Palsu
minit bacaan
Teks Bahasa Arab
حديث: أَنَا مَدِينَةُ الْعِلْمِ، وَعَلِيٌّ بَابُهَا. فَمَنْ أَرَادَ الْعِلْمَ فَلْيَأْتِ الْبَابَ.
Teks Bahasa Melayu
Hadith: Aku adalah kota ilmu, dan Ali adalah pintunya. Maka sesiapa yang menginginkan ilmu maka mestilah masuk melalui pintunya.
Sahabat Perawi
- Abdullah bin Abbas RA
- Ali RA
- Jabir RA
Ulama/Pengkaji Hadis
- Muḥammad bin ‘Alī al-Shawkānī (m.1250H)
Status
Palsu
Komentar Ulama/Pengkaji Hadis
Hadis ini disebut oleh Muḥammad bin ‘Alī al-Shawkānī (m.1250H) رحمه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis palsu beliau berjudul Al-Fawā’id Al-Majmū’ah Fī Al-Aḥādīth Al-Mawḍū‘ah, di halaman 348-349, hadis no. 52. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:
Diriwayatkan oleh al-Khatib daripada Ibn Abbas secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW). Diriwayatkan oleh al-Tabrani, Ibn Adi, al-Uqaili, dan Ibn Hibban daripada Ibn Abbas secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW). Pada sanad al-Khatib terdapat Jaafar bin Muhammad al-Baghdadi, dia adalah seorang yang dituduh berdusta. Pada sanad al-Tabrani terdapat Abu al-Salt al-Harawi, Abd al-Salam bin Soleh. Dikatakan: Dia adalah orang yang memalsukannya.Pada sanad Ibn Adi terdapat Ahmad Salamah al-Jurjani, dia meriwayatkan hadith-hadith daripada orang-orang yang thiqah dengan hadith yang palsu. Pada sanad al-Uqaili terdapat Umar bin Ismail bin Mujalid, seorang pendusta. Pada sanad Ibn Hibban terdapat: Ismail bin Muhammd bin Yusuf, seorang perawi yang tidak boleh dijadikan hujah. Diriwayatkan juga oleh Ibn Mardawaih daripada Ali secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW). Pada sanadnya terdapat perawi yang tidak boleh dijadikan hujah.Diriwayatkan juga oleh Ibn Adi daripada Jabir secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW) dengan lafaz: Ali adalah pemimpin orang yang taat, penentang orang-orang yang jahat, sesiapa yang menolongnya akan ditolong, sesiapa yang menghinanya akan dihina. Aku adalah kota ilmu dan Ali pintunya. Sesiapa yang mahukan ilmu maka datanglah melalui pintunya. Dikatakan: Tidak sahih. Tiada asalnya. Hadith ini disebutkan oleh Ibn al-Jauzi dalam al-Maudhuat daripada jalan yang pelbagai, beliau mengatakan dengan pasti bahawa kesemuanya batil, disebutkan juga riwayat sokongan dari al-Zahabi dan selainnya. Dijawab bahawa Muhammad bin Jaafar al-Baghdadi al-Fidi telah dinilai thiqah oleh Yahya bin Ma'in, dan bahawa Abu al-Salt al-Harawi pula dinilai thiqah oleh Ibn Ma'in dan al-Hakim. Yahya ditanya tentang hadith ini, dia berkata: Sahih. Diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Ali RA secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW). Diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak daripada Ibn Abbas secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW). Dia berkata: Sanadnya sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Yang betul adalah berbeza dengan apa yang dikatakan oleh mereka berdua. Iaitu Ibn al-Jauzi dan al-Hakim. Hadith ini adalah hasan namun tidak naik ke taraf sahih atau turun ke taraf dusta. Inilah yang betul kerana Yahya Ibn Main dan al-Hakim telah berselisih dalam menilai Abu al-Salt dan perawi dalam riwayat sokongan yang lain sebagai thiqah, maka dengan perselisihan ini tidak menjadikan ia sahih, bahkan hasan lighairihi kerana jalurnya banyak seperti yang telah kami terangkan. Bagi hadith ini ada jalur yang lain yang disebutkan oleh pengarang al-Laali’ dan selainnya.
Rujukan
Muḥammad bin ‘Alī al-Shawkānī. (1995). Al-Fawāid al-Majmū‘ah Fī al-Aḥādīth al-Mawdū‘ah (‘Abd al-Raḥmān bin Yaḥyā al-Yamānī, Ed.). Dār Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah.
Makluman