Sekali solat dengan bersugi lebih baik daripada bersolat 70 kali solat tanpa bersugi

Teks Bahasa Arab

صَلاَةٌ بِسِوَاكٍ أَفْضَلُ مِنْ سَبْعِيْنَ صَلاَةً بِغَيْرِ سِوَاكٍ

Teks Bahasa Malaysia

“Sekali solat dengan bersugi lebih baik daripada bersolat 70 kali solat tanpa bersugi.”

 

Status
  • Ḍa’if (lemah)

 

Komentar Ulama/Pengkaji Hadis

Komentar Ibn al-Qayyim dalam Al-Manar Al-Munif

فَهَذَا الْحَدِيثُ قَدْ رُوِيَ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ حَدِيثٌ لَمْ يَرِدْ فِي الصَّحِيحَيْنِ وَلا فِي الْكُتُبِ السِّتَّةِ وَلَكِنْ رَوَاهُ الإِمَامُ أَحْمَدُ وَابْنُ خُزَيْمَةَ وَالْحَاكِمُ فِي صَحِيحِهِمَا وَالْبَزَّارُ فِي مُسْنَدِهِ وَقَالَ الْبَيْهَقِيُّ: “إِسْنَادُهُ غَيْرُ قَوِيٍّ”.

Hadis ini diriwayatkan daripada Aisyah[i] daripada Nabi SAW. Ia adalah hadis yang tidak diriwayatkan di dalam al-Sahihain[ii] dan juga al-Kutub as-Sittah[iii]. Tetapi ia dirwayatkan oleh Imam Ahmad[iv], Ibnu Khuzaimah[v] dan al-Hakim[vi] di dalam kitab sahih mereka dan al-Bazzar[vii] di dalam Musnadnya[viii] . Imam al-Baihaqi menyatakan, “Isnadnya tidak kuat.”[ix]

 

وَذَلِكَ أَنَّ مَدَارَهُ عَلَى مُحَمَّدِ بْنِ إِسْحَاقَ عَنِ الزُّهْرِيِّ وَلَمْ يُصَرِّحِ ابْنُ إِسْحَاقَ بِسَمَاعِهِ مِنْهُ بَلْ قَالَ ذَكَرَ الزُّهْرِيُّ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “تُفَضَّلُ الصَّلاةُ الَّتِي يُسْتَاكُ لَهَا عَلَى الصَّلاةِ الَّتِي لا يُسْتَاكُ لَهَا سَبْعِينَ ضِعْفًا”

Ini kerana, ia hanya berkisar sekitar Muhammad bin Ishaq daripada az-Zuhri dan beliau tidak menjelaskan (bukti beliau) mendengar daripadanya, bahkan katanya: “-ذكر الزهري – Az-Zuhri menyebut, daripada ‘Urwah daripada Aisyah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Diutamakan solat dengan bersugi ke atas solat tanpa bersugi dengan 70 kali ganda.”

 

هَكَذَا رَوَاهُ الإِمَامُ أَحْمَدُ وابن خُزَيْمَةَ فِي صَحِيحِهِ إِلا أَنَّهُ قال: “إن صح الخبر” قَالَ: “وَإِنَّمَا اسْتَثْنَيْتُ صِحَّةَ هَذَا الْخَبَرِ لأَنِّي خَائِفٌ أَنْ يَكُونَ مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ لَمْ يَسْمَعِ الْحَدِيثَ مِنَ الزُّهْرِيِّ وَإِنَّمَا دَلَسَهُ عَنْهُ

Inilah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Khuzaimah di dalam kitab mereka dan beliau menyatakan: “Sekiranya Khabar ini adalah benar.” Beliau berkata: “Aku mengecualikan kesahihan khabar ini kerana aku takut Muhammad bin Ishaq tidak mendengar hadis daripada az-Zuhri, tetapi dia telah mentadliskan[x] sesuatu daripada az-Zuhri.”

وَقَدْ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَحْمَدَ قَالَ أَبِي: “إِذَا قَالَ ابْنُ إِسْحَاقَ وَذَكَرَ فُلانٌ فَلَمْ يَسْمَعْهُ”

Abdullah bin Ahmad berkata: Ayahku berkata: “Sekiranya Ibn Ishak menyatakan – ذكر فلان – fulan telah menyatakan, maka dia tidak mendengar daripadanya.”

