[Kisah Tawassul] Selama beberapa tahun hujan tidak turun pada kami …

وقال أبو علي الغساني:

Dan telah berkata Abu ‘Aliy Al-Ghassaaniy:

أخبرنا أبو الفتح نصر بن الحسن السكتي السمرقندي:

Telah mengkhabarkan kepada kami Abul-Fath Nashr bin Al-Hasan As-Sakatiy As-Samarqandiy:

قدم علينا بلنسية عام أربعة وستين وأربع مئة. قال:

“Kami datang dari negeri Valencia (Sepanyol) pada tahun 464 H”. Dia telah berkata,

قحط المطر عندنا بسمرقند في بعض الاعوام، فاستسقى الناس مرارا، فلم يسقوا.

“Selama beberapa tahun hujan tidak turun pada kami di negeri Samarqand. Orang-orang melakukan istisqaa’ (solat meminta hujan) beberapa kali, namun hujan tidak juga turun.

فأتى رجل صالح معروف بالصلاح إلى قاضي سمرقند، فقال له:

Lalu, datanglah seorang laki-laki soleh yang terkenal dengan kesolehannya kepada Qadhi negeri Samarqand. Lalu dia berkata kepada Qadhi tersebut,

إني رأيت رأيا أعرضه عليك.

“Sesungguhnya aku mempunyai satu pendapat yang hendak aku sampaikan kepadamu”.

قال: وما هو ؟

Qadhi berkata : “Apakah dia ?”.

قال: أرى أن تخرج ويخرج الناس معك إلى قبر الامام محمد بن إسماعيل البخاري، وقبره بخرتنك، ونستسقي عنده، فعسى الله أن يسقينا.

Dia berkata : “Aku berpendapat agar engkau keluar bersama orang-orang menuju kubur Al-Imaam Muhammad bin Ismaa’iil Al-Bukhaariy. Makam beliau ada di Kharantak. Lalu kita solat istisqaa’ di sisi kuburnya, semoga Allah menurunkan hujan kepada kita”.

قال: فقال القاضي: نعم ما رأيت.

Dia berkata, Lalu Qadhi menjawab : “Bagus sekali pendapatmu itu”.

فخرج القاضي والناس معه،

Maka, si Qadhi pun keluar dan diikuti oleh orang ramai bersamanya.

واستسقى القاضي بالناس، وبكى الناس عند القبر، وتشفعوا بصاحبه،

Qadhi tersebut telah solat istisqaa’ bersama orang ramai. Orang ramai telah menangis di sisi kubur dan meminta syafa’at kepada penghuni kubur (Al-Imaam Al-Bukhaariy).

فأرسل الله تعالى السماء بماء عظيم غزير، أقام الناس من أجله بخرتنك سبعة أيام أو نحوها،

Lalu, Allah ta’ala telah mengutuskan awan yang membawa hujan yang sangat lebat. Orang ramai telah tinggal di Kharantak kerananya selama lebih kurang tujuh hari.

لا يستطيع أحد الوصول إلى سمرقند من كثرة المطر وغزارته، وبين خرتنك وسمرقند نحو ثلاثة أميال.

Tiada seorang pun yang dapat pulang ke Samarqand kerana lebatnya hujan yang turun. Sedangkan jarak antara Kharantak dan Samarqand itu lebih kurang tiga mil (tiga batu)”

 

Status

Bukan Hadis

Analisa Kisah

  1. Ini adalah sebuah kisah bukanlah hadis Nabi –sal Allah ‘alaihi wa sallam-.
  2. Kisah ini diriwayatkan berlaku pada kurun ke-5, bukan pada zaman Nabi –sal Allah ‘alaihi wa sallam-, bukan pada zaman sahabat baginda dan bukan juga pada zaman tabi’in.
  3. Kisah ini telah dinukilkan oleh:
    • Al-Imam Az-Zahabiy (wafat tahun 748H) dalam kitab beliau Siyar A’lam An-Nubala’
    • Al-Imam As-Subkiy (wafat tahun 771H) dalam kitab Tabaqat beliau.
  4. Sedangkan Abu ‘Aliy Al-Ghassaaniy, iaitu Al-Husain bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghassaaniy Al-Jayyaaniy, telah wafat pada tahun 498H. Ini menunjukkan bahawa Al-Imam Az-Zahabiy dan Al-Imam As-Subkiy tidak pernah bertemu dengan beliau. Rangkaian perawi antara mereka terputus.
  5. Walau bagaimanapun jikalau rantaian perawi bersambung, ianya masih tidak dapat menjadi hujah kerana beberapa perkara berikut:
    • Ia adalah perbuatan mereka yang hidup pada zaman mutaakhkhirin (selepas zaman awal Islam). Kisah ini menunjukkan kemungkinan ia pernah berlaku pada kurun ke-5 Hijrah. Perbuatan Al-Mutaakhkhirin bukanlah sumber hukum bagi muslim. Perbuatan para tabi’in pun tidak boleh menjadi sumber hukum apatah lagi jika ia perbuatan mereka yang hidup selepas zaman mereka.
    • Jika ia adalah perbuatan seorang Alim, maka ia juga tidak boleh menjadi ikutan kerana ia bukanlah satu sumber hukum.

 

Rujukan

Shabakah Al-Difa’ ‘An Al-Sunnah: Jawaab Al-Syaikh Al-Suhaym ‘Ala Al-Shubhah