Allah SWT menjadikan musyawarah itu sebagai suatu rahmat untuk umat Nabi Muhamad SAW

TEKS BAHASA ARAB

أما إن الله ورسوله غنيان عنها (يعني: المشاورة) ؛ ولكن جعلها الله رحمة لأمتي، فمن شاور منهم؛ لم يعدم رشدا، ومن ترك المشورة منهم؛ لم يعدم غيا.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak perlu kepadanya (iaitu: kepada perbincangan). Akan tetapi Allah menjadikannya sebagai suatu rahmat kepada umatku. Maka sesiapa yang berbincang daripada kalangan mereka, dia tidak akan hilang daripada petunjuk. Manakala sesiapa yang meninggalkan perbincangan, maka dia tidak akan terlepas daripada kesesatan.

STATUS

Lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 223, hadis nombor 1183. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله . Berikut adalah maklumat tentang hadis ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:

(ضعيف) عن ابن عباس قال: لما نزلت هذه الآية: {وَشَاوِرْهُمْ فِى الْاَمْرِۚ فَاِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّٰهِ ۗ اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِيْنَ} الأية؛ قال رسول الله – صلى الله عليه وسلم-: ((أما إن الله ورسوله غنيان عنها (يعني: المشاورة)؛ ولكن جعلها الله رحمة لأمتي، فمن شاور منهم؛ لم يعدم رشدا، ومن ترك المشورة منهم؛ لم يعدم غيا)). [عد، ((الضعيفة)) (5868)]

(Lemah)
Daripada Ibn ‘Abbas RA beliau berkata: Tatkala turunnya ayat ini: ‘Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal’ [Ali Imran: 159]. Rasulullah SAW bersabda: Ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak perlu kepadanya (iaitu: kepada perbincangan). Akan tetapi Allah menjadikannya sebagai suatu rahmat kepada umatku. Maka sesiapa yang berbincang daripada kalangan mereka, dia tidak akan hilang daripada petunjuk. Manakala sesiapa yang meninggalkan berbincang, maka dia tidak akan terlepas daripada kesesatan.
[Riwayat Ibn 'Adi dalam al-Kamil fi al-Du’afa’. Lihat Silsilah al-Da'ifah, no. 5868]

RUJUKAN

Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī, & Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān. (2010). Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Maktabah al-Ma‘ārif.

MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan Telekom Malaysia, dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah dan beberapa universiti tempatan. Projek ini diketuai oleh Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs