Sesiapa yang solatnya tidak mencegah daripada perbuatan keji

 مَنْ لَمْ تَنْهَهُ صَلَاتُهُ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ لَمْ يَزْدَدْ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا 

Dikatakan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Sesiapa yang solatnya tidak mencegah daripada perbuatan keji dan dia tidak akan bertambah dekat dengan Allah melainkan semakin jauh daripada Nya”.

 

DARJAT HADIS

Hadis ini Dhaif (lemah). Walaupun hadis ini sangat masyhur dan sering didengari namun sanad dan matannya tidak sahih.

 

KITAB YANG MERIWAYATKAN HADIS INI :

  • Imam Al-Thabarani di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir
  • Imam Al Qudhai di dalam Musnad Syihab
  • Imam Ibn Abi Hatim di dalam Al-’Ilal
  • Imam Al-Zahabi di dalam Kitab Mizan al-I’idal jilid 3, ms 293
  • Imam al-Iraqi Kitab Takhrij al-Ihya’ jilid 1, ms 143
  • Sheikh Al-Albani di dalam Kitab al-Silsilah al-Dhaifah jilid 2, ms 985

 

KETERANGAN ULAMA HADIS:

  • Imam Al-Zahabi berkata: “Ibn Junaid  berkata: Dusta dan bohong”
  • Imam Al-Hafiz Al-‘Iraqi berkata: “Sanad hadis ini lemah.”
  • Sheikh Al-Albani berkata: “Hadis ini bathil, tidak dapat diterima daripada sudut sanadnya dan juga daripada sudut matannya.”
  • Ibnu Abi Hatim berkata, “aku bertanya kepada Ali bin Husain bin Junaid Al-Maliki tentang hadis ini lalu beliau menjawab: “Hadis ini dusta””
  • Sheikh Islam Ibnu Taimiyah: “Hadis ini tidak sahih daripada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam, akan tetapi solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar sebagaimana yang Allah firmankan di dalam Al-Quran. Namun secara umum, solat tidak akan menjauhkan pelakunya akan tetapi seorang yang solat lebih baik daripada mereka yang tidak solat dan lebih dekat kepada Allah walaupun dia masih fasiq (masih melakukan  dosa)(Silsilah Al-Ahadis Al-Dhaifah Juzuk 1, ms-59).

Hadis ini dhaif sedangkan yang benar adalah ia merupakan athar (perkataan) mauquf (terhenti) daripada  sahabat radiallahu ‘anhum  yang bernama Abdullah bin Mas’ud seperti diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab al-Zuhd dan bukan Marfu’ (diangkat) kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Kita perlu membezakan hadis sama ada ia merupakan ucapan sahabat radiallahu ‘anhum  ataupun ucapan sebenar Baginda. Ini kerana ia akan membawa implikasi hukum yang berbeza.

Apakah perbezaan antara fahsya’ dan munkar?

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyatakan: Fahsya’ dikhususkan kepada perbuatan zina seperti pendapat yang dinukilkan daripada Abdullah bin Abbas. Munkar pula lebih luas maksudnya daripada fahsya’. Munkar bermaksud segala perbuatan yang diingkari Syara terkandung di dalamnya segala maksiat, dosa dan Noda (Jami’ Ahkam Al-Quran, tafsir al-Qurtubi).

SUMBER

100 HADIS DHAIF DAN PALSU Yang tersebar dalam kalangan pendakwah dan masyarakat oleh AL-’ALLAMAH Al-SHEIKH ABU THARIQ AYSH IHSAN AL-’UTAIBY Terjemahan Mustafar bin Mohd Suki