Nabi Daud terpikat dengan wanita

Teks Bahasa Melayu :

Nabi Daud a.s mahu diri baginda diuji tuhan kerana mengenangkan kisah-kisah nabi sebelumnya yang diuji tuhan. Maka Nabi Daud a.s berkata : Ya Allah, ujilah aku sepertimana mereka dan berilah aku keutamaan seperti keutamaan mereka”. Lalu Allah mewahyukan, “Engkau akan diuji, maka bersiaplah.”

Selepas itu, datanglah syaitan kepada Nabi Daud a.s dalam bentuk burung merpati yang diperbuat daripada emas. Burung itu hinggap di kaki baginda ketika baginda sedang menunaikan solat. Baginda menjulurkan tangan bagi mendapatkan burung itu, tetapi burung itu terbang. Baginda pun mengekori burung itu. Tiba-tiba baginda terlihat seorang wanita yang cantik jelita sedang mandi di dalam rumahnya. Wanita itu pun melihat baginda dan dia menjulurkan rambutnya ke seluruh badannya. Keadaan itu membuatkan Nabi Daud a.s tertarik kepada wanita itu lalu bertanya kepada wanita tersebut. Namun ternyata dia sudah mempunyai suami yang sedang berada di medan perang. Nabi Daud a.s pun mengutus panglima perang supaya mengirim Uria(suami wanita itu) bagi mengikuti perang lain yang lebih dahsyat sehingga akhirnya suami wanita itu terbunuh. Lalu Nabi Daud a.s menikahi wanita itu.

Ketika itu, Nabi Daud a.s baru tersedar yang baginda sudah melakukan kesalahan. Baginda segera sujud sambil menangis selama 40 hari dan tidak pernah bangun, kecuali untuk keperluan mendesak. Ini sehingga tanah yang terkena titisan air mata baginda ditumbuhi rumput.

Status :

Palsu

Ulasan :

Kisah ini dilaporkan oleh Yazid al-Ruqasyi yang kesemuanya palsu dan batil.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata : “Dikatakan oleh Imam al-Nasaie, al-Hakim, dan Ahmad , matruk (ditinggalkan hadisnya).”

Dalam ilmu hadis, jika Imam Nasaie berkata bahawa seseorang itu Matruk, maka ia bererti para ulama sepakat bagi meninggalkan hadisnya.

Imam Ahmad juga berkata, “Yazid orang yang hadisnya mungkar.”

(Mizan al-I’tidal 4/418, al-Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari 8/320 dan lainnya.)

Rujukan :

  1. Mizan al-I’tidal 4/418
  2. al-Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari 8/320