Kisah Saidatina Aisyah R.A. dengan Rasulullah SAW pada Malam Nisfu Syaaban

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Hadis al-Hajjaj bin Arta’ah daripada Yahya bin Abi Kathir daripada Urwah daripada Aisyah r.a., katanya: Suatu malam saya kehilangan Rasulullah , lantas saya keluar. Tiba-tiba baginda didapati berada di al-Baqi’. Sabda baginda: Adakah anda menyangka Allah dan Rasul-Nya akan berlaku zalim kepada anda? Saya berkata; Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya beranggapan anda mengunjungi sebahagian isteri anda yang lain. Sabda baginda: Sesungguhnya Allah menurunkan pada malam Nisfu syaaban ke langit dunia, lantas mengampunkan dosa kepada manusia melebihi bilangan bulu kambing bani Kalb.

STATUS

Lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

 1.Takhrij Hadis

Hadis di atas telah dikeluarkan oleh Ahmad (jil. 6, hlm. 238), Ibn Abi Syaibah (jil. 6, hlm. 108), at-Tirmizi (jil. 3, hlm. 116) Ibnu Majah (hadis no: 1389), al-Baihaqi dalam As-Syu’ab (jil. Hlm. 380) menerusi jalan al-Hajjaj bin Arta’ah.

2.Penilaian

Hadis di atas sebenarnya bukanlah sebuah hadis yang sahih. At-Tirmizi menyatakan (jil. 3, hlm. 117) hadis Aisyah kita tidak tahu melainkan daripada aspek ini sahaja daripada hadis al-Hajjaj dan saya mendengar Ahmad menghukum lemah hadis ini. Seterusnya beliau berkata: Yahya bin Kathir tidak pernah mendengar daripada Urwah, manakala al-Hajjaj bin Arta;ah tidak pernah mendengar daripada Yahya bin Abi Kathir.

Ibn al-Jawzi mengeluarkan dalam Al-Ilal al-Mutanahiyah (jil. 2, hlm. 556) nukilan yang beliau petik daripada Imam al-Daraqutni yang menyatakan; Hadis di atas telah diriwayatkan melalui beberapa jalan, namun isnadnya kacau dan tidak sabit.

Meskipun tidak dinafikan yang al-Hajjaj bin Arta’ah adalah perawi diriwayatkan daripada beliau oleh Imam Muslim, malah termasuk ke dalam perawi Muslim, tetapi satu hakikat yang perlu difahami kadang-kadang dalam sanad hadis ada perawi muslim, tetapi perawi tersebut tidak dijadikan hujah oleh Muslim sendiri, sebaliknya beliau mengeluarkan hadis terlibat tidak lebih sebagai istisyhad (pembuktian) atau disetai dengan perawi lain lantaran kerana kelemahan perawi itu. Menurut Imam az-Zahabi (Al-Mizan, jil. 1, hlm. 458) al-Hajjaj telah dikeluarkan oleh Muslim dengan disertakan perawi lain bersama dengannya. Di situ jelas Imam Muslim sendiri tidak berhujah dengannya, lantaran kelemahan beliau.

Ibn Hibban menyebut dalam Al-Majruhin (jil. 1, hlm. 225), al-Hajjaj telah ditinggalkan oleh Abdullah bin al-Mubarak, Yahya bin al-Qattan, Ibn al-Mahdi, Yahya bin Ma’in dan juga Ahmad bin Hanbal. Yahya bin Ma’in pernah ditanya tentang al-Hajjaj bin Arta’ah, ujar beliau: Lemah, lemah. Kata Abu Hatim: Al-Hajjaj melakukan tadlis daripada orang yang beliau bertemu dengannya dan orang yang beliau tidak bertemu dengannya.

Dalam At-Tahzib (jil. 2, hlm. 174) Ya’kub bin Syaibah mengatakan: Al-Hajjaj adalah seorang yang sangat lemah hadisnya dan dalam hadisnya banyak berlaku kacau-beliau. Pendek kata dalam hadis di atas terdapat tiga jenis penyakit iaitu kecacatan pada perawi dan Mursal tersembunyi pada dua tempat.

