Perbanyakkanlah mengucapkan kepada jenazah lā ilāha illā Allah

TEKS BAHASA ARAB

أكثروا في الجنازة قول : لا إله إلا الله.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Perbanyakkanlah mengucapkan kepada jenazah lā ilāha illā Allah.

STATUS

Lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 59, hadis nombor 3. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَكْثرُوا فِي الجنازة قَول لَا إِلَه إِلَّا الله.

Daripada Anas bin Mālik perbanyakkanlah mengucapkan kepada jenazah lā ilāha illā Allah.

Hadith ini diriwayatkan al-Dailamī dalam Musnad al-Firdaus daripada jalan ‘Abd Allah bin Muḥammad bin Wahab daripada Yaḥya bin Muḥammad bin Sāliḥ daripada Khālid bin Muslim al-Quraisiy daripada Yaḥyā bin Ayyūb daripada Yazīd bin Abū Ḥabīb daripada Sinān bin Sa‘d bin Anas bin bin Mālik.
Pada sanad hadith ini terdapat:
1. ‘Abd Allah bin Muḥammad bin Wahab: Berkemungkinan beliau adalah Abū Muḥammad al-Dīnawariy. Beliau juga dikatakan sebagai ‘Abd Allah bin Ḥamdān bin Wahab dan dikatakan ‘Abd Allah bin Wahab. Al-Ismā‘īliy menyatakan beliau ṣadūq malah hanya masyarakat Baghdād yang menyebut dan mengangkatnya. Al-Dāruquṭnī menyatakan, matrūk dan menurut al-Khalīliy, seorang ḥāfiẓ yang terkenal tetapi sebahagian riwayatnya menyanggahi orang lain.
2. Yaḥyā bin Muḥammad bin Sālih dan Khālid bin Muslim al-Qurashī: Tiada tarjamah bagi keduanya.
3. Sinān bin Sa‘d, dikatakan beliau adalah Sa‘d bin Sinān al-Kindiy al-Misriy: Ibn Ma‘in, al-‘Ijliy dan selain daripada keduanya menthiqahkannya. Namun Imām Aḥmad menyatakan, aku meninggalkan hadithnya dan hadithnya adalah muḍṭarib. Menurut Imām Aḥmad berkenaan hadith-hadith Yazīd bin Abū Ḥabīb daripada Sa‘d bin Sinān daripada Anas, beliau telah meriwayatkan lima belas hadith yang munkar kesemuanya yang tidak diketahui mengenainya walau satu pun. Al-Jūzjāniy menyatakan hadithnya wāhiyah dan tidak seperti hadith-hadith orang lain yang diriwayatkan Anas. Menurut Ibn Sa‘d, al-Nasāie dan al-Dūlābiy munkar al-ḥadīth. Al-Dhahabī menyatakan beliau didaifkan tetapi tidak ditinggalkan. Ibn Ḥajar berkata, ṣadūq lahu afrād.
Justeru, sekiranya benar ‘Abd Allah bin Muḥammad bin Wahab adalah al-Dīnawariy yang dititikberatkan dengan pemalsuan hadith yang dilakukannya, maka hadith tersebut digugurkan atau sekurang-kurangnya sanad hadith tersebut dinilai sebagai daif. Tambahan pula, al-Albānī menyatakan daif dan menurutnya selain Yaḥyā bin Ayyūb tiada yang menyebut siapakah mereka.
Hadith ini daif kerana perawi-perawi yang meriwayatkannya lemah dan tiada tarjamah.

RUJUKAN

Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.

MAKLUMAN

Maklumat ini adalah hasil sumbangan penulis iaitu Saudari Nur Farha dan para dermawan seperti Saudara Razif dan lain-lain, melalui Tabung Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin! 

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

beacon

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs