Sangat lemah

30/06/2024

minit bacaan



Apabila meninggal salah seorang daripada kamu, janganlah kamu melengah-lengahkannya dan segerakanlahnya ke kuburnya

Teks Bahasa Arab

إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ فَلَا تَحْبِسُوهُ، وَأَسْرِعُوا بِهِ إِلَى قَبْرِهِ، وَلْيُقْرَأْ عِنْدَ رَأْسِهِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ، وَعِنْدَ رِجْلَيْهِ بِخَاتِمَةِ الْبَقَرَةِ فِي قَبْرِه.

Teks Bahasa Melayu

Apabila meninggal salah seorang daripada kamu, janganlah kamu melengah-lengahkannya dan segerakanlahnya ke kuburnya. Kemudian bacakan pada kepalanya dengan pembukaan Surah al-Fatihah dan pada kedua kakinya dengan penutup Surah al-Baqarah di kuburnya.

Sahabat Perawi

  1. Ibn ‘Umar RA

Ulama/Pengkaji Hadis

  1. Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai (Penyelia Dr. Faisal Ahmad Shah)

Status

Sangat lemah

Komentar Ulama/Pengkaji Hadis

Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 82, hadis no. 15. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

Abū Shu‘aib al-Ḥarānī telah menceritakan kepada kami, Yaḥyā bin ‘Abd Allah al-Bābluttī telah menceritakan kepadaku, Ayyūb bin Nahīk telah menceritakan kepada kami, katanya: Aku mendengar ‘Aṭā‘ bin Abū Rabāḥ katanya: Aku mendengar Ibn ‘Umar, katanya: Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: Apabila meninggal salah seorang daripada kamu, janganlah kamu melengah-lengahkannya dan segerakanlahnya ke kuburnya. Kemudian bacakan pada kepalanya dengan pembukaan Surah al-Fatihah dan pada kedua kakinya dengan penutup Surah al-Baqarah di kuburnya. Al-Ṭabrānī meriwayatkan dalam al-Mu‘jam al-Kabīr, Abū Bakr al-Khalīl dalam al-Amr bi al-Ma‘rūf wa al-Nahy ‘an al-Munkar dan al-Baihaqī dalam Sha‘b al-Imān daripada jalan Abū Shu‘īb al-Ḥarānī daripada Yaḥyā bin ‘Abd Allah al-Bābluttī daripada Ayyūb bin Nahīk al-Ḥalabī daripada ‘Aṭā‘ bin Abū Rabāḥ daripada Ibn ‘Umar. Pada sanad ini terdapat: 1. Yaḥyā bin ‘Abd Allah bin al-Ḍaḥāk al-Bābluttī Abū Sa‘īd al-Ḥarānī: Abū Zur‘ah, Ibn Ḥibbān, dan Ibn ‘Adī mendaifkannya. Menurut al-Dhahabī beliau adalah layyin dan daif menurut Ibn Ḥajar. 2. Ayyūb bin Nahīk al-Ḥalabī Maulā Ālī Sa‘d bin Abū Waqāṣ: Menurut Abū Zur‘ah munkar al-ḥadīth. Abū Ḥātim berpandangan daif al-ḥadīth. Ibn Ḥibbān menyebutnya dalam al-Thiqāt sebagai yukhṭī.’ Menurut al-Azdī matrūk al-ḥadīth dan al-Dhahabī menyuruh meninggalkannya. Al-Haithamī berkata padanya terdapat Yaḥyā bin ‘Abd Allah bin al-Ḍaḥāk al-Bābluttī yang daif. Hadith ini tersangat daif kerana terdapat Ayyūb bin Nahīk al-Ḥalabī.

Rujukan

Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.

Makluman

Maklumat ini adalah hasil sumbangan penulis iaitu Saudari Nur Farha dan para dermawan seperti Saudari Noraine Salleh Hudin. Projek ini dibiayai sepenuhnya dari tabung tersebut. Mohon lapor jika terdapat sebarang kesilapan.