Tidaklah berkumpul suatu kaum muslim yang sebagian mereka berdoa

لا يجتمع قوم مسلمون فيدعو بعضهم ويؤمن بعضهم إلا استجاب الله تعالى دعاءهم

Tidaklah berkumpul suatu kaum muslim yang sebagian mereka berdoa, dan sebagian lainnya mengamininya, kecuali Allah mengabulkan doa mereka

Soalan kepada Tim Semakhadis.com

عَنْ حَبِيْبِ بْنِ مَسْلَمَةَ الْفِهْرِيِّ وَكَانَ مُجَابَ الدَّعْوَةِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم يَقُوْلُ: لاَ يَجْتَمِعُ قَوْمٌ مُسْلِمُوْنَ فَيَدْعُوْ بَعْضُهُمْوَيُؤَمِّنُ بَعْضُهُمْ إِلاَّ اسْتَجَابَ اللهُ دُعَاءَهُمْ.

رواه الطبراني

“Dari Habib bin Maslamah al-Fihri ra –ia adalah seorang yang dikabulkan doanya-, berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Tidaklah berkumpul suatu kaum muslim yang sebagian mereka berdoa, dan sebagian lainnya mengamininya, kecuali Allah mengabulkan doa mereka.” (HR. al-Thabarani)

Sahihkah hadis ini?

Jawapan

Setelah membuat semakan, kami tidak menemui hadis dengan lafaz tersebut dalam mana-mana kitab hadis tetapi kami menemuinya dalam beberapa kitab fekah tanpa sanad:

  1. Syarah Zaruq ‘ala Matan al-Risalah libni Abi Zaid al-Qairawani oleh Syihabuddin al-Fasi juga terkenal dengan nama Zaruq (wafat 899 hijrah).
  2. Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil oleh Syamsuddin Muhammad al-Tarablisi, terkenal dengan nama Al-Hattab al-Ru’aini al-Maliki (wafat 954 hijrah).

Bagaimanapun kami turut menemui hadis riwayat Habib bin Maslamah dengan lafaz yang sedikit berbeza. Iaitu,

لا يجتمع ملأ فيدعو بعضهم، ويؤمن سائرهم، إلا أجابهم الله

Tidaklah terkumpul sekumpulan manusia, lalu sebahagian mereka berdoa dan mengamininya kesemua mereka, melainkan Allah akan menjawab (mengkabulkan) [doa] mereka.

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam kitab Mu’jam Al-Kabir¹ dan Al-Hakim dalam kitab Mustadrak² beliau dari Abu Bakr  bin Ishaq. Kedua mereka meriwayatkannya dari jalur yang sama iaitu dari Bisyir bin Musa dari Abu Abdirrahman Al-Muqriy dari Ibn Lahi’ah dari Ibn Hubairah dari Habib bin Maslamah al-Fihriy dari Rasul Allah salla Allah ‘alaihi wa sallam.

Al-Albaniy dalam Silsilah Al-Ahadith Al-Da’ifah³ mengesahkan bahawa kesemua perawi riwayat ini adalah thiqqah namun sanadnya terputus di antara Ibn Hubairah dan Habib bin Maslamah. Walaupun Ibn Hubairah adalah seorang yang thiqqah, beliau tidak sempat bertemu (untuk belajar) dengan Habib bin Maslamah. Beliau dilahirkan pada tahun 41 hijrah manakala Habib bin Maslamah pula telah wafat pada tahun 42 hijrah. Dengan sebab itu, Al-Albaniy menilainya dha’if.

Perkara ini seolah-olah dipersetujui oleh Az-Zahabi juga kerana beliau tidak menyatakan komentar (pengesahan kesahihan hadis) beliau untuk hadis ini dalam semakan beliau terhadap karya Al-Hakim.


¹Al-Mu’jam Al-Kabir, Bab Al-Haa’, Habib bin Maslamah Al-Fihriy, jilid 4, halaman 21, nombor 3536.

² Al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Kitab Ma’rifat al-Sahabat Radhi Allah ‘Anhum, Bab Zikr Manaqib Habib bin Maslamah Al-Fihriy Radhi Allah ‘Anhu, jilid 3, halaman 390, nombor 5478.

³ Silsilah Al-Ahadith Al-Da’ifah, jilid 12, halaman 940, nombor 5968.