Perumpamaan Ahl al-Baytku seumpama bahtera Nabi Nuh

Teks Bahasa Arab

سَمِعْتُ أَبَا ذَرٍّ، يَقُولُ: وَهُوَ آخِذٌ بِبَابِ الْكَعْبَةِ: أَيُّهَا النَّاسُ، مَنْ عَرَفَنِي فَأَنَا مَنْ عَرَفْتُمْ، وَمَنْ أَنْكَرَنِي فَأَنَا أَبُو ذَرٍّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَثَلُ أَهْلِ بَيْتِي مَثَلُ سَفِينَةِ نُوحٍ مَنْ رَكِبَهَا نَجَا، وَمَنْ تَخَلَّفَ عَنْهَا غَرِقَ

Teks Bahasa Melayu

“Wahai sekalian umat manusia, barangsiapa yang mengenali aku, sungguh aku adalah orang yang kalian kenal dan barangsiapa yang mengingkari aku, ingatlah aku adalah Abu Dzar. Aku telah mendengar Baginda Nabi SAW bersabda: Perumpamaan Ahl al-Baytku seumpama bahtera Nabi Nuh AS. Barangsiapa yang menaikinya, dia akan selamat dan barangsiapa meninggalkannya ia akan tenggelam.”

Sumber

Silsilah al-Ahadis al-Dho’ifah wa al-Maudhu’ah (4503)

Perawi

Abu Zar

Status

Dhoif (Lemah)

Takhrij

Hadis ini telah diriwayatkan oleh:

Al-Hakim di dalam al-Mustadrak (3312) & (4720). Al-Zahabi di dalam Talkhis mengatakan bahawa salah seorang perawi bagi hadis ini Mufaddhal bin Soleh lemah.

Al-Imam al-Bazzar di dalam Musnadnya (5142) dan berkata bahawa hadis ini tidak kami ketahui seorangpun yang meriwayatkannya melainkan Al-Hasan bin Abi Ja’far dan Al-Hasan bukanlah seorang yang kuat (di dalam ilmu hadis) dan kebanyakan ahli ilmu memperkatakan tentangnya.

Al-Imam al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (2636), (2638) & (12388). Di dalam Mu’jam al-Awsat (5536) & (5870).

Ulasan Syeikh Nasiruddin al-Albani

Syeikh Nasiruddin al-Albani Rahimahullah di dalam Silsilah al-Ahadis al-Dho’ifah wa al-Maudhu’ah (4503) menghukumkan hadis ini sebagai Dhoif (lemah). hadis ini, selain diriwayatkan oleh Abi Dzar al-Ghifari RA terdapat juga syawahid yang lain diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, Abdullah bin al-Zubayr, Abi Sa’id al-Khudri dan Anas bin Malik R.Anhum. Meskipun terdapat jalan periwayatan yang lain, namun kesemua jalan tersebut tidak terlepas daripada kritikan yang mana kesemuanya tersangatlah lemah dan tidak mampu untuk menguatkan antara satu sama lain. Wallahu a’lam.

Pengkaji Hadis

Syeikh Nasiruddin al-Albani

Rujukan

Al-Irsyad fi al-Hadith wa Ulumihi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Siri Ke-2