3.Hadis yang Lain

Hadis lain ialah hadis Sulaiman bin Abu Karimah daripada Hisyam bin Urwah daripada bapanya daripada Aisyah r.a. Kebetulan malam Nisfu Syaaban merupakan malam giliran saya dan Rasulullah SAW tidur di rumah saya. Apabila tiba tengah malam, saya kehilangan baginda. Pada waktu itu timbul rasa cemburu dalam hati saya, sebagaimana yang dialami oleh kebanyakan perempuan lain, lantas saya saya memakai kain selubung saya. Demi Allah kain selubung itu bukanlah dibuat daripada sutera, sutera kasar mahupun daripada kapas, sebaliknya dibuat daripada bulu mata. Saya mencari baginda di bilik-bilik isterinya yang lain, tetapi tidak menemuinya. Setelah itu saya kembali semula ke bilik saya, tiba-tiba saya mendapati baginda SAW bagaikan kain yang jatuh di atas tanah dalam keadaan sujud sambil menyebut dalam sujudnya: Telah sujud kepada Allah kehitaman yang khayalanku, beriman kepada Engkau hatiku, inilah tangan saya dan apa yang telah saya hasilkan terhadap diri saya, Wahai Tuhan yang Maha Besar yang menjadi harapan kepada setiap manusia yang berpangkat besar, ampunilah dosa yang besar.

Saya mengucap sebagaimana yang diucapkan oleh Daud: Saya humbankan wajah saya ke tanah untuk Tuhan saya. Berhaklah sujud untuk-Nya oleh wajahku kepada Tuhan yang menciptakannya, yang membuka pendengaran dan penglihatan kemudian mengangkat kepalanya seraya berkata; Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku hati yang bersih daripada syirik, bukan seorang yang kafir dan juga bukan seorang yang celaka. Kemudian baginda sujud lagi, dan berkata: Saya berlindung dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, saya berlindung dengan kemaafan-Mu, sebagaimana yang Engkau sendiri memuji diri-Mu. Kata Aisyah; Setelah itu baginda beredar dan masuk ke dalam selimutku dan pada masa itu nafas saya tinggi, lanatas baginda menyatakan: Nafas apa ini wahai Humaira’. Kata Aisyah: Saya memberitahu baginda SAW apa yang berlaku: Lantas baginda menyapu tangannya ke atas lutut saya dan berkata: Dua lutut ini tidak menyedari apa yang ditemuinya pada malam ini. Mala mini adalah malam Nisfu Syaaban, Allah SWT turun ke langit dunia dan mengampunkan kepada para hamba-Nya kecuali yang musyrik dan suka bertelagah.

4.Takhrij Hadis

Hadis di atas dikeluarkan oleh Ibn Jawzi dalam Al-Ilal al-Mutanahiyah (jil. 2, hlm. 577) dan al-Daraqutni dalam An-Nuzul (hadis no: 92).

5.Penilaian

Hadis di atas menurut Ibn Jawzi adalah hadis yang tidak sahih. Ibn Adi menyatakan: Hadis-hadis Sulaiman bin Abi Karimah adalah hadis-hadis mungkar. Beliau dilemahkan oleh Abu Hatim dalam Al-Jarh at-Ta’dil (4/138). Ibn Adi telah mengemukakan dalam Al-Kamil (jil. 3/262/740) dua buah hadis mungkar yang diriwayatkan oleh Sulaiman bin Karimah dan beliau mengulas antara lain Sulaiman bin Abu Karimah meriwayatkan banyak hadis mungkar. Kata al-Uqaili: Beliau meriwayatkan hadis-hadis mungkar dan banyak hadis beliau yang tidak ada sokongan.

6.Hadis yang Lain

Hadis an-Nadhr bin Kathir daripada Yahya bin Said al-Ansari daripada Urwah daripada Aisyah. Ia dikemukakan oleh Imam az-Zahabi sebagai termasuk ke dalam hadis mungkar yang diriwayatkan oleh an-Nadhr bin Kathir menerusi Aisyah r.a. Ketika malam Nisfu Syaaban, nabi keluar daripada selimut. Pada waktu itu saya bimbang kalau-kalau baginda akan mengunjungi bilik salah seorang daripada isteri baginda. Lantas saya bangun sambil mencari baginda. Di kala itu kaki saya terkena kaki beliau.

Selain daripada hadis di atas, ada lagi hadis yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Fada’il al-Awqat (hadis no: 26) menerusi jalan Sulaiman bin Abu Karimah dan di dalamnya terdapat tambahan berikut: Nabi SAW bertanya Aisyah r.a; Adakah anda tahu tentang keistimewaan yang terdapat pada malam ini? Jawab Aisyah r.a.: Apakah keistimewaan yang terdapat pada malam ini? Sabda baginda: Pada malam ini ditulis setiap bayi daripada kalangan anak cucu Adam yang bakal dilahirkan sepanjang tahun ini. Di dalamnya juga ditulis setiap orang yang bakal binasa daripada kalangan anak cucu Adam pada tahun ini. Di dalamnya dinyatakan amalan-amalan mereka diangkat dan pada amalam tersebut juga rezeki-rezeki mereka juga diturunkan. Kata Aisyah r.a.; Wahai Rasulullah, tidak ada seorang pun yang masuk syurga kecuali dengan rahmat daripada Allah? Sabda baginda; Tidak ada seorang pun yang akan memasuki syurga kecuali dengan rahmat Allah. Saya berkata: Tuan juga termasuk sama? Di kala itu baginda meletakkan tangannya di atas lambungnya, seraya berkata; Saya juga kecuali Allah telah melingkungkan saya dengan rahmat daripada sisi-Nya. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.

7.Penilaian

Hadis an-Nadhr bin Kathir di atas adalah hadis yang tidak sahih. Ibn Hibban menyebut dalam Al-Majruhin (jil. 3, hlm. 49) an-Nadhr bin Kathir meriwayatkan hadis mawduk daripada perawi yang dipercayai meskipun diriwayatnya itu sedikit sahaja, sehingga apabila didengar hadisnya oleh orang-orang yang pakar hadis, dia akan memutuskan hadis tersebut adalah mawduk dan sama sekali tidak harus berhujah dengannya.

Abu Hatim pula menyatakan: Padanya ada perkara yang peril dilihat. Kata al-Bukhari: Beliau meriwayatkan berbagai-bagai hadis mungkar. Perkara yang sama juga ditegaskan dalam Al-Mizan (jil. 4, hlm. 262). Dengan itu jelas hadis an-Nadhr di atas adalah lemah yang melemahkan hadis sebelumnya dan tidak sesuai untuk tujuan Mutaba’ah.

8.Jalan-Jalan Kisah yang Lain

Jalan Anas bin Malik daripada Aisyah r.a., daripada hadis Said bin Abd al-Karim daripada Abu al-Mukman as-Sa’di daripada Abu Raja’ al-Ataridi daripada Anas r.a, daripada Aisyah r.a. Hadis ini telah dikeluarkan oleh Ibn Jawzi dalam Al-Ilal Al-Mutanahiyah (jil. 2, hlm. 558). Dalam hadis di atas terdapat tambahan yang juga lemah iaitu perawi-perawinya beranggapan Aisyah r.a., berkata: Wahai Rasulullah, apahal buku kambing Bani Kalb? Sabda baginda: Dalam kalangan orang Arab, tidak ada satu kelompok masyarakat yang memiliki kambing yang ramai selain daripada bani Kalb. Saya mengatakan: Enam golongan tidak terlibat dalam golongan yang diampun dosanya oleh Allah pada malam Nisfu Syaaban iaitu penagih arak, penderhaka kepada kedua ibu bapa, orang yang berterusan melakukan zina, orang yang suka berbalah, orang yang membuat patung dan juga pengumpat.

9.Penilaian

Ibn al-Jawzi menyatakan, jalan ini adalah tidak sahih. Kata Abu al-Fath al-Azdi: Said bin Abd al-Karim, adalah seorang yang ditinggalkan hadisnya. Ini diakui oleh oleh az-Zahabi dalam Al-Mizan.

(2/149/3232)

Jalan al-Ala’ bin al-Harith. Ia dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam as-syu’ab.

