Semua sebab dan nasab terputus pada hari kiamat, kecuali sebab dan nasabku

TEKS BAHASA ARAB

كل سبب ونسب منقطع يوم القيامة، إلا سببي ونسبي

TEKS BAHASA MALAYSIA

Semua sebab dan nasab terputus pada hari kiamat, kecuali sebab dan nasabku

STATUS

Lemah (ضعيف)

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Berikut adalah soalan yang diterima oleh Tim Semakhadis.com. Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan jawapannya,

Soalan:

Tolong checkkan status hadis2 dibawah. Alf syukr

1) “Semua sebab dan nasab terputus pada hari kiamat, kecuali sebab
dan nasabku.” (HR. At tobroni)

Jawapan:

Hadis ini diriwayatkan dengan lafaz: Setiap nasab dan keturunan akan terputus pada hari kiamat kecuali nasab dan keturunanku. Ia telah diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (3/129) dari hadis Ibn Abbas, al-Hakim di dalam al-Mustadrak (3/142), al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra dari hadis Umar al-Khattab, Ahmad di dalam Musnadnya dari hadis al-Miswar ibn Makhramah (31/207), dan hadis Abu Saied al-Khudri (17/220).

Melihat kepada jalur yang pelbagai, para Ulama hadis berselisih pendapat dalam menentukan status hadis ini. Ada di kalangan mereka yang mensahihkannya berserta syawahid, antaranya Ibn al-Mulaqqin (Lihat: al-Badr al-Munir 7/487), al-Albani (Lihat: Sahih al-Jami’ no: 4527, al-Silsilah al-Sahihah, no: 2036)

Selain itu, ada pendapat yang mengatakan hadis ini berstatus dhaif, antaranya al-Daruqutni (Lihat: al-‘Ilal, 2/190), selain matannya yang terkandung pertentangan dengan al-Quran dan hadis sahih yang lain (Lihat: Majmuk al-Fatawa 27/435). Ini kerana banyak nas-nas yang membuktikan bahawa apa yang memberikan manfaat kepada manusia di akhirat nanti adalah amalan ketaatan mereka kepada perintah Allah dan RasulNya. Adapun keturunan dan nasab tidak membawa apa-apa makna andai seseorang itu tidak menjadi hamba yang taat dan patuh. Antaranya penafian Allah terhadap syafaat anak Nabi Nuh kerana keingkarannya untuk menuruti dakwah bapanya. Selain itu, Allah berfirman: Apabila telah ditiup sangkakala, maka tiada lagi (manfatat) nasab di antara kamu ketika itu, dan tidak mereka saling meminta-minta pertolongan (Al-Mukminun:101). Adapun hadis nabi antaranya sabda Rasulullah: Sesiapa yang lambat amalannya, maka nasabnya tidak akan mempercepatkannya(Sahih Muslim no: 2699).  Nabi juga mengingatkan di dalam sebuah hadis dari Amru ibn al-As bahawa Baginda bersabda: Sesungguhnya keluarga Abu Talib bukanlah auliya’ ku. Akan tetapi Auliya’ku adalah adalah dan orang orang-orang mukmin yang salih (Sahih Bukhari, 5/2233, Sahih Muslim 1/197) .

RUJUKAN

  • Mu’jam al-Kabir (3/129)
  • Aḥmad bin al-Ḥusayn al-Bayhaqī. (2003). Al-Sunan al-Kubrā. (Muḥammad ‘Abd al-Qādir ‘Aṭā, Ed.) (3rd ed.). Bayrūt: Dār Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah.
  • Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī. (1996). Silsilah al-Aḥādīth al-Ṣaḥīḥah wa Shay’ min Fiqhihā wa fawā’idihā. Riyāḍ: Maktabah al-Ma‘ārif.
  • al-Mustadrak (3/142)
  • al-Sunan al-Kubra (31/207) & (17/220)
  • al-Badr al-Munir (7/487)
  • Sahih al-Jami’ no: 4527
  • al-‘Ilal al-Daruqutni (2/190)
  • Majmuk al-Fatawa (27/435)
  • Sahih Muslim (1/197)
  • Sahih Bukhari (5/2233)

MAKLUMAN

Penyelidikan ini telah biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin! Lihat Projek Semak Hadis untuk himpunan soal jawab status hadis.