وَقَدْ أَخْرَجَهُ الحاكم فِي صَحِيحِهِ وَقَالَ: “هُوَ صَحِيحٌ عَلَى شَرْطِ مُسْلِمٍ”

Al-Hakim telah merekodkan hadis ini di dalam kitab sahihnya dan menyatakan: “Ianya sahih menurut syarat Imam Muslim.”[xi]

وَلَمْ يَصْنَعِ الْحَاكِمُ شَيْئًا فَإِنَّ مُسْلِمًا لَمْ يَرْوِ فِي كِتَابِهِ بِهَذَا الإِسْنَادِ حَدِيثًا وَاحِدًا وَلا احْتَجَّ بِابْنِ إِسْحَاقَ وَإِنَّمَا أَخْرَجَ لَهُ فِي الْمُتَابَعَاتِ وَالشَّوَاهِدِ

Al-Hakim tidak meneliti hadis ini. Sesungguhnya Imam Muslim tidak meriwayatkan di dalam kitabnya dengan isnad hadis yang seperti itu walaupun satu hadis serta beliau tidak berhujah dengan riwayat Ibnu Ishaq. Bahkan beliau hanya merekodkan sanad tersebut dalam isu al-Mutaba’at dan asy-Syawahid.

 وَإِمَّا أَنْ يَكُونَ ذِكْرُ ابْنِ إِسْحَاقَ عَنِ الزُّهْرِيِّ مِنْ شَرْطِ مُسْلِمٍ فَلا

Adapun (dakwaan) penyataan, “Ibnu Ishaq mengambil hadis daripada az-Zuhri telah menurut syarat Imam Muslim”, ia (sebenarnya) tidak (mengikut syarat Muslim).

وَهَذَا وَأَمْثَالُهُ هُوَ الَّذِي شَانَ كِتَابَهُ وَوَضَعَهُ وَجَعَلَ تَصْحِيحَهُ دُونَ تَحْسِينِ غَيْرِهِ.

Contoh pernyataan ini dan yang seumpamanya adalah kecacatan yang terdapat di dalam kitabnya (iaitu, al-Mustadrak) dan apa yang diletakkan oleh penulisnya. Dia menjadikan hadisnya sahih sedangkan tidak dilihat elok oleh orang lain.[xii]

قَالَ الْبَيْهَقِيُّ: “هَذَا الْحَدِيثُ أَحَدُ مَا يَخَافُ أَنْ يَكُونَ مِنْ تَدْلِيسَاتِ مُحَمَّدِ بْنِ إِسْحَاقَ وَأَنَّهُ لَمْ يَسْمَعْهُ مِنَ الزُّهْرِيِّ

Al-Baihaqi berkata: Hadis ini adalah salah satu yang dikhuatiri ada tadlis Muhammad bin Ishaq kerana beliau tidak mendengar daripada az-Zuhri.”[xiii]

وَرَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ مِنْ طَرِيقِ مُعَاوِيَةَ بْنِ يَحْيَى الصَّدَفِيِّ عَنِ الزُّهْرِيِّ وَمُعَاوِيَةُ هَذَا لَيْسَ بِقَوِيٍّ”

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada jalur Mu’awiyah bin Yahya al-Sadafi daripada az-Zuhri. Tetapi Mu’awiyah tidak kuat untuk diambil hadisnya.

وَقَالَ فِي شِعَبِ الإِيمَانِ: “تَفَرَّدَ بِهِ مُعَاوِيَةُ بْنُ يَحْيَى وَيُقَالُ إِنَّ ابْنَ إِسْحَاقَ أَخَذَهُ مِنْهُ”

Beliau berkata di dalam kitab Syu’abul Iman: “Mu’awiyah bin Yahya bersendirian dalam hal ini (tiada perawi lain yang thiqah yang meriwayatkan hadis ini bersamanya) dan katanya: ‘Sesungguhnya Ibnu Ishak mengambil hadis ini daripadanya.’”