(jil. 3, hlm. 382, hadis no: 383)

10.Penilaian

Kisah di atas adalah kisah yang sangat lemah. Ini kerana al-Ala’ bin al-Harith dilahirkan setelah Aisyah r.a., meninggal dunia beberapa tahun sebelum kerana itu bagaimana beliau meriawayatkan hadis tersebut daripada Aisyah r.a. Kerana itu juga Imam an-Nawawi menyebut dalam At-Taqrib, tarikh dan kematian seseorang perawi merupakan satu perkara penting bagi mengetahui bersambung atau putus sanad. Sesetengah golongan mendakwa mereka meriwayatkan hadis daripada satu golongan yang lain, tetapi apabila dilihat dari segi tarikh, didapati orang yang diriwayatkan hadis itu sebenarnya telah meninggal dunia beberapa tahun sebelum itu lagi. Al-Ala, pula mengalami keadaan percampuran hafalan dan hilang ingatan, sebagaimana yang dinyatakan dalam At-Taqrib (jil. 8, hlm. 158) dan dalam Al-Mizan (jil. 3, hlm. 98). Hadis ini daripada jenis hadis Mu’annan. Hadis Mu’annan dari segi istilah ialah kata-kata perawi; Si fulan memberitahu kepada saya, bahawasanya si pulan itu berkata; Antara syarat penerimaan hadis mu’annan ialah berlaku pertemuan antara perawi. Tetapidalam hadis di atas tidak wujud aspek ini. Dengan itu jelas ia merupakan sebuah hadis yang tertolak kerana terputus sanad.

Jalan Sa’ad bin Malik Abu Said al-Khudri r.a., daripada Aisyah. Al-Baihaqi mengeluarkannya dalam As-Syu’ab.

(jil. 3, hlm. 383 hadis no: 3837)

11.Penilaian

Kisah di atas juga lemah. Penyakit terdapat pada perawi yang bernama Sallam at-Tawil. Menurut al-Bukhari: Sallam bin Salam as-Sa’di at-Tawil meriwayatkan daripada Yazid al-‘Ammi: Ahli-ahli hadis meninggalkannya. Menurut Ibn Ma’in: Sallam adalah seorang yang lemah dan hadisnya tidak ditulis orang. Ibn ad-Dawraqi melaporkan daripada Yahya: Sallam at-Tawil, tidak apa-apa yang boleh diambil kira. Abbas meriwayatkan daripada Yahya juga: Sallam bin Salam at-Tawil at-Tamimi, tidak ada apa-apa yang boleh diambil kira, malah Imam Ahmad menyatakan: Sallam at-Tawil ditinggalkan orang hadisnya, malah an-Nasa’I menyebut perkara yang sama dalam Ad-Du’afak Wa al-Majruhin (237). Dalam Mazhab an-Nasa’i sesuatu hadis tidak diletakkan pada status ditinggalkan orang riwayatnya melainkan apabila semua ahli hadis bersepakat untuk meninggalkannya.

Penyakit lain terdapat pada perawi bernama Sallam bin Sulaiman bin Suwar al-Mada’ini. Menurut al-Zahabi dalam Al-Mizan (2/178/3346) Ibn Adi mengatakan: Salam bin Sulaiman di atas adalah perawi hadis mungkar, manakala menurut al-Uqaili, dalam hadis riwatar beliau terdapat barbagai-bagai hadis mungkar.

Jalan Abdullah bin Abi Malaikah daripada Aisyah r.a. Ia dikeluarkan oleh Ibn Jawzi dalam al-Ilal al-Mutanahiyah.

(jil. 2, hlm. 559 hadis no: 919)

12.Penilaian

Menurut Ibn Jawzi dalam Al-Ilal al-Mutanahiyah (jil. 2, hlm. 559, hadis no: 919) hadis di atas diriwayatkan secara seorang diri oleh Ata’ bin Ajlan. Kata Yahya: Ata’ tidak ada apa-apa yang boleh diambil kira, malah seorang yang sangat dusta. Ar-Razi menyatakan: Beliau seorang yang ditinggalkan hadisnya. Kata Ibn Hibban beliau meriwayatkan berbagai-bagai hadis mawduk daripada perawi yang dipercayai. Tidak halal menulis hadisnya kecuali dengan tujuan mengambil iktibar sahaja. Meskipun ia disokong oleh hadis-hadis lemah yang lain, namun kelemahan yang melibatkan perawi dituduh sebagai berdusta adalah kelemahan yang tidak dapat menampung kekurangan sesuatu hadis lemah untuk dinaiktarafkan menjadi hadis hasan.

