Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalannya

TEKS BAHASA ARAB

نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ

TEKS BAHASA MALAYSIA

Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalannya

STATUS

Hadis Dhoif

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Berikut adalah soaljawab Irsyad Al-Hadith dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

Matan Hadith

Matan hadith yang dimaksudkan adalah:

  • Daripada Sahl bin Sa’ad bahawa Nabi SAW bersabda:

نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ

Maksudnya: “Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalannya”. [Riwayat al-Thabarani (5942) dalam al -Mu’jam al-Kabir, 185/6]

 

Jawapan :

Niat merupakan perkara yang penting kerana ia akan menentukan halatuju perbuatan kita. Ini kerana, niat tidak dapat dipisahkan daripada setiap perbuatan kita. Berdasarkan sebuah hadith yang masyhur dan sering diungkapkan:

  • Daripada Umar bin al-Khattab RA, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat”. [Riwayat al-Bukhari (1)].

Berdasarkan hadith ini, kita maklum bahawa niat merupakan perkara yang amat penting kerana ia yang akan menentukan tujuan amalan tersebut.

Definisi Niat

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. [Lihat: al-Mu’jam al-Wasith, 1021] Manakala menurut dewan bahasa dan pustaka pula, niat adalah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. [Lihat: Kemus Dewan Edisi Keempat, 1080]

Menurut Istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan:

  • Telah berkata Imam al-Nawawi:

النِّيَّةُ عَزْمُ الْقَلْبِ عَلَى عَمَلِ فَرْضٍ أَوْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Niat adalah keazaman (tekad) di dalam hati di atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya (wajib)”. [Lihat: al-Majmu’, 310/1]

  • Telah berkata Ibn Abidin:

قَصْدُ الطَّاعَةِ وَالتَّقَرُّبِ إلَى اللَّهِ تَعَالَى فِي إيجَاد الْفِعْلِ

Maksudnya: “Niat adalah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan perbuatan”. [Lihat: Rad al-Mukhtar, 105/1]

Berdasarkan definisi di atas, kami berpendapat bahawa niat adalah lintasan hati dalam ketika ingin melakukan sesuatu perkara. Antara faedah atau fungsi niat adalah:

Pertama: Membezakan ibadah daripada ibadah-ibadah yang lain. Contohnya antara puasa yang wajib dengan puasa yang sunat.

Kedua: Membezakan ibadah daripada adat. Contohnya, seseorang itu mandi dan diniatkan bahawa ia adalah mandi janabah maka mandi tersebut akan mendapat pahala. Jika seseorang itu mandi untuk menghilangkan kepanasan maka tidak akan mendapat pahala kerana mandiannya itu bukanlah berbentuk ibadah. Daripada inilah, para ulama’ mengeluarkan satu kaedah iaitu:

الأَمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara itu berdasarkan (dinilai) tujuan-tujuannya”.

Hukum Hadith

Antara pendapat ulama’ dalam menilai hadith ini adalah:

  • Imam al-Haithami berkata bahawa perawi-perawinya dipercayai melainkan Hatim bin Abbad kerana aku tidak pernah melihat sesiapa yang menyebut berkenaan biodatanya. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 61/1]
  • Imam al-Iraqi menilai hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: al-Mughni fi Haml al-Asfar, 1171/2]
  • Imam Ibn Hajar al-Asqalani juga menilai hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: Fath al-Bari, 219/4]
  • Syeikh Mulla Ali Qari mengatakan hadith ini adalah tiada asal baginya (hadith tersebut) atau pada asalnya palsu. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 375/1]

Setelah melihat penilaian serta pendapat para ulama’ di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith di atas adalah dhaif. Walaupun begitu, terdapat sebahagian ulama’ yang melihat bahawa hadith ini adalah hasan dengan syawahid yang terdapat padanya. Antara yang mengatakan sedemikian adalah Imam al-Sakhawi di dalam al-Maqasid al-Hasanah.

RUJUKAN
MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil kerja pasukan sukarelawan Semakhadis.com untuk memasukkan hasil penyelidikan hadis yang dijalankan oleh Pasukan Penyelidik, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat mereka. Aamiin! Ingin jadi sukarelawan semakhadis.com? Hubungi kami di admin@semakhadis.com