قَالَ: “وَيَرْوِي نَحْوَهُ عَنْ عُرْوَةَ وَعَنْ عَمْرَةَ عَنْ عَائِشَةَ وَكِلاهُمَا ضَعِيفٌ”.

Beliau berkata lagi: “Diriwayatkan juga seumpamanya daripada ‘Urwah, daripada ‘Amrah, daripada ‘Aisyah; dan kedua-duanya lemah”.

وَرَوَاهُ مِنْ حَدِيثِ الْوَاقِدِيِّ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي يَحْيَى الأَسْلَمِيُّ عَنْ أَبِي الأَسْوَدِ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ رضي الله تعالى عَنْهَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الرَّكْعَتَانِ بَعْدَ السِّوَاكِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً قَبْلَ السِّوَاكِ”

Dan diriwayatkan dari hadis al-Waqidi, dia berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Abi Yahya al-Aslami dari Abi al-Aswad dari ‘Urwah dari ‘Aisyah radhiallahu ta’ala ‘anha daripada Nabi SAW bersabda: “Dua rakaat (solat) selepas bersugi lebih disukai Allah daripada 70 rakaat sebelum bersugi.’”

وَلَكِنَّ الْوَاقِدِيَّ لا يُحْتَجُّ بِهِ.

Walau bagaimana pun, al-Waqidi[xiv] tidak boleh dijadikan hujah.

وَرَوَاهُ مِنْ حَدِيثِ حَمَّادِ بْنِ قِيرَاطٍ قال حدثنا خراج بْنُ فَضَالَةَ عَنْ عُرْوَةَ بْنِ رُوَيْمٍ عَنْ عَمْرَةَ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “صَلاةٌ بِسِوَاكٍ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ صلاة بغير سواك “

Beliau meriwayatkan daripada hadis Hammad bin Qirat, telah menceritakan kepada kami Faraj bin Fadhalah, daripada ‘Urwah bin Ruwaim, daripada ‘Amrah, daripada ‘Aisyah, daripada Nabi SAW bersabda: “Solat dengan bersugi lebih baik, daripada 70 kali solat tanpa bersugi.”

وَهَذَا الإِسْنَادُ غَيْرُ قَوِيٍّ.

Isnadnya tidak kuat.

فَهَذَا حَالُ هَذَا الْحَدِيثِ وَإِنْ ثَبَتَ فَلَهُ وَجْهٌ حَسَنٌ وَهُوَ أَنَّ الصَّلاةَ بِالسِّوَاكِ سُنَّهٌ وَالسِّوَاكُ مَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ.

Maka, inilah keadaan hadis ini (lemah). Sekiranya hadis ini sabit, ia mempunyai bentuk Hasan. Iaitu solat dengan bersugi itu sunnah, dan sugi itu disukai di sisi Tuhan.


[i] Aisyah binti Abu Bakar at-Taimiyah, isteri Nabi SAW yang ketiga dalam satu-satunya isteri Nabi SAW yang masih anak dara ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW. Beliau berkahwin pada tahun kedua hijrah selepas peperangan Badar al-Kubra dan wafat pada tahun 58H.

[ii] As-Sahihain ialah kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

[iii] Al-Kutub as-Sittah ialah 6 buah kitab hadis utama iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan an-Nasa’I, Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmizi dan Sunan Ibnu Majah.

[iv] Nama beliau Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbali asy-Syaibani az-Zuhili lahir pada 164H dan meninggal pada 241H. Beliau adalah guru kepada Imam asy-Syafi’i dalam bidang hadis, dan menjadi murid asy-Syafi’i dalam bidang fikah. Asy-Syafi’i berkata: “Aku telah keluar daripada Baghdad dan tidak aku tinggalkan disana seorang yang lebih warak, bertakwa dan lebih pakar (faqih) berbanding Ahmad bin Hanbal.” Antara kitab hadis beliau yang terkenal ialah Musnad Ahmad yang mengandungi lebih 30,000 hadis Nabi SAW.