13.Jalan Kisah Berdasarkan Hadis Sahih

Dengan merujuk kepada hadis sahih, tidak ditemui ungkapan tentang malam Nisfu Syaaban. Imam Muslim mengeluarkan dalam sahihnya (hadis no: 974) kitab al-Jana’iz (hadis no: 103), Bab Khurujuh Laylan Ila Ahad al-Maqabiri wa ad-Du’a Li Ahliha. Hadis tersebut mempunyai rangakaian sanad yang samapai kepada Aisyah r.a.:

لما كانت ليلتي التي كان النبي صلى الله عليه وسلم فيها عندي انقلب فوضع رداءه وخلع نعليه فوضعهما عند رجليه وبسط طرف إزاره على فراشه فاضطجع فلم يلبث إلا ريثما ظن أن قد رقدت فأخذ رداءه رويدا وانتعل رويدا وفتح الباب فخرج ثم أجافه رويدا فجعلت درعي في رأسي واختمرت وتقنعت إزاري ثم انطلقت على إثره حتى جاء البقيع فقام فأطال القيام ثم رفع يديه ثلاث مرلت ثم انحرف فانحرفت فأسرع فأسرعت فهرول فهرول فهرولت فأحضر فأحضرت فسبقته فدخلت فليس إلا أن اضطجعت فدخل فقال ما لك يا عائش حشيا رابية قالت فليس إلا أن اضطجعت فدخل فقال ما لك يا عائش رابية قالت قلت لا شيء قال لتخبريني أو ليخبرني اللطيف الخبير قالت قلت يا رسول الله بأبي أنت وأمي فأخبرته قال فأنت السواد الذي رأيت أمامي قلت نعم فلهدني في صدري لهدة أوجعتني ثم قال أظننت أن يحيف الله عليك ورسوله قالت مهما يكتم الناس يعلمه الله نعم قال فإن جبريل أتاني حين رأيت فناداني فأخفاه منك فأجبته فأخفيته منك ولم يكن يدخل عليك وقد وضعت ثيابك وظننت أن قد رقدت فكرهت أن أوقظك وخشيت أن تستوحشي فقال إن ربك يأمرك أن تأتي أهل البقيع فتستغفر لهم قالت قلت كيف أقول لهم يا رسول الله قال قولي السلام على أهل الديار من المؤمنين والمسلمين ويرحم الله لبمستقدمين منا والمستأخرين وأنا إن شاء الله بكم اللاحقون.

Ertinya:

