarkan kepada Rasulullah SAW. Tetapi bagaimana ia mungkin berlaku sedangkan ia tidak diketahui oleh pembawa panji sunnah daripada kalangan para sahabat, tabiin serta imam-imam hadis. Malah mengapa hanya orang-orang Yahudi sahaja yang tahu dan menyebarkan kenyataan ini?

7- Sesungguhnya penduduk (Yahudi) Khaibar tidak mempunyai apa-apa sumbangan kepada kaum Muslimin yang boleh menggugurkan kewajipan jizyah ke atas mereka. Mereka adalah kaum yang memerangi Allah dan Rasul-Nya. Mereka berusaha membunuh baginda dan para sahabatnya menghunus pedang di hadapan wajah mereka, meracuni Nabi, melindungi musuh-musuh Nabi yang memerangi baginda dan menyemarakkan semangat perang ke atas baginda. Justeru itu, mengapa perlu mereka diberi lebih perhatian? Malah, mengapa perlu menggugurkan kewajipan yang Allah telah tetapkan kepada orang yang tidak mahu memeluk Islam?

8- Nabi Muhammad SAW tidak menggugurkan jizyah kepada orang-orang kafir yang tinggal jauh dari Madinah dan yang tidak memerangi baginda seperti ahli Yaman dan Najran. Jelas dengan itu, bagaimana mungkin baginda menggugurkan kewajipan jizyah ke atas orang-orang kafir dekat dan sangat memusuhi baginda, sangat kufur dan degil? Malah, kita sedia maklum bahawa jika semakin besar kekufuran sesuatu kaum, semakin kuat permusuhan mereka, maka mereka semakin berhak mendapat hukuman malah jizyah sama sekali tidak akan digugurkan ke atas mereka.

9- Jika Nabi Muhammad SAW menggugurkan kewajipan jizyah, sudah tentu mereka ialah orang kafir yang baik. Malah baginda tidak perlu menambahkan syarat untuk mengusir mereka bila sahaja baginda kehendaki. Ahli zimmah yang patuh membayar jizyah tidak boleh diusir daripada kawasan mereka selagi mereka melaksanakan hukum-hukum zimmah. Justeru, bagaimana jiran mereka yang tidak melaksanakan hukum-hukum zimmah boleh digugurkan kewajipan jizyah. Lalu diberi layanan yang lebih baik pula daripada kelompok yang taat. Oleh itu, kelompok manakah yang lebih layak dinafikan negara dan dicela? Bagaimanakah mungkin kedua-dua kelompok ini berkumpul di tempat yang sama.

10- Jika hadis ini benar, maka mengapa para sahabat Rasulullah SAW, para tabiin, para fuqaha seluruhnya menyelisihi hadis ini? Mengapa tidak ada seorang pun daripada kalangan sahabat mahupun tabiin atau ahli fikah yang berkata, “Tidak ada kewajipan jizyah bagi penduduk Khaibar?” Malah mereka semua berkata: “Penduduk Khaibar mahupun selainnya sama-sama wajib membayar jizyah dan mereka menentang hadis palsu ini. Malah mereka secara terang-terangan mengatakan bahawa hadis itu palsu sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Abu Hamid, al-Qadhi Abu Toyyib, al-Qadhi Abu Ya’la dan lain-lain.

Al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan berkenaan hadis ini serta menerangkan kedustaan hadis ini daripada pelbagai aspek. Hadis ini pernah ditunjukkan kepada Syeikhul Islam dan orang di sekitar beliau ialah orang Yahudi yang mengagungkan hadis itu. Mereka mengenakan pakaian daripada sutera. Ketika Syeikhul Islam membuka hadis ini dan menelaahnya, beliau ludah pada hadis tersebut dan berkata, “Ini adalah dusta dari pelbagai sudut.” Lalu dia jelaskan. Orang-orang Yahudi di sekitarnya bangun dengan rasa hina dan kerdil.

RUJUKAN

  1. Ibn Qayyim Al-Jawziyyah. Al-Manār Al-Munīf Fī Al-Ṣaḥīḥ Wal-Ḍa‘Īf. Ditahqiq oleh ‘Abd Al-Fattāḥ Abu Ghuddah. Ḥalab: Maktabah Al-Maṭbū‘ah Al-Islāmiyyah, 1970.
  2. Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Kenali Hadis Sahih Dhoif Palsu. Disunting oleh Solehah Abu Bakar. Selangor: Kemilau Publika, 2015.
 MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan seorang penaja yang menaja Projek Al-Manar Al-Munif yang dijalankan oleh Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja tersebut dan warga tim semakhadis.com. Aamiin! Mohon maklumkan kepada admin@semakhadis.com sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

beacon