[v] Beliau ialah Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah bin al-Mughirah asy-Syafi’i. Lahir pada 223H di Naisabur dan meninggal pada 311H di negeri yang sama. Kitab hadis milik beliau yang tersohor ialah Sahih Ibnu Khuzaimah. Ibnu Hibban memuji Ibnu Khuzaimah dengan berkata: “Aku tidak pernah melihat di atas muka bumi ini orang yang lebih baik dalam menyusun sunan (hadis) serta menjaga lafaz-lafaznya antara yang sahih dan tambahan, sehingga menjadi seolah-olah semuanya itu berada di antara kedua-dua matanya, melainkan Muhammad bin Ishaq”.

[vi] Nama beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah al-Hakim an-Naisaburi. Beliau adalah salah seorang daripada ulama hadis yang terkenal dengan kitab al-Mustadrak. Beliau dinamakan al-Hakim kerana sering diberi jawatan hakim kerana kebijaksanaan dan kecerdasan akal fikirannya. Beliau meninggal pada tahun 405H. Para ulama hadis sering memuji al-Hakim tetapi mereka tidak pula lupa memperingatkan sepertimana yang dikatakan oleh Imam an-Nawawi, “Al-Hakim adalah seorang yang bermudah-mudah (dalam mensahihkan sesuatu hadis) sepertimana yang aku sering ingatkan.” Justeru itu, para ulama sentiasa menasihati supaya mengambil kesimpulan hadis dalam al-Mustadrak setelah dilihat ulasan daripada Imam az-Zahabi dan ulama-ulama hadis lain.

[vii] Nama beliau ialah Abu Bakar Ahmad bin Amru bin Abdullah al-Khaliq al-Bazzar. Seorang ulama hadis yang meninggal pada tahun 292H dan terkenal dengan kitab Musnad al-Bazzar.

[viii] Hadis tersebut terdapat dalam rekod berikut: Ahmad dalam Musnad. 6/272, Ibnu Khuzaimah 1/38, al-Bazzar dalam Musnad: 502.

[ix] Disebutkan di dalam Sunan al-Kubra: 1/38.

[x] Tadlis atau Mudallis ialah istilah hadis yang menunjukka seseorang yang meriwayatkan sesuatu hadis yang dia tidak pernah berjumpa dengan perawinya. Ia adalah salah satu daripada kategori hadis dhoif.

[xi] Rujuk al-Mustadrak: 1/146.

[xii] Rujuk lebih lanjut tentang kritikan terhadap kitab al-Mustadrak oleh Ibnu Solah di dalam kitab Ulum al-Hadis (ms 21-22)

[xiii] Rujuk Sunan Kubra oleh al-Baihaqi: 1/38.

[xiv] Al-Waqidi ialah Muhamad bin Umar bin al-Waqidi al-Aslami, meninggal pada tahun 207H. Beliau ialah matruk (tidak diambil periwayatannya kerana dibimbangi palsu) dalam bidang hadis. Imam al-Bukhari mengulas berkaitan al-Waqidi, katanya: “Aku tidak berhajat kepada al-Waqidi walaupun satu huruf. Apabila aku mendengar hadis daripadanya, maka aku tidak berasa tenang.” Imam an-Nasa’i berkata: “Orang yang popular memalsukan hadis atas nama Rasulullah SAW ada empat orang; Ibnu Abi Yahya di Madinah, al-Waqidi di Baghdad, Muqatil bin Sulaiman di Khurasan, dan Muhammad bin Sa’id di Syam.” Rujuk penjelasan ini di dalam Taqrib at-Tahzib pada muka surat 882.

 Rujukan
  • Muḥammad bin Abī Bakr, Ibn Qayyim al-Jawziyyah. 1390H. Al-Manār Al-Munīf fī al-Ṣahīh wa al-Ḍa‘īf tahqīq. ‘Abd al-Fattāḥ Abu Ghuddah. Halab: Maktabah al-Maṭbū‘āt al-Islāmiyyah, hal. 19-23.
  • Ibnu Qayyim al-Jauziyah. 2015. Kenali Hadis Sahih Dhoif Palsu. (Terjemahan al-Manār al-Munīf fi al-Ṣahīh wa al-Ḍa’īf) ed. Solehah Abu Bakar. Selangor: Kemilau Publika, hal. 1-17.
Makluman

Maklumat ini merupakan hasil dari tajaan seorang penaja yang menaja Projek Al-Manar Al-Munif yang dijalankan oleh Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja tersebut dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!