“Pada suatu malam yang melibatkan giliran saya, nabi bermalam di bilik saya. Baginda datang lalu meletakkan selendangnya dan mencabut kedua kasut, lalu meletakkannya pada kakinya. Seterusnya baginda membentangkan hujung kain selendangnya ke atas katil, lalu berbaring. Tidak lama kemudian, apabila baginda menyangka saya telah tidur, baginda mengambil semula kain selendangnya secara perlahan-lahan dan memakai kasut juga dalam keadaan perlahan, seterusnya membuka pintu lalu keluar sambil melangkah secara perlahan-lahan. Ketika itu saya terus memakai kain selubung kepala saya dan berselubung dengan kain selendang kemudian keluar mengikut baginda daripada belakang sehingga baginda mengunjungi kawasan perkuburan al-Baqi’. Di situ baginda berdiri dan berdiri baginda agak lama. Setelah itu baginda mengangkat tangan sebanyak tiga kali, kemudian beredar dan saya turut beredar. Baginda mempercepatkan langkah dan saya juga mempercepatkan langkah. Baginda mempercepatkan lagi langkah dan saya juga mempercepatkan lagi langkah sehingga baginda berlari kecil dan saya juga turut berlari kecil. Saya Berjaya mendahului baginda dan terus masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja saya masuk saya terus berbaring. Baginda masuk, lalu bersabda, Apa hal anda ini wahai Aisyah dalam keadaan termengah-mengah. Kata Aisyah: Saya menjawab: Tidak ada apa-apa: Sabda baginda: Beritahu saya cerita yang sebenaR atau Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mengetahui memberitahu kepada saya hakikat yang sebenar. Kata Aisyah r.a. Saya menyatakan; Wahai Rasulullah, demi bapa dan ibu saya, lantas saya menceritakan hakikat yang sebenar yang berlaku kepada baginda. Sabda baginda: Bukankah baying-bayang hitam yang saya lihat melintas di hadapan saya tadi itu adalah anda. Saya berkata: Ya, baginda menepuk pada bahagian dada saya dengan satu tepukan yang membuatkan saya rasa sakit. Kemudian baginda bersabda: Apakah anda menyangka yang Allah dan Rasul-Nya akan mengkhianati anda. Jawab Aisyah r.a,; Meskipun orang ramai menyembunyikan sesuatu, Allah tetap mengetahuinya. Seterusnya baginda bersabda: Tadi Jibril datang menemui saya ketika saya sedang tidur. Dia telah menyeru saya. Dia telah memperlahankan suaranya agar tidak didengar oleh anda dan saya telah menyahut seruannya dan telah menyembunyikan perkara tersebut daripada anda. Jibril tidak masuk ke dalam rumah dalam keadaan anda membuka pakaian anda. Saya pula telah menjangkakan anda telah pun tidur pada masa itu dan tidak suka untuk menggerakkan anda. Saya juga tidak suka menggangu anda. Jibril berkata: Tuhan anda memerintahkan kepada anda supaya mengunjungi perkuburan al-Baqi’ dan memohon ampun para ahlinya. Kata Aisyah r.a.; Saya berkata: Bagaimana saya perlu mengucapkan wahai Rasulullah? Sabda baginda: Katakan: Salam sejahtera kepada penduduk negara ini dari kalangan orang-orang yang beriman dan orang-orang Islam. Mudah-mudahan Allah merahmati orang-orang Islam yang pergi terlebih dahuludaripada kita dan juga yang bakal pergi kemudian. InsyaAllah kami semua akan mengikut jejak langkah nanti.”

Selain daripada hadis di atas, terdapat juga hadis lain yang diriwayatkan oleh Muslim (hadis no: 486) tentang doa yang dibaca oleh nabi dalam sujud dan tidak diikatkan dengan Malam Nisfu Syaaban daripada hadis riwayat Aisyah r.a., katanya:

فقدت رسول الله صلى الله عليه وسلم ليلة من الفراش فالتمسته فوقعت يدي على بطن قدميه وهو في المسجد وهما منصوبتان وهو يقول اللهم أعوذ برضاك من سخطك وبمعافاتك من عقوبتك وأعوذ بك منك لا أحصي ثناء غليك أنت كما أثنيت على نفسك

Ertinya:

“Suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW daripada katil, lantas saya mencarinya. Tiba-tiba tangan saya terkena belakang kedua kaki baginda yang ketika itu berada dalam keadaan tegak dan baginda pula berada dalam keadaan sujud. Pada masa itu baginda mengucapkan: Ya Allah ya Tuhanku aku berlindung dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu dan dengan kemaafan-Mu daripada balasan-Mu. Aku berlindung dengan-Mu daripada-Mu. Aku tidak mampu memuji-Mu sebagaimana yang Engkau puji diri-Mu.”

Berhubung dengan sifat Allah SWT ke langit dunia, juga tidak dikaitkan dengan malam Nisfu Syaaban. Imam al-Bukhari menyebut dalam Sahihnya (Kitab At-Tahajjud, Bab ad-Du’a Wa as-Solah Fi Akhir al-Layl dan Muslim dalam kitab Solah al-Musafirin, Bab at-Targhib Fi ad-Du’a Wa al-Zikr Akhir al-Lail daripada hadis Abu Hurairah r.a.

Rasulullah SAW bersabda:

ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر يقول من يدعوني فأستجيب له من يسألني فأعطية من يستغفرني فأغفر له

Ertinya:

“Tuhan kita Tabaraka Wataala turun setiap malam ke langit dunia di saat masa masih ada satu pertiga malam yang akhir. Dia berfirman; Siapakah yang sudi berdoa kepada-Ku, aku akan perkenankan doanya. Siapa yang sudi meminta kepada-Ku, Aku akan perkenankan perminta-Nya dan sesiapa yang sudi memohon ampun daripada-Ku, Aku akan ampunkannya.”

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!

Mohon laporkan kepada kami (admin@semakhadis.com) jika terdapat sebarang kesilapan.