Sesiapa yang menanam pokok pada hari Rabu

Teks Bahasa Arab

من غرس غرسا يوم الأربعاء فقال سبحان الباعث الوارث اتته بأكلها

Teks Bahasa Melayu

Sesiapa yang menanam pokok pada hari Rabu dan mengucapkan: Subhanallah al-Baith al-Warith maka pokok itu akan memberikannya hasil.

Sumber

Kajian Dr Rozaimi

Status

Palsu

Ulasan Pengkaji Hadis

i. Komentar Terhadap Perawi
Hadis ini terdapat perawi bernama al-Abbas bin Bakkar. Berikut  komentar ulama hadis terhadap beliau:

1. Kata Abu Hatim: Syeikh (ia lafaz yang menunjukkan bahawa riwayatnya bukan hujjah sepertimana kata al-Zahabi) (Lihat: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 6, hlm. 216, al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 2, hlm. 385)
2. Kata al-Daraqutni: Pendusta (al-Daraqutni, al-Dhu’afa’ wa al-Matrukun, hlm. 19)
3. Kata Ibn Adiyy: Munkar al-Hadith (perawi hadis munkar) (Lihat: Ibn Adiyy, al-Kamil, jld. 5, hlm. 5)
4. Kata al-‘Uqaili: Kebiasaan pada hadisnya wahm (silap) dan munkar. (lihat: al-‘Uqaili, al-Dhu’afa’, jld. 3, hlm. 363)
5. Kata Abu Nuaim: perawi hadis-hadis munkar, tiada nilai. (Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 2, hlm. 382)
6. Kata Ibn Hibban: Tidak halal berhujah dengan hadisnya sama sekali dan kitab boleh menulis hadisnya kecuali untuk al-I’tibar bagi orang khusus (berilmu). (Lihat: Ibn Hibban, al-Majruhin, jld. 2, hlm. 121)

Walaupun Ibn Hibban memasukkannya beliau dalam kitabnya al-Tsiqat ia tetap dianggap terlalu daif kerana alasan berikut:
1. Ibn Hibban tetap mengkritiknya dalam kitabnya al-Majruhin.
2. Penuntut ilmu hadis tahu bahawa Ibn Hibban agak bermudah-mudah dalam menilai perawi sebagai tsiqah (terpercaya) dalam kitab al-Tsiqatnya.

ii. Komentar Terhadap Hadis
Beberapa ulama hadis telah mengisyaratkan hadis ini palsu dengan meletakkan hadis ini dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadis-hadis palsu. Antara ulama tersebut ialah al-Fatani dalam Kitabnya Tazkirat al-Maudhuat (hlm. 58) dan Ibn Iraq al-Kinani dalam kitabnya Tanzih al-Syariah (jld. 2, hlm. 335). Maka ia petanda kuat bahawa hadis ini palsu. Jika tidak palsu pun, ia dihukum terlalu daif. Wallahua’lam.

Rujukan

Tazkirat al-Maudhuat oleh al-Fatani (hlm. 58)

Tanzih al-Syariah oleh Ibn Iraq al-Kinani (jld. 2, hlm. 335)

Al-Jarh wa al-Taadil (jld. 6, hlm. 216)

Mizan al-I’tidal (jld. 2, hlm. 385), (jld. 2, hlm. 382)

Al-Dhu’afa’ wa al-Matrukun (hlm. 19)

Al-Kamil (jld. 5, hlm. 5)

Al-Dhu’afa’ (jld. 3, hlm. 363)

Al-Majruhin (jld. 2, hlm. 121)