Allah Ta'ala berfirman: Apabila hambaku mencapai usia 40

TEKS BAHASA ARAB

قال الله تعالى: إذا بلغ عبدي أربعين سنة عافيته من البلايا الثلاث: من الجنون والبرص والجذام وإذا بلغ خمسين سنة حاسبته حساباً يسيرا وإذا بلغ ستين سنة حببت إليه الإنابة وإذا بلغ سبعين سنة أحبته الملائكة وإذا بلغ ثمانين سنة كتبت حسناته وألقيت سيئاته وإذا بلغ تسعين سنة قالت الملائكة: أسير الله في أرضه فغفر له ما تقدم من ذنيه وما تأخر ويشفع في أهله.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Allah Ta’ala berfirman: Apabila hambaKu mencapai usia 40 tahun, Aku selamatkannya daripada tiga penyakit, iaitu gila, kusta dan sopak. Apabila dia mencapai usia 50 tahun, Aku menghisabnya dengan hisab yang mudah. Apabila mencapai usia 60 tahun, Aku buatkan dia menyukai taubat. Apabila mencapai usia 70 tahun, para malaikat akan menyukainya. Apabila dia mencapai usia 80 tahun, Aku tuliskan kebaikan-kebaikannya dan Aku hapuskan kejahatan-kejahatannya. Apabila mencapai usia 90 tahun, malaikat berkata: Tawanan Allah dibumi-Nya, Dia telah memberikan keampunan kepadanya terhadap dosa yang telah lalu dan dosa yang akan datang, serta dia boleh memberikan syafaat kepada ahli keluarganya.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Aḥmad bin Al-Ṣiddīq al-Ghumārī (m. 1380H) رحمه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis palsu beliau berjudul Al-Mughīr ‘Alā al-Aḥādīth al-Mawḍū‘ah Fī al-Jāmi‘ al-Ṣaghīr, di halaman 60, hadis nombor 335. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

Hadith tersebut turut dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam al-Zuhd dan lain-lain melalui beberapa sanad yang lain, pun begitu ia tetap palsu sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibn al-Jawzi. Dalam sanadnya terdapat perawi-perawi daif dan perawi-perawi majhul (tidak dikenali). Hadith Nabi yang maksum SAW tidak akan bercanggah dengan realiti sedangkan kandungan hadith ini tidak sesuai dengan realiti.

RUJUKAN

Aḥmad bin Al-Ṣiddīq al-Ghumārī. (2015). Al-Mughīr ‘Alā al-Aḥādīth al-Mawḍū‘ah Fī al-Jāmi‘ al-Ṣaghīr(2nd ed.). Maktabah al-Qahirah.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Telekom Malaysia, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.