Kisah Runtuhnya Tiang Seri Istana Maharaja Kisra Setelah Kelahiran Rasulullah SAW

 

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Pada malam Rasulullah SAW dilahirkan, istana Maharaja Parsi bergegar dan akibatnya 14 ruang di beranda istana itu retak dan runtuh, api yang menjadi pujaan orang-orang Parsi padam serta-merta, sedangkan ia tidak pernah padam sebelum itu selama 1000 tahun, tasik sawah kering, manakala Mubazan salah seorang pegawai kanan Maharaja Kisra melihat seorang unta yang besar memandu seekor kuda Arab, lalu menyeberangi sungai Dijlah dan bertebaran di negara Parsi.

Apabila tiba waktu pagi, beliau telah memberitahu maharaja tentang mimpi tersebut dan ia begitu mengejutkan maharaja itu. Mubazan merasa sugul mengenangkan peristiwa yang dilihat dalam mimpinya itu. Seterusnya beliau berpendapat tidak wajar mimpi itu disembunyikan daripada pengetahuan para menteri dan para pegawai yang lain apabila hilang rasa sugulnya.

Maharaja yang mendengar mimpi itu telah mengarahkan supaya mereka semua dikumpulkan. Baginda memakai mahkota dan duduk di atas singgahsananya. Setelah itu mengutuskan utusan supaya semua mereka berkumpul di dalam istananya. Setelah kesemuanya berkumpul. Baginda bertitah: Untuk apakah beta mengumpulkan tuan-tuan sekalian? Mereka semua menjawab: Tidak tahu tuanku kecuali hanya dimaklumkan yang tuanku meminta kami semua berkumpul di sini.

Ketika berada dalam keadaan tersebut, datang seorang utusan yang membawa berita yang api menjadi sembahan dan pujaan masyarakat Parsi padam secara tiba-tiba. Berita itu menambahkan lagi rasa sedih maharaja itu. Setelah itu baginda menceritakan kepada mereka semua tentang mimpi yang dialami oleh Mubazan.

Mubazan menyatakan: Malam semalam saya telah bermimpi. Beliau menceritakan tentang unta yang beliau lihat dalam mimpinya itu. Maharaja Kisra bertanya beliau: Daripada arah manakah unta itu datang? Jawab Mubazan; Datang daripada arah negara Arab. Ketika itu Maharaja Kisra telah mengarahkan supaya ditulis satu surat yang berbunyi sebagaimana berikut: Daripada raja segala raja Kisra kepada al-Nukman bin Munzir: Sila bawakan kepada beta seorang yang alim yang boleh saya bertanya kepada beliau sesuatu perkara.

Al-Nukman telah menghantar seorang lelaki bernama Abd al-Masih bin Amru bin Yahyyan Buqailah al-Ghassani. Apabila lelaki itu tiba: Maharaja bertanya kepada beliau; Adakah anda mempunyai ilmu tentang apa yang beta ingin tanyakan kepada anda? Katanya; Seterusnya maharaja itu bertanya kepada saya dan menceritakan kepada saya mimpi yang dilihat oleh salah seorang daripada pegawai kanannya. Sekiranya saya tahu cara menta’birkan mimpi itu, baginda meminta saya menta’birkannya dan jika saya tidak tahu tentangnya baginda meminta saya memberitahu siapakah tokoh lain yang memberitahu tentang perkara tersebut.

Jawab Abd al-Masih ilmu tentang perkara tersebut berada pada bapa saudara saya yang tinggal di salah sebuah kampung di negara Syam, yang dikenali dengan nama Sutaih. Maharaja bertitah: Pergilah jumpa dia dan bertanya kepada beliau, seterusnya bawakan kepada beta maksud mimpi itu.

Tanpa berlengah Abd al-Masih terus bertolak ke Syam untuk bertemu dengan bapa saudaranya Sutaih, yang kebetulan pada masa itu berada di tempat pembaringannya menunggu saat kematian. Lantas Abd al-Masih memberi salam kepadanya dan menyampaikan ucapan kepadanya, tetapi Sutaih tidak memberikan apa-apa respon. Lantas Abd al-Masih menyampaikan bait-bait syair yang panjang.

Setelah selesai  mengalunkan bait-bait syair tersebut, Sutaih membuka matanya. Kemudian berkata: Abd al-Masih; Datang daripada jauh dengan menaiki unta semata-mata untuk bertemu dengan Sutaih tetapi sayang beliau berada di saat kematiannya, anda telah dihantar oleh raja Sasan, kerana disebabkan bergegarnya istana maharaja, padamnya api sembahan dan juga mimpi Mubazan, yang dilihat seekor unta besar seperti kuda Arab, menyeberangi sungai Diljah dan bertebaran di negara Parsi.

Seterusnya beliau menyatakan; Wahai Abd Masih, apabila banyak muncul bacaan, zahir tuan punya tongkat yang besar, air wadi as-Samawah melimpah, kering tasik sawah, padam apai sembahan Parsi, di kala itu Syam tidak lagi menjadi milik Sutaih, Parsi akan dikuasai oleh raja-raja dan segala kekayaan mengikut bilangan beranda yang runtuh. Setelah itu berlakulah apa yang akan datang itu. Kemudian Sutaih menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Setelah mendengar jawapan Sutaih itu, Abd Masih menemui Maharaja Kisra dan memberitahu baginda segala yang diberitahu oleh Sutaih. Maharaja Parsi menyatakan; Sehingga raja-raja daripada kalangan kami memerintah Parsi seramai 14 orang dan pada zaman pemerintahannya berlaku beberapa perkara. Sepanjang empat tahun sahaja seramai 10 orang raja yang memerintah Parsi, manakala baki terus berjalan sehingga tiba pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan.

STATUS

Tidak sahih

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Takhrij Kisah

Kisah di atas dikeluarkan oleh at-Tabari dalam At-Tarikh (jil. 1, hlm. 459). Al-Baihaqi dalam Dalai’I an-Nubuwwah (jil. 1, hlm. 127, 128 dan 129), Abu Nu’aim dalam Dala’il an-Nubuwwah (hlm. 96-99), Ibn Asakir dalam Al-Khasa’is al-Kubra (1/87) menerusi jalan Abu Ayyun Ya’la bin Imran al-Bajali, daripada Makhzum bin Hani al-Makhzumi daripada bapanya, lalu beliau menyebutkan kisah di atas.

Penilaian

Hadis di atas tidak sahih dan tidak boleh dijadikan bahan ceramah mahupun hujah, kerana Ibn Asakir sendiri yang mengeluarkan hadis tersebut dalam Al-Khasa’is al-Kubra menyatakan: Hadis ini adalah hadis yang gharib. Kami tidak mengetahui jalan riwayat yang lain selain daripada hadis Makhzum daripada bapanya. Ia hanya diriwayatkan secara seorang diri oleh Abu Ayyub al-Bajali. Imam As-Suyuti menyebut dalam Al-Khasa’is (jil. 1, hlm. 88); Begitulah yang dinyatakan oleh Ibn Asakir ketika menjelaskan biodata Sutaih dalam Tarikhnya. Kata Imam al-Hafiz az-Zahabi dalam As-Sirah an-Nabawiyah (jil. 1, hlm. 42); Hadis ini adalah satu hadis mungkar lagi gharib.

Kisah di atas adalah suatu kisah yang sangat lemah, manakala sanadnya kelam, Para perawinya tidak diketahui.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!