Seseorang lelaki yang berkata dengan perkataan supaya rakannya ketawa maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun

TEKS BAHASA ARAB

 –

TEKS BAHASA MALAYSIA

Seseorang lelaki yang berkata dengan perkataan supaya rakannya ketawa maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun

STATUS

Tidak ditemui di dalam kitab-kitab hadis yang muktamad

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Berikut adalah hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Tim Semakhadis berdasarkan soalan yang ditanya,

Soalan:

Seseorang lelaki berkata dengan perkataan supaya rakannya tertawa maka
dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun

Jawapan:

Hadis dengan lafaz sedemikian tidak ditemui di dalam kitab-kitab hadis yang muktamad. Namun begitu terdapat hadis daripada Abu Hurairah dari Nabi Sallallahualaihiwasallam bermaksud:

Sesungguhnya (hukuman) bagi mereka yang mengeluarkan satu perkataan dalam keadaan dia tidak sedar akibat buruknya, maka dia akan dihumban ke dalam api neraka selama 70 tahun

(Riwayat Ahmad (no 355), Tirmizi (no 2315), Ibn Majah (no 3971) dengan sanad yang sahih.

Adapun hukuman bagi mereka yang berkata-kata untuk menyebabkan orang lain tertawa, maka di sana ada sebuah hadis daripada Abu hurairah dari Nabi Sallalhualaihisalam bermaksud:

Sesungguhnya mereka yang berkata-kata untuk menyebabkan orang lain tertawa dengan kata-kata yang tidak berfaedah, maka dia akan dihumban sejauhnya ke dasar neraka seperti jauhnya jarak langit dan bumi. Dan sesungguhnya ketergelinciran lidahnya dalam mengeluarkan perkataan itu lebih memberi mudharat dari ketergelinciran kakinya. (Diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi di dalam Syu’ab al-Iman (no 4492), Ibn Mubarak di dalam kitab al-Zuhd (no 685), dengan sanad yang dhaif kerana padanya Yahya ibn Ubaidillah al-Tamimi. Imam Ahmad menghukumnya dengan berkata: Hadis-hadis nya terdapat kemungkaran (rujuk: al-Ilal oleh Ibn Abi hatim, 2/34).

Namun begitu, riwayat ini terdapat asalnya di dalam Sahih bukhary (no 6477) dan Muslim (no 2988) dari Abu hurairah dengan lafaz: Sesungguhnya seseorang yang mengeluarkan suatu perkataan dalam keadaan dia tidak jelas akan akibatnya, maka dia akan tergelincir ke dalam api neraka sejauh jarak diantara timur dan barat.

Malah andai di dalam kata-katanya yang menyebabkan orang tertawa itu terdapat dusta dan bohong, maka dia akan mendapat laknat dari RasulNya seperti yang disebut di dalam hadis riwayat Bahz ibn hakim dari ayahnya dari datuknya, dari Nabi Sallallahualaihiwasallam bermaksud:

Celakalah  mereka yang mengeluarkan perkataan, lalu berdusta untuk menyebabkan orang lain tertawa. Celakalah dia dan celakalah dia (riwayat Ahmad (20270), Abu Daud (4969),al-Nasaie (11061), Tirmizi (2315) dan beliau menghasankannya.

 

RUJUKAN

MAKLUMAN

Info ini adalah satu dari hasil penyelidikan yang dibiayai oleh Tabung Pembangunan Koleksi Semakhadis.com. Moga Allah membalasi ganjaran kebaikan kepada para penderma.