Puasa Khusus Nisfu Sya’ban

Teks Arab :

إذا كانت ليلة النصف من شعبان فقوموا ليلها وصوموا نهارها

Teks BM :

Apabila datangnya malam Nisfu Syaaban maka hidupkanlah malamnya dan puasalah pada siang harinya…

Status :

Palsu

Sumber :

Kajian Dr Rozaimi

Ulasan Pengkaji Hadis :

Justeru orang ramai mula bertanya saya tentang statusnya kerana ia dibaca oleh seorang yang bergelar syeikh. Sebelum saya jawab status hadis ini, saya ingin tegaskan beberapa perkara:

1. Perbincangan ini adalah perbincangan ilmiah. Seeloknya ia tidak didasari dengan emosi dan kebencian. Bahkan ia mesti didasari dengan sikap homat dan kasih sayang kerana masing-masing mencari kebenaran.

2. Saya tidak akan membincangkan soal kelebihan malam Nisfu Syaaban kerana ada hadis lain yang menghuraikan kelebihan malam tersebut. Saya hanya ingin fokus kepada riwayat ini sahaja. Adakah ia sahih dari mulut baginda Nabi sallallah alaih wasallam?

3. Setiap anggapan bahawa artikel ini menghalang orang beribadat mestilah dijauhi kerana saya hanya ingin membincangkan status hadis sahaja.

4. Saya akan menghuraikan status hadis berdasarkan fakta yang dibawa oleh ulama hadis.

Baiklah, sekarang saya akan nyatakan status hadis ini. Hadis ini adalah hadis riwayat Ibn Majah dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman. Hadis ini PALSU. Ini kerana dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Abu Bakar bin Abdullah bin Abi Sabrah.

Berikut adalah komentar ulama Jarh wa Taadil terhadap kredibiliti beliau:

1. Ahmad bin Hanbal: Pemalsu hadis dan pendusta. Hadisnya tiada nilai.

2. Kata Ibn al-Madini: Daif, perawi hadis munkar (Munkar al-Hadith)

3. Kata al-Bukhari: Daif, perawi hadis munkar (Munkar al-Hadith)

4. Kata Ibn Maien: Pemalsu Hadis

5. Kata al-Nasaie: Matruk (perawi yang ditinggalkan riwayatnya)

6. Kata Ibn Hibban: Beliau meriwayatkan hadis palsu (dan menyandarkannya kepada perawi tsiqah), tidak halal meriwayatkan darinya dan berhujah dengannya sama sekali.

7. Kata Ibn ‘Adiyy: Beliau antara pemalsu hadis.

Rujukan :

  1. al-Nasaie, al-Dhuafa’ wa al-Matrukin, hlm. 114,
  2. Ibn Hibban, al-Majruhin, jld. 2, hlm. 407,
  3. Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa Taadil, jld. 7, hlm. 306,
  4. al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, jld. 14, hlm. 370-371,
  5. Ibn ‘Adiyy, al-Kamil fi al-Dhu’afa’, jld. 7, hlm. 297,
  6. al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 4, hlm. 503-504,
  7. Ibn Hajar al-‘Asqalani, Tahzib al-Tahzib, no. perawi: 138